Jun 22, 2009

#17

Aku semakin gembira bekerja di rumah Tuan Kamal. Jalinan kemesraan di kalangan ahli di rumah ini kian akrab. Banyak sungguh gurau-senda yang mengisi hari. Dr. Fahmi juga bertambah yakin untuk menaruh kepercayaan kepadaku menjaga Tuan Kamal. Namun tidak dapat dinafikan, aku sangat merindui ayah. Sering aku menghubunginya bertanya khabar. Mengumpul kekuatan untuk terus berada di sini dari dorongan dan kasih sayang ayah. Alhamdulillah, keadaannya sihat. Dia juga merindui keletah manjaku. Perhatianku padanya. Apakan daya, tuntutan kerja. Terkadang aku menangis sendirian di hujung katil pada waktu tengah malam. Mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ayah dan mak. Semoga segalanya di dalam lindungan dan rahmat Allah selalu.

Mungkin menyedari keadaanku, Tuan Kamal mengajak aku mengikutnya bercuti. Bukan hanya aku, semua isi rumah diajaknya bersama. Kak Ana, Mak Limah, Pak Sharif telah terlebih dahulu diajak sebelum aku, supaya aku tidak punya alasan untuk menolak. Seperti hari keluarga rasanya. Tanah Tinggi Cameron menjadi lokasi pilihannya. Dr. Fahmi tidak menghalang, sebaliknya dia juga ikut serta dalam aktiviti ini. Cukup melegakan aku yang sudah mula berfikir yang tidak-tidak. Kedua-dua anak lelakinya tentu tidak membiarkan peluang berehat ini begitu sahaja. Seronok sungguh rasanya, setelah sekian lama aku tidak melihat kehijauan alam.

Malam sebelum bertolak ke tanah tinggi, aku menghantar mesej ringkas kepada Azhar. Memaklumkan percutianku yang memungkinkan aku tidak sempat untuk menghubunginya selama tiga hingga empat hari. Tempoh singkat yang cukup untuk mencambahkan akar rindu di sudut hati. Kebetulan, dia juga ada kerja luar pada hujung minggu itu. Urusan bersama majikan di luar daerah. Tiada liputan komunikasi katanya. Kursus mungkin. Aku malas bertanya lanjut. Sedia maklum keadaannya yang sukar berkisah panjang.

Rupa-rupanya Abang Shah dan Kak Aina sudah menanti kami di tanah tinggi ini. Mereka terlebih dahulu tiba, memastikan rumah tumpangan yang disewa telah bersedia untuk menerima kedatangan kami terutamanya Tuan Kamal. Keselesaannya menjadi keutamaan kami semua. Entah mengapa, terdetik satu rasa yang aneh melihat kemesraan mereka berdua ketika menyambut kami di tapak parkir kereta tadi. Memikirkan mereka datang bersama menggunakan kereta Abang Shah. Pantas, aku menidakkan apa yang kurasa. Sekadar menganggapnya sebagai kesan perubahan altitud terhadap diriku.

Berpeluang menjejaki Ladang Teh Boh di Sungei Palas ini menjentik perasaanku. Melihat kecantikan tanaman teh yang dijaga dengan baik dari pelbagai sudut pandangan, sungguh membuahkan satu rasa yang cukup selesa. Aku berasa tenang. Gembira. Melepaskan lelah di puncak bukit. Cukup lain dengan kocakan rasa ketika melewati lereng bukit yang cerun dan curam untuk menuju ke ladang ini. Kecut perut tika kereta yang kami naiki berselisih dengan kereta lain di lereng jalan yang sempit itu. Habis semua doa dan ayat Quran yang terlintas aku lafazkan. Terkumat-kamit mulutku. Abang Shah hanya tersenyum melihat telatahku melalui cermin hadapan kereta. Dia menjadi pemandu untuk aku, Kak Ana dan Mak Limah. Pak Sharif pula setia sebagai co-pilot. Abang Akram pula memandu sebuah lagi kereta, bersama Tuan Kamal, Dr. Fahmi Abang Adrian dan Kak Aina.

Melawati kilang Teh Boh, aku berpeluang mengetahui dan melihat sendiri kaedah pemprosesan teh. Beberapa peringkat kritikal perlu diawasi dan diproses dengan teliti. Proses memilih daun yang penting untuk memastikan daun yang dipilih tidak terlalu muda atau tua yang akan menjejaskan rasa teh. Seterusnya proses menggelek daun menggunakan mesin-mesin penggelek yang telah digunakan sejak tahun 1935. Semasa proses ini, daun teh digulung dan daun-daun layu dipecahkan sementara sel dalaman daun diubah dan diranapkan. Peringkat seterusnya ialah fermentasi dan pengoksidaan yang penting untuk penghasilan rasa dan aroma, dan akhir sekali ialah proses pengasingan dan penambahan rasa teh dengan ramuan yang tersendiri. Semasa dalam kesemua peringkat, pembawa (conveyor) digunakan untuk membawa daun-daun teh yang diproses supaya semua proses berlaku secara sekata dan teratur.

Aku tidak melepaskan peluang bertanya kepada pegawai pengiring pelawat yang bertugas tentang perkara-perkara yang menimbulkan kemusykilan padaku. Secara tidak langsung, aku dapat mengimbas semula pengajianku tentang Kejuruteraan Makanan semasa tahun akhir di universiti dahulu. Kepentingan CCP (Critical Control Points) dan GMP (Good Manufacturing Process) dalam pembuatan dan pemprosesan makanan. Segala aspek diambilkira dalam memastikan kualiti makanan yang dihasilkan adalah yang terbaik dan menepati tahap yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bak kata Dr. Fahmi, penjagaan pemakanan adalah kunci kepada kesihatan yang baik selain amalan sehari-hari. Salah satu cabang penting dalam gaya hidup sihat.

Pengawalan CCP adalah sangat penting. Sebelum CCP diaplikasikan, satu analisis iaitu HACCP (Hazard Analysis Critical Control Points) dilakukan terlebih dahulu ke atas sesuatu proses penghasilan makanan. Merupakan satu kaedah pencegah sistematik kepada ancaman keselamatan terhadap makanan sama ada dari segi fizikal, kimia mahupun biologi. Juga sebagai metod terbaik untuk kawalan berbanding pemeriksaan akhir setelah makanan selesai diproses. Kawalan ini digunakan untuk mengenalpasti potensi ancaman terhadap keselamatan makanan, supaya tindakan (CCP) boleh diambil untuk mengurangkan atau menghapuskan risiko ancaman berkenaan. Sistem ini perlu digunakan ke atas semua proses dari penyediaan sehinggalah pembungkusan dan pengedaran makanan, untuk melindungi kesihatan awam.

Tersenyum aku mengingatkan peristiwa lama. Bagus juga aku memilih subjek itu sebagai elektif. Sekurang-kurangnya aku ada punca tentang segala perkara yang diterangkan oleh pegawai pelawat itu. Jika tidak, pasti aku tercengang dan bingung. Tidak mengetahui di mana punca dan pangkal perkara yang diperkatakan. Hanya ternganga sehingga cicak jatuh ke dalam mulut. Cicak? Sejurus aku tersedar bahawa fikiranku sudah menerawang terlalu jauh. Nisa, Nisa. Bangun! Selalu sangat bermimpi di siang hari.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape