Jun 22, 2009

#23


Keesokan hari, aku meminta izin emak untuk pulang. Emak hanya diam. Alhamdulillah, aku masih boleh bersalam dengannya. Masih berpeluang mengucup tangannya. Tak kisahlah apa pun yang berlaku semalam, atau sebelum ini, yang penting aku harus mohon ampun dari emak. Berdosa sungguh aku terlepas kata dengan emak semalam. Khilaf juga aku merahsiakan perkara sebesar ini dari pengetahuannya. Banyak sungguh salah aku pada emak. Emak yang telah menghabiskan separuh usianya untuk membesarkan aku. Aku yang bukan anak kandungnya. Aku yang bukan membesar di dalam rahimnya. Besar sungguh kasih seorang ibu. Walau emak selalu menunjuk rasa marahnya padaku, aku anggapkan semuanya sebagai tanda kasih emak buat aku.

Nisa: “Nisa minta maaf mak. Nisa tau Nisa selalu buat mak marah. Tapi Nisa harap mak faham kali ni. Nisa sayang kerja Nisa sekarang. Nisa tetap akan buat kerja ni jugak walau mak larang.”

Emak hanya diam. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Aku tau jauh di sudut hati emak, ada rasa kasihnya buat aku. Aku menganggap diam emak itu tanda dia redha pada aku. Pada pilihan yang aku buat. Semoga segalanya akan lancar selepas ini.

Aku kembali bekerja. Dengan tenaga dan semangat baru yang segar. Kesan pulang dari kampung mungkin. Juga berkat doa dan redha emak buatku. Sempat menghubungi ayah, aku bertambah ceria. Tidak aku khabarkan tentang emak dan adik. Bercerita tentang perkara gembira lain. Cerita-cerita yang turut menyenangkan hati ayah. Ayah yang baru pulang dari kota. Ayah yang selalu menghabiskan masa berfikir dan risau tentang aku. Nisa – anak gadisnya yang cengeng. Mudah menangis. Tidak betah berhadapan dengan masalah. Anak yang sering memendam rasa. Sukar bercerita jika dilanda gundah, tetapi kerap menangis di hadapan ayah. Usai melepas tangis, aku pasti kembali tenang. Tetapi kali ini, aku enggan menitiskan airmata lagi. Memikirkan aku perlu lebih kuat selepas ini. Cukup rasanya memberatkan fikiran ayah. Walau terkadang aku hampir menghambur tangis, aku masih mampu mengawalnya. Kerana ayah jauh. Sebab kami hanya bercakap di telefon. Jika ayah berdiri di hadapanku, tentu sudah lama airmata yang berkumpul di tubir mata ini mengalir. Pasti sudah lama aku beresak tangis di bahu ayah.

Semua warga di rumah besar ini kembali riang melihat perubahanku. Tersedar. Rupanya aku telah menyusahkan mereka semua. Mereka yang sering memerhatikan aku. Mereka yang menyayangi aku. Tuan Kamal yang risaukan aku seperti ayah. Kak Ana yang selalu ingin berkongsi cerita denganku. Mak Limah, Pak Mail dan Pak Sharif yang selalu menganggap aku seperti anak mereka sendiri. Tidak lupa, Dr. Fahmi yang terkadang melayan aku seperti seorang adik di sebalik tingkah tegasnya. Ah, kejam aku pada mereka. Membiarkan mereka risaukan aku yang pentingkan diri ini. Aku yang terlupa bahawa aku punya ‘keluarga’ di sini. Segera aku mohon maaf pada semua. Menyedari silapku. Mengakui kelalaianku. Menyesali sikapku yang terlalu suka menyendiri, melupakan yang lain. Memang aku tidak bersyukur dengan kurniaan ini. Ampunkan aku Ya Tuhan.

Tuan Kamal: ”Lega rasanya hati saya tengok kamu ceria macam ni. Ingatkan kamu tak gembira kerja dengan saya selama ni. Mana tahu kamu tertekan asyik kena jaga saya ni je.”

Mak Limah: “Yelah Nisa. Mak Limah ingat kamu tak seronok di sini. Bosan agaknya duduk dengan semua orang tua je dalam rumah ni.”

Kak Ana: “Betul tu Nisa. Lain kali ada masalah bagitau la akak atau Mak Limah. Kami sedia berkongsi pendapat dan nasihat dengan kamu. Jangan la pendam masalah sorang-sorang je.”

Dr. Fahmi: Dengar tu, Nisa. Kalau saya keras sangat dengan kamu selama ni, saya minta maaf ye? Saya cuma nak awak tau yang kerja awak tu berat. Perlukan disiplin yang tinggi. Jangan pulak awak salah faham. Saya bukan nak buli awak.”

Pak Sharif: “Pak Sharif pun sama jugaklah macam Mak Limah ni. Kalau kamu rasa tak senang ke apa ke, cerita je dengan kami ni. Insya Allah, dengan pengalaman kami boleh bantu dari segi nasihat. Kami kan orang tua, lebih dulu makan garam dari kamu.”

Pak Mail: “Yelah, Apa-apa pun, Alhamdulillah kamu balik sini. Ceria la balik kami semua ni. Ada jugak orang muda dalam rumah ni nak buat teman. Hahaha.”

Kata-kata akhir dari Pak Mail disambut dengan gelak tawa dari semua. Sekali lagi aku mengucapkan kata-kata maaf. Terukir rasa bahagia di lubuk hati. Hati yang tersenyum kembali. Banyak sungguh kasih sayang yang aku terima rupanya. Mendung luka mula berarak pergi. Digantikan dengan sinar ceria yang cerah, menghiasi ruang langit pentas hidupku. Kisah tentang Azhar aku lupakan, lantas membuka lembaran baru.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape