Jun 19, 2009

#2

Ayah. Nama itu terlintas setelah rasa warasku hadir kembali. Dalam esakan yang tidak reda, satu persatu peristiwa aku khabarkan. Puaslah ayah memujukku. Bila tangisku hampir reda, ayah mengemukakan satu persoalan.

“Tadi dah buat laporan polis tak?”

tergagap aku menjawab, “Aaa? Be..be..belum Yah.”

“La, kenapa tak buat laporan lagi? Tak sempat la nak kesan kereta kamu tu. Ini dah dekat pukul 4 petang. Dah, cepat siap pergi balai buat laporan. Ajak la kawan kamu yang mana ada.”

Titik kewarasanku kini mula berada di tahap optimum. Lalu aku melangkah kaki menuju ke balai polis berhampiran, setelah memastikan pintu dan grill rumah telah dikunci. Enggan peristiwa yang sama berulang lagi. Nasiblah balai ini tidak terlalu jauh dari rumah.

Seperti kata ayah, tiada apa yang dapat dilakukan lagi, kerana aku lewat membuat laporan. Namun, tindakan masih diambil walau aku tahu harapannya tipis. Lenyaplah sebuah Perodua Kelisa milik ayah yang satu itu. Maka, bermulalah era aku terpaksa menaiki bas berulang-alik ke fakulti dan rumah sewa. Harapnya hanya untuk seketika. Otakku mula berencana untuk meminta jasa baik ayah supaya sekali lagi untuk ‘meminjamkan’ aku sebuah lagi kereta miliknya. Akan aku fikirkan cara memujuknya nanti.

Ayah menghubungi kembali, menyuruh aku pulang ke kampung. Aku bersetuju sahaja lantaran fikiran aku juga agak berkecamuk. Kebetulan aku tiada kelas pada hari Selasa dan Rabu. Aku mengambil teksi ke Stesen Komuter UKM. Mengambil keputusan mengambil tiket pulang ke Melaka dari Seremban. Teringat aku belum sempat menjamah makanan hari itu, perutku segera berbunyi minta diisi. Bak kata ayah, jangan menyeksa diri sendiri. Aku mengambil keputusan makan di kedai berdekatan stesen itu. Nasi ayam menjadi pilihanku. Enak. Mungkin aku yang terlalu lapar. Seketika sahaja licin pinggan aku kerjakan.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape