Jun 22, 2009

#24

Mengenal diri. Untuk mengenali diri sendiri, kita perlu tahu sejauh mana kekuatan diri. Mengapa kita perlu mengetahui segalanya tentang diri kita sendiri? Supaya kita akan adil pada diri kita. Supaya kita meletakkan tangga diri di tempat yang betul. Bukankah adil itu dituntut dalam agama? Kejamlah kita jika memimpin diri kita ke jalan yang salah. Zalimlah jika kita memaksa diri melakukan sesuatu yang diketahui tidak mampu kita lakukan. Kekuatan seseorang itu bergantung kepada tiga perkara iaitu kekuatan akal, jiwa dan perasaan. Salah satu daripadanya akan mendominasi kekuatan kita, seterusnya menzahirkan perwatakan yang kita paparkan pada dunia. Dalam ketiga-tiga itu, di manakah kekuatan aku? Termenung sejenak aku selepas membaca tulisan di sebuah blog yang sempat aku singgah pada kesempatan itu. Sudah lama benar aku tidak merenung dan membaca diri. Adilkah aku pada diriku? Saksamakah aku pada kehendak dan kemahuan aku sendiri? Entahlah. Nampaknya aku perlu bermuhasabah. Belajar lagi mengenal diri.

Aku duduk berfikir – sebab emak dan adik menunjukkan rasa tidak senang denganku. Sebab Azhar menjadikan aku teman penghilang sunyi dan macam-macam lagi. Di manakah kekuatan aku sehingga diperlakukan sebegini rupa oleh orang-orang di sekelilingku? Individu-individu yang aku sayang. Benarlah, hamparlah kasihmu pada Yang Esa, kerana kasihmu pasti berbalas. Aku terlupa hakikat itu. Betapa luasnya cinta yang telah dihulur padaku. Jika tidak, masakan aku diizinkan menghirup udara di bumi ini sekian lama? Jika perlu dibayar, entah berapalah jumlah hutang aku dengan Tuhan. Sekadar perlu dibayar dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi. Itu pun tidak mampu aku lakukan.

Terkenang aku peristiwa hitam itu – ketika aku bekerja sementara menanti keputusan STPM diumumkan. Aku meminta izin ayah untuk bekerja di sebuah kilang di pekan, bersama Amelia – anak Pak Osman yang tinggal di hujung kampung. Amelia adalah temanku. Dia hanya belajar sehingga tingkatan 5 dan bekerja di situ. Melihatkan aku lapang, dia mengajak aku mencari wang saku tambahan untuk kemudahan apabila diterima memasuki pusat pengajian tinggi nanti. Aku seronok. Gembira dengan pengalaman baru seperti ini. Tidak ramai anak muda yang ingin bekerja seperti kami. Penat. Menghadap kerja yang sama setiap hari. Seperti robot pun ada.

Hampir 2 bulan bekerja di situ, kegembiraan yang aku rasai mula dilitupi awan hitam. Langit malam yang dihiasi bintang-bintang terang gagal menerangi hidup aku pada saat itu. Aku ditangkap ketika berjalan pulang bersama-sama Amelia, atas tuduhan mengedar dadah kepada penduduk setempat! Masyaa-Allah! Tak pernah terlintas di benak untuk melakukan perkara sedemikian, walau terkadang poket tidak berisi. Terkejut aku dengan tuduhan itu. Sungguh tidak berasas! Sekeras mungkin aku menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh ketua kampung. Namun apa daya, teriakan aku hanya terdengar di kotak fikiran sendiri. Disebabkan orang sekeliling telah melempar pandangan nista, tohmahan dusta tanpa mendengar sebarang penjelasan dari bibir mulusku ini. Ditambah lagi apabila Inspektor Mamat mengeluarkan dua bungkusan berisi serbuk putih dari beg Amelia. Bukti yang cukup untuk membuatkan kami berdua diberhentikan kerja serta-merta!

Tanpa sempat aku berkata apa-apa, air mata telah terlebih dahulu merembes keluar dari tubir mata. Gagal aku pertahankan. Maruah diri dan keluarga telah tercalar dan hubungan saudara mula terkoyak seluas-luasnya. Tidak mampu untuk aku jalin semula dengan titian mahabbah, lantaran emak juga menjeling tajam, memaling muka ke arah lain. Malu dengan peristiwa yang berlaku. Kedudukan ayah di mata orang kampung teralih ke aras rendah dalam sekelip mata. Aku hampir ditahan reman. Tidak sanggup aku bayangkan bermalam di lokap walau untuk tempoh satu malam. Perit. Mujur, ayah hadir bersama cahaya. Membersihkan namaku dari debu-debu kotoran yang mula menutup pandangan penduduk atas kebaikan kami sekeluarga selama ini. Ayah menjelaskan kedudukan sebenar kepada Inspektor Mamat. Nasib juga beliau tidak mengambil tindakan atasku, kerana bahan bukti hanya ditemui di dalam simpanan Amelia, dan bukan aku.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape