Jun 19, 2009

#5

Perodua Kancil 6600-EX (Basic) warna kelabu itu meluncur laju di jalanraya. Pemandunya seorang wanita, kecil dan comel. Khusyuk benar dia pada pemanduannya. Dahinya kelihatan berkerut. Mungkin cuba memikirkan sesuatu, sambil memandu. Seketika sahaja, dia kelihatan tenang semula.

“Bayar sendiri ansuran bulanan? Nak ambil duit dari mana ya? Ajar tuisyen? Matematik?” Laju fikiranku mencari ruang membuat duit.

“Eh, laju betul kereta sebelah ni. Hmm.. Toyota Vios 1.5E. Kereta besar, seronoknya kalau dapat bawa. Eh, berangan pula aku ni. Boleh tahan juga pemandunya. Nampak berkarisma. Mesti pengaruh kereta ni. Kalau orang yang sama di dalam Perodua Kancil macam aku ni, mesti aku tak pandang dia macam sekarang ni.”

Kereta mewah itu laju berdesup meninggalkan aku. Semakin jauh. Pergi jauh bersama pemandunya yang kacak itu. Aku kembali menumpukan perhatian kepada pemanduan. Semoga cepat sampai ke Bangi. Lampu isyarat merah mula menyala. Perlahan-lahan kelajuan kereta aku perlahankan. Kelihatan kereta Toyota tadi sudah berhenti di lorong kanan, menanti isyarat untuk meneruskan perjalanan. Perlahan aku berhenti di sebelahnya. Pelik. Rasanya dia sudah jauh meninggalkan aku tadi. Sempat kami berbalas senyum sebelum lampu isyarat bertukar hijau.

Aku tiba di Bandar Baru Bangi jam 6 petang. Setelah memarkir dan mengunci kereta di hadapan rumah, aku masuk. Usai mandi dan solat Maghrib, aku turun ke dapur. Berhajat untuk mengisi perut. Terkejut bila Kak Ita menegur, bertanyakan keretaku. Kami berkongsi cerita seketika. Sudah lama rasanya tidak berbual panjang dengan ahli-ahli rumah ini. Mereka semua sudah berkerjaya. Hanya aku yang berstatus pelajar di rumah ini. Mereka rajin mengambil peluang kerja separuh masa di waktu malam. Ada yang sibuk dengan MLM (Multi-level Marketing), ada yang bekerja di restoran makanan segera, dan tak kurang yang selalu sibuk dengan aktiviti malam. Kebetulan pula Kak Ita tidak ke mana-mana malam itu. Kami memasak bersama untuk makan malam. Sudah lama kami tinggalkan aktiviti pengerat silaturrahim itu. Seronok rasanya. Mungkin inilah hikmahnya kejadian buruk yang berlaku padaku itu. Kak Ita, seorang wanita muda. Baru sahaja diterima bekerja sebagai seorang pengurus pelatih di sebuah pasaraya di Kajang. Jadualnya kerjanya padat. Jarang kami dapat bertemu muka.

Keletihan, aku hanya berbaring di atas katil pada malam itu. Laptop kesayanganku tidak diaktifkan. Masuk hari ini, sudah tiga hari blog aku tidak diisi dengan entri yang baru. Komen dari rakan-rakan alam maya juga tidak sempat aku balas. Hanya mereka kawan yang akrab denganku. Tanpa mereka pun, aku tetap aku. Tetap seorang yang suka menyendiri. Menghabiskan kebanyakan masa di hadapan laptop peribadi ini.

Sambil berbaring, aku berkira-kira. “Tempoh ansuran kereta 9 tahun. RM 220 setiap bulan. Servis? Percuma untuk setahun di Pusat Servis Perodua. Deposit telah ayah selesaikan, RM 3000. Jika aku mengajar subjek Matematik darjah 6, seminggu 4 kali setiap hujung minggu. Seminggu dua jam, sejam RM 30. Jumlahnya RM 240 sebulan. Cukup. Mulai esok, aku perlu mencari pusat tuisyen berdekatan”.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape