Jun 22, 2009

#27


Akhirnya, malam tiba juga. Selesai menunaikan solat Isya’ dan makan malam, ayah mengajak aku berbual di laman. Aku segera mengikuti langkahnya diiring degupan jantung yang tidak menentu. Sungguh tidak tenang saat ini. Ayah tetap tenang seperti tadi. Kami sama-sama melabuhkan punggung di atas pangkin di hadapan rumah.

Kamu ni ok tak Nisa? Sampai makan pun tak lalu tadi, sikit sangat kamu makan. Takkan masih marahkan ayah sebab tak bagitau lagi sebab ayah suruh kamu balik ni?

Pertanyaan ayah hanya dijawab dengan senyuman. Ayah yang memahami kegusaran aku yang masih tidak reda cuma menggelengkan kepala dan tersenyum. Selepas menarik nafas, ayah memaklumkan aku satu berita yang sungguh mengejutkan. Perkara yang tak pernah aku bayangkan selama ini! Membuatkan aku terkesima beberapa ketika dan tidak mampu untuk bereaksi. Usai berkata-kata, ayah memegang tanganku dan memimpin aku masuk semula ke dalam rumah kerana jika dibiarkan, aku mungkin tidur di situ juga pada malam itu. Ayah membiarkan aku tenang sendiri tanpa perlu dipujuk atau ditenteramkan olehnya.

Di dalam bilik, aku termenung. Memandang terus dinding di sisi katil, bagaikan pandangan itu mampu menebus tembok batu itu dan menghalakan penglihatanku terus ke Sungai Manik. Ingatan seperti terbeku seketika. Masih kaget dengan perkhabaran dari ayah. Aku gagal menggerakkan fikiran supaya berfikir. Maka, sepanjang malam dialog perbualan aku dan ayah di halaman itu terus berputar-putar dalam kepala. Tidak sedar bilakah aku terlena.

“Ayah ada berita gembira. Khabar baik dari Sungai Manik, dari majikan kamu Tuan Kamal Abdullah bin Musa.”

“Berita apa yang seronok sangat tu ayah? Saya tengok ayah dari petang tadi senyum tak berhenti-henti.”

“Ni. Majikan kamu tu, dia berhajat nak jadi besan ayah dengan mak. Alhamdulillah, seronok ayah dengar. Dia datang tengahari semalam. Ayah pun dah setuju, tempoh pertunangan 5 bulan. Nanti tengah tahun bertambahlah ahli dalam keluarga kita ni.”

“Baguslah. Tercapai juga hajat mak nak bermenantukan anak orang kaya. Memang padan si Khiriah tu dengan Abang Adrian. Saya pun tumpang gembira kalau macam tu.”

“Bila masa pulak ayah cakap pasal Khiriah?”

“Habis tu? Tuan Kamal pinang siapa? Takkan saya? Saya mana bercakap sangat dengan anak-anak dia. Ayah ni pun.”

“Macam-macamlah kamu ni. mestilah dia pinang kamu. Dah dia tengok kamu 24 jam, tujuh hari seminggu. Adalah yang dia berkenan tu. Bila masa pulak dia kenal Khiriah tu?”

Saat mendengarkan ayat akhir ayah itu, aku terus terdiam. Kaku. Senyuman yang terukir sebelum itu terus hilang. Dialog ayah yang seterusnya tidak lagi kedengaran di gegendang telinga. Semuanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri, terbang entah ke mana. Yang aku tahu, dalam tempoh 5 bulan, aku bakal menjadi Puan Kamal!

Membayangkan reaksi emak petang tadi, aku mula faham segalanya. Emak marah tentunya! Khiriah yang diharapkan untuk disatukan dengan anak Tuan Kamal, dan bukan aku. Jika nanti jodoh mereka tiba, kami bakal mempunyai ayah mertua yang sama, berada dalam satu keluarga dan hidup sebumbung! Menantu orang kaya! Satu fakta yang sungguh membahagiakan jika ia bukan terjadi pada aku, seorang anak yang tidak pernah menjadi kesayangannya. Pastinya ayah juga tidak mengetahui kisah kedatangan Khiriah sebagai teman Kamal Adrian ke rumah Tuan Kamal. Mana mungkin mereka memaklumkan ayah tentang itu, jika aku awal-awal lagi sudah diberi amaran untuk tidak membuka mulut! Besar kemungkinan bakal suamiku nanti adalah Abang Akram, melihatkan emak hanya mendiamkan diri dengan jelingannya. Jika Adrian, tentu aku sudah menjadi mangsa amukan, kerana kami sudah maklum tentang Khiriah-Adrian. Hubungan dua anak muda yang bermula di Bogor itu.

3 comments:

comei said...

hohoho
ntah2 shah x? hihi

tapi kdg2 sy confius ckt
cth kat bab 16
spe aku? shah? azhar? huhuhu
xkan nisa plak kan hurm...

MaY_LiN said...

hohoho..
sape ye..
????

rahmahmokhtaruddin said...

Sama-samalah kita tunggu ye MaY_LiN & cik comei?

#comei: yg bab 16 tu rsnye dah tulis, aku tu utk shahrul azhar.. mmg bukan utk nisa, hehe...