Jun 22, 2009

#16

Untuk kesekian kalinya, aku kembali lagi ke bumi Sabak Bernam ini. Mengunjungi adik-adik yang ramai. Mereka yang selalu butuhkan perhatian. Mereka yang pasti merindukan kasih sayang. Sementelah, hanya itu yang mampu aku hulurkan. Duit, makan, pakai sudah banyak diberi oleh orang-orang lain yang prihatin dengan mereka, sepertimana prihatinnya mereka terhadap aku suatu ketika dahulu. Ketika aku masih berhingus. Di saat aku masih belajar bertatih, mengharungi dunia tanpa kedua orang tua.

Atas sebab itu, aku kembali semula ke sini. Sekerap mungkin bila aku punya masa dan tenaga, serta keadaan yang mengizinkan. Sejak 28 tahun lalu, aku telah menetap di sini. Rumah besar inilah yang mengajar aku segalanya. Tentang hati budi manusia. Tempat letak luhurnya rasa kasih. Teratak aku mengenal huruf, belajar mengeja, mengira dan bergaul. Di situ jugalah tumpahnya darahku. Tempat tumpahnya air mataku. Tempat aku belajar mengenali diri dan menjadi dewasa. Mengenali pelbagai jenis rasa. Sedih. Gembira. Geram. Sayang. Bahagia. Kecewa. Semua rasa itu pernah aku lampiaskan di sini.

Ibu bapaku? Aku tak pernah mengenali mereka. Sekadar memenuhkan benak dengan kewujudanku di muka bumi sebagai definisi kasih dan sayang mereka padaku. Andai mereka tidak pernah menyayangiku, aku pasti tidak lahir. Pasti telah lama seorang watak di pentas dunia bernama Shahrul Azhar ini mati sebelum penceritaannya bermula. Bonda juga tidak tahu siapa orang tuaku. Dia hanya mengetahui yang aku dijumpai di atas tangga surau oleh arwah Ayahanda sewaktu beliau ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Sejak itulah aku menjadi penghuni di rumah besar ini di bawah didikan dan bimbingan Ayahanda dan Bonda. Kepada mereka jugalah aku menumpang, berkongsi, berbahagi kasih, bersama puluhan adik-beradikku yang lain di sini.

Kini, aku sudah berjaya. Sudah punya kerjaya. Bila-bila lapang, aku kembali ke sini. Melawat Bonda yang telah susah-payah membesarkan aku. Aku kembali membalas jasa. Belajar menjadi anak yang tahu mengenang budi. Tidak lupa diri. Sementelah Bonda telah bergelar warga emas. Ayahanda telah lama pergi, meninggalkan sisinya 10 tahun lalu. Dia tentunya butuh perhatian yang rapi dari anak-anak yang telah dijaganya dari kecil. Tak dapat aku bayangkan bagaimana rasa kecewa yang dia rasai jika aku tidak kembali melawatnya setelah berjaya menjadi manusia ini. Mujurlah, adik-adik di sini juga menjaga Bonda dengan baik. Selalu menemaninya. Melayani hati tuanya. Membuatnya riang. Menghilangkan rawan di hatinya.


Rasanya sudah hampir 25 tahun rumah ini ditubuhkan. Sejak 1985. Aku juga dimaklumkan bahawa Bonda mengilhamkan penubuhan rumah ini setelah hampir dua tahun membesarkan aku. Atas idea Bonda, Ayahanda bersama temannya membina rumah ini sebagai tempat berteduh kami anak-anak yatim di sini. Aku bersyukur kerana mereka yang menjumpai aku.


Rumah ini asalnya rumah kayu yang boleh memuatkan enam orang penghuni, termasuk seorang staf dan seorang tukang masak. Tidak menunggu masa yang lama, sebuah bangunan tiga tingkat dibina selepas tiga tahun hasil ihsan kerajaan negeri. Semakin lama, semakin banyak kemudahan yang ditambah. Bangunan asrama lelaki dan perempuan diasingkan. Bilik komputer, surau, perpustakaan juga dibina untuk kemudahan kami semua. Tujuannya, supaya kami tidak merasa kurang berada di sini. Agar kami selesa, punya kemudahan yang cukup untuk pembangunan sahsiah dan jatidiri.


Banyak perkara yang aku belajar di sini. Mencari identiti. Menemui kekuatan diri. Tiga kekuatan manusia – akal, jiwa dan perasaan. Mengenal keindahan dan kebesaran ciptaan Tuhan. Keunggulan di sebalik kejadian. Bonda mengajar aku melihat diri aku yang biasa ini sebagai luar biasa, kerana manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling indah. Segala-galanya yang berada dalam tubuhku adalah kompleks, tidak mungkin dapat aku tafsirkan bagaimana semua otot, semua saraf dapat terbentuk dan menggerak, merangsang aku berfikir, mencantum tindakan dan minda. Sungguh tidak mampu untuk difikirkan.


Pernahkah kita terfikir sebab kepada lima bentuk jari-jemari di tangan kita yang berlainan? Juga punya nama yang berlainan untuk menunjukkan ciri dan fungsinya? Ibu jari, telunjuk, hantu, manis dan kelingking. Semuanya punya fungsi yang berbeza. Penting. Namun semuanya bersatu tika kita menyuap nasi ke dalam mulut. Menguncup menjadi bentuk yang cantik, supaya nasi yang disuap tidak tertumpah ke tempat lain. Semua itu aku pelajari dari Bonda. Aku belajar menghargai diri dan memerhati dunia dari sudut pandangan yang lain di bawah bimbingannya. Memerhati segalanya untuk mencari hikmah dan makna tersirat tiap-tiap kejadian, supaya tidak tersasar dari landasan yang harus aku ikuti.


“Syukran Ya Allah. Kau titipkan aku kepada Bonda dan Ayahanda. Rahmatilah kedua orang tuaku. Kurniakanlah mereka tempat yang mulia di sisimu. Rahmati juga roh Ayahanda. Kasihi dan kasihanilah Bonda sebagaimana dia mengasihi dan mengasihani aku ketika aku masih kecil. Berilah aku kesempatan untuk membalas jasanya. Amin..”

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape