Jun 19, 2009

#4

Waktu tengahari - hari Rabu, aku bersedia untuk pulang. Sudah aku maklumkan pada ayah untuk pulang selepas solat Subuh dengannya pagi tadi. Sejak jam 8 pagi tadi, aku tidak melihat kelibatnya. Entah ke mana perginya tidak aku ketahui. Katanya, dia cuti hari ini. Mungkin ada urusan penting yang memerlukan perhatiannya.

Jam mula berinjak ke petang, aku mula risau kerana ayah masih belum pulang. Risau pula aku jika pulang terlalu lewat. Nanti tiada bas untuk aku pulang ke rumah sewa. Segan aku untuk meminta pertolongan rakan serumahku, kerana kami tidak rapat. Sekadar kenal ketika aku mula memasuki rumah itu. Makan bersama? Baru sekali seingatku. Selebihnya, kami bebas melakukan hal masing-masing.

Lewat jam 4 petang, baru ayah pulang. Segera aku menuju ke pintu. Risau kerana ayah pergi terlalu lama. Juga risau kerana aku perlu pulang awal ke Bangi. Terkejut aku melihat ayah membawa sebuah Perodua Kancil berwarna kelabu. Emak mula menjeling aku. Tajam. Terpinga-pinga aku. Terkejut dengan tindakan emak.

“Nisa, ni ayah belikan kereta baru untuk kamu. Senang nanti kamu nak ulang-alik ke kelas. Tapi duit ansuran bulanan kamu bayar sendiri ya? Belajar berdikari sikit”.

Tersenyum aku dalam sebak. Lupa aku dengan perlakuan emak tadi. Tersentuh juga dengan keprihatinan ayah tentang susah senang aku. Air mata mula bergenang di tubir mata. Lantas ayah mendekati dan menyeka air mataku.

“Tapi, saya dah hilangkan kereta ayah tu. Saya sedar siapa saya ni. Nanti mak cakap saya susahkan ayah lagi, habiskan harta ayah lagi. Saya memang ingat nak pinjam kereta ayah, tapi belum sempat saya cakap apa-apa, ayah belikan saya kereta yang baru.”

“Eloklah tu. Manjakan la budak tu. Kereta hilang, terus awak beli yang lain. Ingat-ingatlah si Khiriah sama. Dia tu anak awak jugak.” Emak mula bersuara.

“Sudahlah, abaikan saja. Cepat, nanti lambat pula kamu sampai Bangi.” Ayah seperti biasa menenangkan dan mengingatkan aku.

Aku mengambil beg galasku yang memang sudah tersedia di ruang tamu. Perlahan aku melangkah dan menyalami emak. Emak seperti biasa tidak mengendahkan. Aku kemudian menyalami dan mengucup tangan ayah. Ayah menongkah daguku, lalu mengucup dahiku dengan penuh kasih sayang sambil menitip pesanan.

“Belajar elok-elok ya, nak? Jangan leka lagi. Solat jangan tinggal. Ayah akan selalu doakan yang terbaik untuk kamu. Jangan risaukan sangat hal-hal yang lain. Jaga diri kamu elok-elok.”

“Menyampah aku. Mengada-ngada.” Terdengar emak bersuara sebelum melangkah laju masuk ke rumah.

Aku tersenyum pada ayah. Cuba menggagahkan diri. Telinga aku pekakkan lagi. Segala sindiran emak aku anggap sebagai tanda emak menyayangi aku. Sekurang-kurangnya emak masih ingin berbicara denganku. Ayah membalas senyumku, dan memelukku sebelum menghantar aku ke pintu kereta.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape