Jun 22, 2009

#18

Dalam perjalanan pulang ke rumah sewa, aku sekali lagi berangan-angan. Memikirkan keadaan Azhar. Entah bagaimana khabarnya? Adakah dia juga sedang mengingati aku? Sesekali aku berkerut. Sekejap pula aku tersenyum. Pak Sharif hanya mampu menggeleng melihat perlakuan aku. Memahami naluri orang muda. Tidak mahu mengganggu, dia sekadar senyum sendiri dan mengalih semula tumpuan ke hadapan. Menyertai Abang Shah yang tampak khusyuk dengan pemanduannya. Memerhati Abang Adrian yang sibuk merakam pemandangan dan video perjalanan dari dalam keretanya yang berada di depan kami. Sesekali, dia kelihatan menghalakan video kamera ke arah kami sambil mulutnya terkumat-kamit mengucapkan sesuatu. Mengisahkan keadaan perjalanan barangkali. Mereka yang lain di dalam keretanya tampak terhenjut-henjut menahan tawa masing-masing, termasuklah Tuan Kamal. Mereka bergembira. Seronok. Itu juga merupakan kali pertama aku melihat sisi lain Dr. Fahmi. Santai.

Perjalanan menuruni ladang teh mengambil masa yang cukup lama, disebabkan ramai memilih untuk melawatinya pada waktu tengahari. Jalan yang sudah ternyata sempit melambatkan lagi perjalanan. Pertembungan dengan kenderaan pacuan empat roda yang pastinya banyak, menyebabkan pemanduan kian perlahan. Banyak kali juga kami berhenti di laluan yang agak luas, bagi membolehkan kenderaan yang besar dari arah bertentangan untuk melepasinya terlebih dahulu. Sementelah, laluan yang berliku menyukarkan kami melihat kenderaan dari arah hadapan. Seringkali hon dibunyikan, tanda memberitahu kami berada di selekoh lorong yang sememangnya curam. Memberi amaran kepada kereta dari arah berlawanan akan kehadiran kami, supaya tiada pertembungan yang menyesakkan perjalanan berlaku. Tika ini, kesabaran seperti teruji. Mujurlah cuaca agak dingin walaupun pada waktu tengahari. Andainya berlaku di tengah bandar Kuala Lumpur, aku tidak tahu bagaimana reaksi semua pemandu. Takut untuk membayangkannya.

Memerhati kenderaan yang melintasi sambil menanti waktu untuk sampai ke rumah sewa kami, tiba-tiba aku merasakan percutian ini terlalu lama. Mengingat dan merindukan ayah. Rasa rindu terhadap ayah yang sudah lama bercambah kini sudah mula berdahan. Rasa tidak selesa mula mencucuk pangkal hati. Mengelakkan perkara yang tidak diingini, aku mengutus doa. Mengharapkan rasa rindu ini cukup untuk menemani hari-hari ayah di kampung, di samping emak. Aku mula berkerut, cuba menahan tangis dari memecah tubir mata.

Menyedari perubahanku, Kak Ana dan Mak Limah mula mengambil peranan. Membuka topik cerita mengenai ladang yang baru kami lawati. Juga membawa kembali kenangan lawatan ke ladang strawberri petang semalam. Aksi-aksi lucu yang sempat dirakam sebagai kenangan ketika memetik strawberri diputar semula. Tidak mengambil masa yang lama, aku kembali mengukir senyum dan menyertai perbualan mereka. Membayangkan keadaan jika kami melawati Taman Rama-rama. Tentunya Mak Limah akan terjerit-jerit kegelian apabila banyak rama-rama berterbangan di atas kepala dan hinggap di atas badannya. Belum lagi membayangkan bagaimana aksinya melihat pelbagai jenis pokok kaktus. Pasti riuh mendengar celotehnya yang tidak henti. Lucu!

Malam akhir di tanah tinggi, aku mengikut Kak Aina, Abang Akram, Abang Adrian dan Abang Shah berjalan-jalan. Menikmati udara dan dingin malam di kawasan Brinchang. Seperti hari pertama tiba, aku masih menggigil apabila angin berhembus di sini. Berbeza dengan yang lain. Mereka kelihatan sudah biasa dengan suasana sejuk ini. Melewati kawasan pasar malam di situ, banyak gerai menwarkan pelbagai harga menarik untuk produk strawberri. Strawberri kering – aku tidak melepaskan peluang merasai keenakannya. Di sini jugalah aku mengenali buah cinta – yang turut digunakan sebagai bahan membuat jeruk asam.

Aku mencari-cari barangan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Melihat dari satu gerai ke gerai, tidak menyedari aku telah terpisah jauh dari kelompok kami berlima. Aku membelek bantal berbentuk strawberri, pelbagai jenis makanan ringan yang dijadikan asam, dan tawar-menawar harga untuk strawberri kering yang mula sesuai dengan seleraku. Aku berjalan terus sehingga ke hujung. Menemui sebuah gerai yang menjual pelbagai barangan cenderamat untuk harga RM1 setiap unit. Aku mula memfokuskan kepada pelbagai bentuk dan rekaan rantai kunci yang dipamerkan. Bercadang memilih pelbagai jenis barangan itu untuk diberikan kepada ayah, emak dan Khiriah. Juga untuk simpanan peribadi. Menambahkan koleksi yang memang sudah bertimbun dari dulu. Meneruskan hobi mengumpul rantai kunci yang berbagai-bagai jenis.

Sedang aku asyik meneliti rantai kunci, sekumpulan lelaki cina menghampiri dan mula menghimpit. Mereka berebut-rebut ingin melihat rantai kunci yang sama di gerai yang kecil itu. Aku mula rimas. Terhimpit. Mujurlah ada seseorang menarik lengan bajuku. Menyedari aku kelemasan diperlakukan demikian. Aku sangat berterima kasih padanya yang prihatin padaku. Setelah agak selesa untuk bergerak, perlahan-lahan aku menoleh. Berhajat untuk melihat wajah penyelamatku sebentar tadi dan mengucapkan penghargaan kepadanya.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape