Jun 19, 2009

#1

Jam sudah menunjukkan angka 1.30 apabila aku selesai menyiapkan kerja tambahan yang diberi Prof. Bergegas aku menuju ke sebuah kedai makan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Makanannya sedap, sebab itulah ramai yang memilih untuk makan tengah hari di sini. Fikiranku masih lagi menerawang tentang peristiwa hangat pagi tadi. Disebabkan terlalu khusyuk berfikir, kaki aku telah melangkah melebihi had dan sempadannya. Akibatnya, aku terlanggar seseorang.

Jejaka rasanya, sebab aku teringat dia ada bertanya, “awak ok?” tapi aku langsung tidak menjawab kerana tergamam melihat pakaiannya lencun dan kotor dengan lauk untuk santapan tengah hari aku. Kuah kari dan sup sayur. Baru sahaja aku ingin mengucapkan kata maaf, kaki aku sekali lagi tergelincir kerana terpijak sisa makanan yang aku tumpahkan tadi. Terdengar juga beberapa suara tertawa lepas menyaksikan peristiwa lucu itu. “Nasiblah aku berseluar. Kalau pakai kain tadi, tak ke kes naya?” Terus aku bangun dan lari menuju ke kereta. Rumah. Hanya perkataan itu muncul di kotak fikiranku. Terus hilang rasa lapar.

Sebaik tiba di rumah, aku membersihkan diri selepas memastikan pintu rumah dikunci. Setelah mandi dan berpakaian, aku duduk di tepi katil. Kembali mengenangkan peristiwa tadi. Menangis seketika aku membayangkan betapa malunya peristiwa itu tadi. Harapnya tiada siapa yang mengenali aku. Tapi, kalau aku menangis tak berlagu sampai keluar air mata darah pun, bukan boleh buat apa-apa. benda dah berlaku. Anggap sahaja semuanya mimpi ngeri.

Tiba-tiba, aku mendengar bunyi deruan enjin. Terkejut. “eh, awal pulak diorang ni balik kerja?” lantas aku ke tingkap. Hajatnya untuk melihat siapa yang pulang. Tersentak aku melihat kereta Kelisa aku dibawa lari. Berkejar aku ke pintu hadapan. Tak sempat melihat pemandunya., kerana bila aku membuka pintu, keretaku sudah jauh dibawa pergi. “Ya Allah, aku tinggal kunci dalam kereta tadi. Terduduk aku di hadapan pintu. Inilah nasib bila duduk di rumah tak berpagar.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape