Oct 2, 2014

Mengharap Doa Bonda

Teaser.
Mengharap Doa Bonda

Kita selalu mendengar ungkapan "Syurga itu di bawah telapak kaki ibu."
Tidak kurang, ramai yan mengucapkan, "Mintalah ibumu mendoakan, kerana doa ibu itu antara doa tidak berhijab dengan Tuhan. Ia sampai terus dan tinggi takah makbulnya!"

Maka, sesudah ketiadaan wanita istimewa ini dalam hidup, Azam sering berfikir, "Bagaimana aku boleh mengharung kesusahan tanpa ada ibu yang mendoakan supaya mudah? Bolehkah aku menjadi orang tabah yang mendepani dugaan Tuhan tanpa dipayungi doa seorang ibu?"
 
Entah. Azam tidak tahu. Dunia tiba-tiba gelap. Harapan yang sebelumnya subur bagai cendawan selepas hujan, kini layu sebelum sempat berkembang. Sekalipun disiram baja paling hebat dalam dunia, ia tetap tidak mahu berhasil dan menguning bagai mahu mati.

Hatinya sakit apabila orang keliling asyik mengulang-ulang ungkapan pasal ibu sekalipun ia diucap tanpa sebarang niat. Hatinya benar-benar tidak enak sekalipun terdengar atau terbaca ucapan, "Saya sayang mak saya."

Dia sayang ibunya juga! Tetapi, berbeza dengan mereka, dia tidak boleh memeluk hatta mendengar suara ibu lagi. Jadi, dia menjadi super sensitif apabila ada orang senang-senang bercerita pasal ibu dan kemudian bercerita kepada semua orang mengenai ibu dan kecintaan wanita hebat itu kepada anak-anaknya.

Mereka tidak akan faham! Sampai bila-bila pun mereka tidak akan mengerti pahitnya perasaan hidup tanpa dipayungi kasih ibu. Dia terus marah dan memendam, sehinggalah pada suatu hari yang redup. Hari itu, Azam mengerti suatu perkara pasal takdir dan hikmah.


by Rahmah Mokhtar



from Facebook

via IFTTTfrom Facebook

via IFTTT

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape