Jul 27, 2009

KISAH 4

Akukah yang bersalah? Akukah yang terlewat menyedarinya? Gadis itu telah selamat mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan keluarganya. Bahagiakah dia? Terlukakah dia dengan tindakanku? Ah, jujur aku tak pernah berniat untuk melukakan hati gadisnya. Tetapi aku tidak rasa aku adalah yang terbaik untuk dirinya. Dia yang cukup manis, sabar dan penyayang. Sedang aku, hanya insan kecil yang selalu tidak teguh, sering berasa rendah dalam segala segi. Kerja? Gajiku tentunya lebih rendah darinya yang menjadi pembantu peribadi seorang lelaki hebat, orang besar dalam perniagaan. Aku masih menjadi seorang pegawai biasa dalam sebuah syarikat tempatan di ibukota. Masakan mampu aku mendampinginya. Memenuhi kehendak hidupnya yang pastinya tinggi, kerana dia mempunyai pendapatan hidup yang besar. Bolehkah aku memimpin, menjadi nakhoda melayari bahtera bersamanya jika aku sering punya rasa sebal seperti ini?

Terkilan juga rasanya kerana dia disunting oleh orang lain, bukannya aku. Salah akukah kerana melepaskan dia pada saat dia mengharap padaku? Tentu hatinya menjadi rapuh, berkecai sewaktu menerima penolakan itu. Kejamnya aku! Mana mungkin dia akan sanggup menunggu lagi setelah aku dengan jelasnya mengkhabarkan kewujudan gadis lain dalam hatiku? Tidak, Nisa! Gadis yang aku maksudkan adalah dirimu! Hanya kamu yang bertakhta di hati ini sejak dahulu lagi. Sejak kita kemalangan kecil di restoran dahulu, hati ini telah terpaut. Aku jatuh cinta saat kita terjatuh bersama. Menatap wajahmu yang memerah bagai terbakar dek menanggung malu tika itu telah menyentuh halus hati ini, walau hanya untuk sekejap waktu. Mataku bagai terpaku, wajahmu nan ayu itu terus melekap, terpahat indah menghiasi ruang hati. Bagaimana harus aku maklumkan padanya tentang itu? Sedang hati ini sering benar berasa kerdil. Dia yang berkelulusan sebagai seorang jurutera, dan kemudian mempunyai kerja bergaji besar menambahkan rasa kerendahan ini. Segan benar aku pada dirinya. Sudahlah asalku tidak diketahui. Ibu bapa tidak pernah dikenali. Bermimpi pula menyunting gadis kayangan sepertinya. Memang tidak sedar diri. dasar lelaki. Mendahulukan nafsu dari yang lain. Ke mana perginya akal warasku saat berusaha mencuri hati gadisnya dahulu?

Waima atas alasan kasih, aku tidak mampu menghilangkan stigma itu dari hati. Aku walang dengan kedudukan sendiri. Bingung. Risau dia akan membangkitkan isu kedudukan suatu hari nanti. Aku enggan semua itu terjadi. Aku prejudis sendiri. Setiap saat aku merasakan seluruh alam memandang padaku sambil melemparkan kata-kata tohmah pada diri ini yang lupa diri. Aku yang pipit ini tidak akan mampu berganding dengan sang enggang. Tentunya aku akan tertinggal jauh, berhasta-hasta di belakang dan dia dengan langkah yang gagah terus mara ke hadapan mengejar kemajuan. Sekuat mana pun aku mengepakkan sayap, aku tetap akan ketinggalan. Aku tak akan mampu membahagiakan dirinya.

Tapi mengapa hati ini degil? Sejak mendapat berita tentang pernikahannya, aku menjadi rawan. Gelisah. Hati ini runsing, rasa terkilan perlahan-lahan memakan diri. Meratah enak rasa sabar dalam diri. Sedikit demi sedikit, menyebabkan aku kian meronta ingin mendekatinya. Mahu mengambilnya kembali, supaya dirinya kembali menjadi suriku seperti dahulu. Mengatakan berkali-kali pada diri bahawa dia adalah milikku, bukan lelaki itu! Tidak sangka, aku tidak mampu menerima keadaan ini. Selama ini aku sering menyangkakan diri seorang yang tabah, tetapi tidak rupanya. Baru menerima dugaan sekecil ini, terbang semua kesabaranku. Melayang segala kesedaran dalam diri, sedang aku yang mengundang kemusykilan ini. Aku yang menyebabkan Nisa memilih jejaka itu. Jika aku mengatakan iya padanya dahulu, tentu dia masih setia menantikan aku sekarang. Pasti dia masih rela menunggu kesediaanku menjadikannya teman hidupku secara sah di sisi agama.

4 comments:

MaY_LiN said...

waduh2..
berpuitis..
hihihi

comei said...

waaa nisa ade secret admirer rupenye hihihi

rahmahmokhtaruddin said...

puitis ke? huhu.. idea tu dtg tiba2.. layan je la..

Che Sue said...

sape la agaknyer org yg terasa dilukai itu yer..?

bkn ker suami nisa tu kerja ngan tuan kamal?

nie yang nak tau lebey lanjut nie rahmah...!

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape