Jul 28, 2012

CERTOT: Diva Yang Dilupakan

Assalamualaikum. Sudah lama benar saya tidak masukkan entri ke sini. Kali ini, izinkan saya mengubat rindu para pembaca sekalian dengan sebuah cerita kontot (sepanjang 4 halaman) buat bacaan basah.

Jom, baca cerita kali ini dengan tenang dan riang! Temanya santai-santai sahaja, kerana pagi tadi kepala saya terasak dengan banyak perkara. Jadi, saya keluarkan cerita ini cepat-cepat dari fikiran dan tumpahkan di laman Microsoft Word.

Mohon maaf jika ada kandungan yang tampak tidak sesuai dengan bulan Ramadhan yang mulia ini.

***

Sumber: www.graphicshunt.com

DIVA YANG DILUPAKAN

Oleh: Rahmah Mokhtar

Diela berjalan penuh lenggok selepas memarkir kereta mewahnya di sebuah lot khas. Beberapa pasang mata pantas memandangnya dari atas ke bawah tanpa berkelip-kelip. Lalu, Diela manjakan lagi gerakan tubuhnya.

Di kiri dan kanannya, dua lelaki setia mengawal lalu lintas yang mula penuh tiba-tiba dengan kehadiran Diela. Puncanya, Diela menulis di akaun Twitternya yang dia mahu ke situ setengah jam yang lalu. “Cik Diela, berhati-hati. Kami berdua akan pastikan tiada tangan-tangan kasar menarik tubuh dan merosakkan baju Cik Diela yang berkilau-kilau ini.” 

Diela mengangguk seraya tersenyum riang.

Di sekitar laluan itu, kelihatan beberapa orang asyik memfokuskan lensa-lensa besar dan menekan punat kamera yang menghantar pancaran demi pancaran ke tubuh dan muka Diela. Semua itu buat senyum Diela melebar.

“Cik Diela, tolehlah ke arah sini sebentar! Saya mahu ambil gambar terkini Cik Diela!” jerit seorang peminat dari celahan manusia yang berpusu-pusu berlari ke arahnya.

Sampai di pintu masuk pasar raya itu, Diela sengaja berhenti. Kemudian, dia menoleh penuh gaya sehinggakan jika dipandang dalam fasa gerak perlahan akan terlihatlah betapa mata-mata lelaki yang sedang berasak-asak di tepi pintu itu sedang terbuntang.

Kemudian, Diela melambai-lambaikan tangan.

“Apa khabar semua? Terima kasih kerana menunggu kehadiran saya di sini!” ujar Diela bersahaja.

Tindakannya itu membuat sekumpulan anak muda terpekik-pekik histeria sehingga perlu ditenangkan pengawal pasar raya yang tubuhnya tidak besar mana.

Diela bangga dengan dirinya sendiri. Dngan usianya yang baru tamat sekolah, dia berjaya memasuki dunia penuh glamor itu. Ke mana sahaja dia pergi pasti ada orang yang menegur.

“Awak yang menang pertandingan hiburan tempoh hari, bukan?” itu teguran biasa yang selalu terdengar di gegendang.

Ada masanya, peminat akan tegur dia begini pula, “Cik Diela! Wajah awak nampak lebih cantik daripada di TV!”

Diela tersengih-sengih di hadapan cermin.

***
Pengarah acara pegang kepala! Pengurus pentas pula sudah merah-merah muka! Di tepi pentas besar itu, seorang lelaki asyik mengipas-ngipas badannya yang sudah lencun dengan peluh.

Di belakang pentas pula, keadaan sedang riuh amat! Si tukang rias wajah asyik bertanya, “Mana Cik Diela, mengapa batang tubuhnya tidak terlihat di mana-mana? Nanti, jangan salahkan saya jika rupa dia tidak menarik!”

Seorang penari yang sibuk membetulkan pakaiannya sambil bernyanyi riang menggeleng-geleng. Cepat-cepat, dia memandang ke serata ruang bagi mencari susuk yang dimaksudkan si tukang rias. Temannya pula berjungkit bahu sambil mencebik bibir.

Tiba-tiba, wakil dari syarikat rakaman muncul di pintu. Terkocoh-kocoh dia berkata, “Mana pengarah acara? Siapa juru acara majlis?”

Tidak lama kemudian, dua orang lelaki berdiri di hadapan wakil syarikat rakaman itu. Dahi mereka penuh kerutan dan rambut si pengurus pentas sudah kusut-masai.

Si wakil menarik nafas dalam-dalam lalu berkata, “Rasanya kita perlu bersedia untuk mengumumkan yang Cik Diela kita tidak akan hadir. Dia tiba-tiba menghubungi saya tadi bagi memaklumkan yang dia tidak sihat untuk majlis hari ini. Mahu atau tidak, kita harus guna pelan B!”

Pengarah acara segera menghempas kerusi di sebelahnya. Ruang belakang pentas yang kecoh menjadi sunyi tiba-tiba.

Hening.

“Bagaimana pula kita hendak menggunakan pelan B jika artis utama tidak hadir! Ini memang macam menunggu durian gugur atas kepala sendiri!” luah si juru acara menggelisah. Tisu di tangannya sudah lembap selepas berkali-kali menyeka hujung dahi yang basah.

Akhirnya, majlis itu berlangsung juga penuh jaya. Walaupun sedikit kecoh pada awalnya, namun keadaan beransur terkawal apabila para penari masuk ke pentas. Mujur salah seorang daripada penari itu pernah memasuki kelas vokal. Dia sendiri menggantikan Diela yang tidak hadir kerana alasan remeh seorang ‘diva’. Ternyata, bakat dan suaranya lebih lunak dari si penyanyi asal. Penonton suka dan pengurus pentas bangga.

Si juru acara, tentulah berlebih-lebih menambah kuah!

***
Semua itu kisah tiga tahun lalu. Peristiwa kecoh itu berpanjangan sehingga setahun lamanya.

Semua itu selalu buat senyum Diela mati. Lantas, kepalanya terhantuk kuat ke batu sedar, namun perkara yang bernama peluang itu sudah terkatup rapat buatnya. Lalu, dia terpuruk menyesal tidak berkesudahan.

Sekarang, dua pengawal itu sudah bertukar tugas. Syarikat rakamannya sibuk ‘menjaga’ seorang artis segera yang baru menang sebuah rancangan realiti bertaraf antarabangsa!

Kini, ke mana sahaja Diela pergi dia masih ditegur. Tetapi, teguran-teguran itu bersulam senyum kasihan dan sinis.

Terkadang, mereka akan bertanya, “Cik Diela, bila mahu keluarkan lagu baru?” sementelah sudah hampir dua tahun dia tidak masuk studio rakaman.

Lebih kejam lagi, ada juga yang tega menyoal, “Kalau tidak saya, rasanya Cik Diela satu syarikat rakaman dengan Encik Shahri. Boleh Cik Diela tolong  sampaikan salam saya buat dia?”

Namun, Diela senyum sahaja. Dia tahu, zamannya sudah tamat. Sekarang, dia bukan diva lagi. Artis laman web yang rajin mencipta lagu itu pun, langsung dia tidak tertanding. Semua salah dia sendiri kerana mengada-ngada ponteng konsert sendiri.

Akibatnya, syarikat rakaman marah dan orang-orang bidang mula memulaukan. Para wartawan pula berseronok menulis cerita ‘diva’nya yang sungguh kontroversi itu. Maka berguling-gulinglah popularitinya ke bawah dari anak tangga yang paling atas.

Diela terlupa lalu dia leka dengan dunianya sahaja. Rupa-rupanya, ia tetap jagat yang biasa, ia masih yang serupa. Pusinglah ikut arah mana pun, ia masih keadaan yang perlukan usaha gigih dan kerajinan supaya kekal di dalamnya. Rupa tanpa bakat bukan lagi perkara utama.

Benarlah, dunia ini macam roda. Sekejap kita terbang tinggi di atas awan, lalu kita menutup mata rapat-rapat. Namun apabila kita membuka mata, ternyata kita sudah tegak berdiri di atas tanah yang rata.

3 comments:

Hana Norisa said...

kasihan diela..tp itulah, setiap perbuatan tu ada akibatnya...

rahmahmokhtaruddin said...

Wah, Cik Hana! Lamanya kita tak jumpa di alam blogger ni!

Terima kasih singgah dan baca.

Betul, kan? Dia buat perangai, kenalah hadapi akibatnya sendiri. ^^_

Hana Norisa said...

itulah, lama jugak tak berjumpa..Hana pun jarang on9 dah...sekrang ni barulah, rajin2x nak mengonline..hehe..

sebab tu orang kata, kalau nak buat sesuatu tu pikir dulu akibatnya..hehe..=)

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape