Jun 22, 2009

#26

Kini, sudah hampir sebulan kisah itu berlalu. Semuanya telah kembali seperti asal, seperti ketika aku mula-mula menjejakkan kaki di rumah ini. Ketika aku baru bertatih mempelajari rutin hidup seorang pembantu peribadi seorang lelaki tua yang kaya di daerah ini. Saat aku masih lagi seorang yang mentah dalam menjalani kehidupan di daerah asing. Terkial-kial menapak mencari arah, di bawah tunjuk ajar seorang jejaka bergelar Dr. Fahmi. Demi melihatkan keadaan yang kembali stabil, Tuan Kamal membuat keputusan ke luar daerah untuk seketika. Aku tidak dibenarkan mengikutnya. Awal-awal lagi Dr. Fahmi telah menyatakan persetujuan untuk menemaninya dalam perjalanan kali ini. Aku sebaliknya disuruh berehat sahaja di rumah, atau jika perlu pulang ke kampung berjumpa kedua orang tuaku. Aku sedikit pelik. Ada sesuatukah yang sedang berlaku? Prestasi aku kurang baikkah? Adakah aku telah melakukan kesilapan tanpa aku sedari? Itukah sebabnya mereka perlu menjauhkan diri dan berbincang kaedah terbaik untuk menyingkirkan aku? Adakah aku terlalu paranoid dengan semua ini? Atau adakah kesihatan ayah dalam keadaan mebimbangkan? Rasanya tidak kerana aku baru sahaja berbicara dengannya malam tadi. Aku pasti semuanya dalam keadaan yang baik.

Tidak perlu menunggu lama, setelah hampir dua hari Tuan Kamal ke luar daerah, ayah menghubungi meminta aku pulang ke kampung atas urusan yang sangat penting. Berdebar aku mendengarkan bicara ayah yang begitu serius dan agak mendesak. Aku menghubungi Tuan Kamal, berhajat memaklumkan permintaan ayah dan memohon cuti. Dia seperti telah maklum tentang itu lebih awal, langsung memberi keizinan tanpa bertanya banyak. Aku semakin keliru. Tidak faham dengan sikap ayah dan Tuan Kamal yang seia sekata ingin aku pulang ke kampung. Satu kebetulan yang sungguh ironi! Ada sesuatukah yang telah direncana tanpa pengetahuan aku?

Dalam keadaan yang sedikit kabut dan perasaan yang berbaur, aku pulang juga. Pelbagai rasa menerjah benak, semuanya menuntut penjelasan yang wajar. Namun, aku gagal menjawab walau satu pun persoalan yang berlumba-lumba minta diselesaikan. Penyudahnya, aku membiarkan sahaja kesemuanya. Mengharapkan pertemuan dengan ayah mampu melunaskan hutang-hutang pertanyaan yang mula menggoncang ketenangan jiwa. Jarak perjalanan yang dekat dirasakan terlalu jauh, laksana perjalanan dari Johor Baru di selatan Semenanjung menuju ke Changlun nun jauh di utara. Sedang sudah berkali-kali aku berulang-alik dari Sungai Manik ke Melaka. Laluan yang biasa dilalui ini terasa sukar. Segalanya tampak begitu asing disebabkan tumpuan fikiran yang sedikit terganggu. Sebaik mungkin aku cuba memfokuskan pandangan ke atas jalan raya supaya kejadian yang tidak dingini dapat dihindarkan.

Setibanya di rumah, aku langsung bertanyakan ayah akan sebab aku diminta pulang dengan notis yang sungguh singkat itu. Ayah hanya tersenyum melihat anaknya yang sudah tewas dalam mengawal sifat sabar ini.

“Kamu kan baru sampai. Pergi mandi, rehat dulu. Waktu Zohor pun dah nak habis ni. Kamu dah solat belum?”

Laju aku menggeleng dengan muka yang sedikit muram, sambil menyambut huluran salam ayah.

“Sabar, tak ke mana pun ayah ni. Malam nanti ayah bagitau ye? Anak ayah ni penyabar orangnya kan?”

Usai mengucapkan kata-kata itu, ayah tersenyum lagi. Masih dalam riak yang menyenangkan. Mungkin cuba mengambil hati dan menenangkan perasaanku yang sedari tadi sudah berkocak.

Aku diam. Mengiyakan tidak, menafikan juga tidak. Protes. Geram dengan ayah yang masih berusaha menguji keutuhan dinding sabar dalam diri ini. Menoleh, aku ternampak emak. Emak yang berdiri di hujung pintu dapur bersama satu jelingan yang cukup tajam, menambah resah di dalam hati. Mukanya jelas menunjukkan rasa amarah yang gagal dibendung. Tidak berani mendekati, aku hanya tunduk dan berjalan menuju ke bilik tidurku di hujung ruang tamu. Dalam hati tak putus-putus aku hamparkan bingkisan doa, mengharapkan segalanya tak seburuk yang disangka. Debar yang menampar dada semakin kuat, begitu menekan. Janganlah berlaku apa-apa perkara yang menggugat keimanan ini ya Tuhan. Sesungguhnya aku tidak mampu menerima sebuah lagi berita yang mendera. Layakkah aku menerima ujian sebegini hebat dari-Mu? Aku bukan hamba-Mu yang taat. Jauh sekali seorang anak yang solehah. Aku hanya seorang anak yang sering mengundang kemarahan ibunya. Mengapa sebegini banyak kasih yang Kau kurniakan buatku?

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape