Jun 22, 2009

#25

Berikutan kepercayaan Inspektor Mamat pada ayah, aku digugurkan dari kes berat itu. Beliau juga memohon maaf pada ayah dan emak kerana melibatkan aku. Namaku telah dibersihkan. Satu kenyataan indah yang tidak mampu melembutkan hati emak untuk memaafkan aku, atas sebab memalukan keluarga. Satu-satunya perkara terakhir yang aku pohon supaya berlaku dalam sejarah hidup sesiapa jua di atas muka bumi ini. Apalah daya, emak enggan menerima apa-apa jua alasan yang aku bentangkan. Biar seluas tanah Melaka, tetap tidak berupaya menzahirkan pada emak bahawa anaknya ini tidak bersalah. Aku tetap anak dianggap anak yang toleh dan tidak baik oleh emak. Akhirnya aku pasrah, menyerahkan segala pada ketentuan dan percaturan Yang Esa, kerana dia Maha Mengetahui.

“Nisa!”

Panggilan dari Kak Ana itu mengembalikan aku ke alam nyata. Disebabkan kisah itukah emak masih memarahi aku hingga kini? Entahlah.

“Ye Kak Ana? Ada apa?”

“Takdelah, akak tengok kamu asyik menung je dari tadi. Ada apa-apa masalah ke nak akak tolong?”

“Takde masalah la akak. Saja. Hobi saya memang termenung.” Laju aku menjawab sebelum menyeringai di hadapan Kak Ana. Menutup segala rasa tidak enak yangmengganggu benak.

“Macam-macamlah kamu ni, pelik aku. Tak kisahlah, asal kamu tak menangis sorang-sorang macam dulu sudah.”

“Yelah akak. Terima kasih sebab akak selalu ambil berat pasal saya. Tak terbalas rasanya jasa akak pada saya.”

“Ke situ pulak kamu ni. takde jasa-jasanya. Sama je. Hari ni hari kamu. Esok lusa hari akak pulak. Itu pun sebabnya kita perlu hidup berkeluarga, sayang sesama manusia. Dah-dah, tak payah buka bab-bab sedih. Karang ada pulak orang kena mop rumah sebab banjir. Tutup buku, fikir hal-hal lain.”

Sejurus Kak Ana berkata demikian, kami berpandangan seketika sebelum melepaskan ketawa kecil. Tidak lama, kami kemudian bangun menuju ke dapur untuk menolong Mak Limah menyediakan hidangan makan malam Tuan Kamal.

Tegas! Itu yang aku perlukan tika ini! Cukuplah memanjakan diri! Hidupkan kembali semangat dalam diri! Lepaskan segala yang telah lalu. Tamatkanlah episod duka yang lama. Kembali dengan episod baru yang lebih menceriakan. Emak pasti akan memafkan suatu hari nanti. Aku harus positif selalu. Nisa, jadilah dirimu kembali. Iya, untuk itu aku perlu perbaiki persepsi terhadap diri sendiri. Mengapa ya? Sahabatku pernah berkata, kita yang membentuk diri kita. Segala yang kita cernakan dalam minda akan mencorakkan perlakuan kita. Laksana sebuah kebun tanaman. Fikiran yang baik membuahkan hasil yang baik dan yang buruk akan menghasilkan sesuatu yang buruk. Aku harus menerobos mindaku semula dan memusatkannya kepada harapan dan kejayaan. Bukan pada perkara negatif yang merundung putus asa dan kemalapan. Tentunya perubahan ini akan memandu aku ke arah hidup yang lebih tenteram justeru membuka ruang cahaya untuk menyinari hidupku.

Seperti biasa, kami semua makan bersama pada malam itu. Sudah lama rasanya aku tidak menikmati dan menghayati suasana ini dengan sepenuh hati. Malam itu, aku menceriakan diri. Berusaha sebaik mungkin menjadi Nisa yang baru. Menikmati segalanya dengan rasa gembira dan syukur, kerana rahmat Tuhan itu boleh ditarik bila-bila masa sahaja jika kita sering kufur. NIKMAT. Perkara yang sering kita abaikan bila berhadapan dengan masalah. Sedang itulah cara terbaik untuk menghindarkan depresi melampau. Nikmat kurniaan Tuhan adalah untuk dinikmati. Tidak perlu untuk buat apa-apa yang lain. Lupakan perkara lain ketika menghadap nikmat pemberian-Nya. Cukup dengan bersyukur dan memikirkannya supaya kita lebih mengagumi kebesaran Tuhan Yang Esa. Untuk itu, aku perlu ketawa semula. Lebih ramai insan yang ditimpa musibah yang lebih dahsyat dari aku. Dugaan untukku ini tidaklah seberapa berbanding mereka. Bersyukurlah. Pasti aku dapat melupakan masalah yang melanda diri. Senyum dan ketawalah wahai Nisa! Sesungguhnya senyuman itu adalah pengubat duka. Maka tidak hairanlah jika ada seorang doktor di universiti tempatan melakukan kajian untuk menjadikan ketawa sebagai terapi.

Biarkan sahaja emak berbangga dengan Khiriah. Aku juga punya kelebihan dan tarikan tersendiri! Tiada sesiapa pun di ata muka bumi ini yang seperti aku! Aku adalah seorang yang hebat. Aku sudah luar biasa dan menarik dalam cara aku sendiri! Tidak perlu rasanya menghukum diri sendiri disebabkan orang lain tidak mampu melihat kelebihan aku. Jika mereka tidak tahu menghargai dan mencintai aku, biarkan mereka. Aku harus bersemangat! Warga rumah Tuan Kamal nampak keistimewaan aku dan mereka menerima diriku seadanya. Menghargai aku dengan cara mereka yang sangat mengharukan aku. Ya. Aku juga mempunyai kasih sayang ayah. Mengapa aku boleh alpa dengan hakikat itu? Ampunkan khilafku Ya Tuhan!

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape