Jun 19, 2009

#Prolog

Suatu hari yang indah. 21 Januari 2008, pagi Isnin yang cerah bertukar mendung yang teramat kelam dalam kamus hidupku. Hari itu aku telah melalui hari yang sengal dan mengundang rasa rendah diri yang teramat sangat. Dari pagi lagi aku telah melakukan pelbagai aksi yang mampu dan melumpuhkan sistem pemikiran yang waras dan meruntukan semangat untuk terus mengharungi hidup dengan penuh kecekalan. Dalam erti kata lain, aku rasa seperti ingin hidup di bawah tempurung, seorang diri tanpa ada sesiapa yang memerhati. Rasa beku seketika fungsi mindaku ini.

Bagai menempah maut, hari itu aku terbangun lewat daripada biasa. Bukannya lewat yang biasa, tetapi luar biasa. Mengapa? Pada tarikh keramat itulah aku akan membentangkan hasil kajian projek individu di hadapan kelas. Pembentangan ini merangkumi 20 peratus dari markah keseluruhan untuk penilaian gred semester. Pensyarahnya? Pastilah pensyarah yang garang dan sukar dijangka emosinya. Adalah lebih baik tidak kunyatakan di sini siapa orangnya. Ingatan itu menyebabkan segala persiapan aku semakin kelam kabut. Kusarung mana yang sempat kucapai. Nasiblah baju dan seluar sudah siap digosok dan aku gantung di tepi pintu. Semuanya gara-gara aku gagal menahan keinginan dari menonton filem The Forbidden Kingdom, lakonan hero kegemaranku Jet Li malam tadi sejurus selepas membuat semakan terakhir untuk pembentanganku. Itulah akibatnya apabila cuba mengecapi nikmat dunia tanpa ada rasa kesyukuran. Insaf aku seketika bila mengenangkan dugaan yang satu ini.

Sampai sahaja di fakulti aku bergegas menuju ke kelas. Tiba-tiba, seorang pelajar perempuan menegur aku.

“Awak, kasut awak lain sebelah.”

Ujarnya dengan muka yang cuba menahan tawa.

“Ya, Allah! Darah segera menyerbu ke muka. Malunya aku! Macam mana nak buat pembentangan macam ni? Dah la ada markah penampilan.”

Agak lama aku terhenti di laluan itu. Nasiblah tidak terlalu ramai orang melalui laluan itu. Sedang khusyuk aku membebel pada diri sendiri, bahuku dicuit lagi. Muncul pula seorang jejaka. Katanya dia terdengar omelanku tadi. Terus dia dengan baik hatinya menawarkan aku memakai kasutnya. Saiz badannya kecil untuk seorang lelaki. Hampir sama tinggi dengan aku, mungkin dia tinggi sedikit dariku.

Tapi aku tak punya waktu yang banyak untuk memikirkan lebih lanjut. Terus aku menyatakan persetujuan dengan tawaran terhebat yang kudapat pagi itu. Seketika kemudian, kasutnya melekap cantik pada kakiku. Lega juga rasanya melihat kasut ini yang tidak terlalu kelelakian. Boleh dipakai oleh kaum sejantina denganku. Terus aku melangkahkan kaki menuju ke dewan kuliah 5. Namun, aku sempat menoleh dan melaungkan ucapan terima kasih padanya. Dia hanya mendongak dan mangangguk padaku kerana sedang sibuk mengeluarkan kasut bola dari beg galasnya. Terus aku teringat poster yang sempat aku baca di dalam lif kelmarin.

“Oh ya, hari ini ada perlawanan bola antara jabatan.”


Setibanya di kelas, aku menebalkan muka menolak pintu hadapan dewan kuliah. Kelewatan 20 minit pada hari pembentangan adalah perkara yang memang tidak harus dilakukan oleh sesiapa pun di atas muka bumi ini. Semua 74 pasang mata mencerlung memandangku serentak. “Arghh! Malunya aku!” Seketika kemudian, aku terdengar,

“Ya, Cik Nur Khairunnisa binti Ahmad. Awal kamu sampai hari ni ya? Berdiri sekejap kat situ”

Aku cuma diam dan menurut arahan.

“Apa kamu nak buat kalau saya tak benarkan kamu masuk kelas saya hari ni?”

Lantang beliau bertanya padaku. Dalam keadaan separuh sedar, mulutku menuturkan kata-kata yang sungguh tidak patut. Mungkin menyambung omelanku yang terbantut di perjalanan tadi.

”Tak bagi masuk, balik je la. Apa nak susah..”

Pantas aku menutup mulutku setelah sedar aku terlepas berkata-kata demikian.

Owh, how brave you are. Let us see what you got for us today.

“Fuh, nasib baik. Baik, Prof.”


Nasib aku masih dikira baik kerana beliau membuat keputusan mendengar pembentanganku. Kalau dia halau aku tadi, tentu aku gagal subjek ni. Itulah orang tua-tua cakap, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Walau agak kelam-kabut, aku tetap usahakan untuk membentangkan yang terbaik. Selepas kelas itu, Prof memanggil aku dan memberikan beberapa kerja tambahan sebagai ‘hadiah’ di atas perlakuan cemerlang aku dengannya tadi. Tak kisahlah, asalkan beliau tak gagalkan aku kali ni. Salah aku jugak, mulut laju sangat.

2 comments:

comei said...

erm salah eja kot
word *tepurung
hihihi

rahmahmokhtaruddin said...

ada slh ye? nnt sy betulkan.. tq..