Aug 2, 2009

KISAH 6

Gangguan. Nampaknya unsur-unsur luar mula menjengah. Mengetuk pintu kedamaian. Perlahan, tapi membawa aura yang cukup berbisa. Bisa yang mampu melumpuhkan sebuah sistem yang rukun dalam sekelip mata. Mohonlah dijauhkan kami dari panahan jahat seperti ini. Namun, apalah erti sebuah perhubungan andai tidak ditimpa ujian. Apalah guna menjadi hamba-Nya jika tidak menerima dugaan. Sekali lagi ia tiba. Kali ini dengan bentuk yang berbeza.

Ketenangan hari-hariku mula terganggu. Riak tenang mula terkocak. Shahrul Azhar. Dia kembali menagih kasih. Hampir setiap hari aku menerima pesanan ringkas dan panggilan darinya. Semuanya aku endahkan sahaja. Panggilannya sentiasa dibiar berdering tanpa jawapan. Mesejnya tidak pernah menerima balasan. Mengharapkan dengan tindakan aku menyepikan diri, dia memahami keenggananku menyambung tali yang telah putus. Aku harap dia faham, seterusnya berundur dan senyap sendiri.

Namun, lain yang diharapkan lain pula yang terjadi. Entah dari mana dia memperoleh nombor talian tetap kediaman kami. Dia dengan beraninya menghubungiku menggunakan talian itu. Mujur juga semua panggilannya dibuat sewaktu suamiku keluar bekerja. Tindakannya yang semakin agresif itu mewujudkan satu rasa tidak selesa dalam tangkai hati. Mesej dan panggilannya penuh dengan kata-kata sayang, pujukan dan macam-macam lagi. Aku rimas. Rimas dengan rayuannya yang meminta aku memaafkan dan kembali ke pangkuannya. Rimas dengan permintaannya yang memohon agar aku bersedia untuk memulakan semula hubungan, pertalian kasih yang telah terlerai.

Aku terperanjat. Setenang mungkin aku khabarkan kepadanya tentang perkahwinanku, memohon pengertian. Namun, dia memaklumkan telah lama mengetahuinya. Dia sudah tidak mampu menanggung derita, menahan rasa kerana terpaksa melepaskan aku dahulu. Aku tidak mengerti. Melepaskan aku? Tetapi untuk siapa? Dia mengambil sikap tidak peduli dengan kenyataan aku isteri orang dan terus mengucapkan kata-kata maaf. Berkali-kali menyatakan salah kerana terpaksa mengambil keputusan menggantung aku tidak bertali. Sekali lagi dia menabur janji untuk membahagiakan jika diberi peluang pada masa hadapan, andai punya kesempatan. Aku kaget dan marah. Apa dia berharap masjid yang kubina runtuh? Sungguh kejam harapannya. Memang tidak harus dilakukan oleh sesiapa pun. Padaku, hadirnya untuk kali ini hanya membuang masa berhargaku kerana aku sudah tidak kuasa memberi layanan buat tetamu tidak diundang sepertinya. Tetamu seharusnya pergi membawa bala, dia sebaliknya datang bersama musibah. Kemungkinan membawa badai dan gelombang kuat yang tinggi menghempas pantai. Menghentam kapal di pelayaran, menyerang nakhoda yang mengemudi bahtera sekaligus menenggelamkan segala isi kapal.

Melihatkan tindakannya yang bagai tidak mahu berhenti, aku galau. Risau Abang Shah tahu tentang keadaan ini, bukan dari mulutku sendiri. Runsing jika dia berfikir yang bukan-bukan, seterusnya meragui kesetiaan dan kejujuranku dalam perhubungan kami. Maklum, usia perkahwinan kami masih baru, terlalu mentah untuk menerima ujian begini. Nanar aku bila membayangkan andai kedamaian yang baru bercambah ini retak, pecah berderai. Gerun. Sungguh, aku tidak pernah mahu kembali menjalani kehidupan seperti dahulu. Keadaan pasti lebih menyesakkan jika perpecahan benar-benar terjadi. Pastinya akan menjadi bayangan hitam yang paling gelap dalam lipatan sejarah hidupku. Akan menjadi pengalaman yang akan menghantuiku sepanjang hayat, sehingga memungkinkan aku trauma untuk mencuba sekali lagi. Menerima sebuah lagi kehancuran dalam usia sebegini pasti membuatkan perasaan menjadi sangat rapuh, dan adalah sangat sukar untuk bangkit semula.

Dapatkah aku mendepani persoalan-persoalan dari Abang Shah yang akan merentap rasa? Sanggupkah aku menerima kebencian suamiku? Jawapannya tentu tidak. Aku boleh menjawabnya tanpa teragak-agak. Tidak dapatlah aku mencium wangian syurga andai aku dimurkai oleh suamiku. Dadaku berombak kencang, bergetar hebat walau hanya memikirkan kemungkinannya. Ngeri. Tidak! Aku mahu menjadi isteri solehah. Isteri yang diredhai oleh suami, supaya aku berpeluang menjadi pasangannya lagi di syurga nanti. Biarlah para bidadari yang menantinya dihujani rasa cemburu denganku. Perkenanlah doaku ini ya Allah, jadikanlah aku seorang isteri yang selalu diredhai oleh suamiku. Peliharalah kerukunan rumahtangga kami. Bukakanlah pintu jannah-Mu seluas-luasnya buat kami berdua ya Allah.


3 comments:

MaY_LiN said...

ala..
pe ni kacau2 umah n tangga org nie..

comei said...

uishk apa la itu olang
haiyakk xelok la
better nisa btau kat abg shah
if x nanti mst ada sumething happen

comei said...

uishk apa la itu olang
haiyakk xelok la
better nisa btau kat abg shah
if x nanti mst ada sumething happen