Jul 1, 2009

#30

Masalah lagi! Tidak sanggup rasanya menyerabutkan kepala lagi. Mengapa Khiriah gemar menggangu hidupku? Ada-ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Hampir setiap hari dia menelefonku. Jika bertanya khabar, pasti aku gembira. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Tujuannya hanya untuk menyakitkan hati!

Nisa: Assalamualaikum.

Khiriah: Wa’alaikum salam. Hai Nisa! Kau tengah buat pe? Goda Tuan Kamal ke?

Nisa: Adik! Apa cakap macam tu? Akak tak pernah buat benda-benda macam tu. Terfikir pun tidak.

Khiriah: Yelah kau tu. Semua tak pernah terfikirla apa la. Padahal hari-hari kau mengampu bos kau kat rumah besar tu kan? Kalau tak kenapa pulak dia nak pinang kau? Konon la baik.

Nisa: Kenapa dengan kau ni? Semuanya pasal aku kau tak puas hati. Aku tak pernah kacau hidup kau pun selama ni. Kenapa suka nak susahkan aku?

Khiriah: Haha.. Lawak la kau ni. Tak pernah susahkan aku konon. Tau tak dari dulu lagi mak selalu mengadu kat aku pasal perangai kau yang tak senonoh ni? Pasal kereta abah yang kau hilangkan dulu tu, kes dadah tu la. Pastu keje entah apa-apa, buat mak malu. Macam-macam lagi la, malas aku nak cakap semua. Buat sakit hati je. Mengaku jela kau goda orang tua tu supaya dia berkenan kat kau. Pastu pinang kau untuk anak dia kan?

Nisa: Astaghfirullah. Apa-apa jelah. Malas nak cakap. Bukan adik percaya pun kalau akak cakap. Buang masa je. Nanti sampai masa kau tau lah. Akak penat dah. Semua yang akak buat salah.

Khiriah: Ala, kau malas pun sebab benda yang aku cakap betul. Benang dah basah, takde guna tegakkan kan? Lagi satu, kau bukan kakak aku. So, jangan bahasakan diri tu akak bila cakap dengan aku. Salam..

Kusut! Berkecamuk minda aku dengan semua ini. Kak Aina juga sudah mula bertindak sedemikian. Panas telinga mendengarkan bicaranya setiap kali. Mujur juga segala persiapan untuk hantaran telah siap dibeli dan dihias cantik. kalau tidak, aku harus menahan telinga sepanjang jalan ketika membeli barangan dan lain-lain. Kekok rasanya jika ditemani orang yang telah diketahui tidak ikhlas untuk membantu. Apalah yang telah disampaikan Khiriah padanya? Sampai begitu sekali perubahan yang belaku. Kepiluan yang menghiris aku campak ke tepi. Tidak perlu rasanya memberatkan perasaan menangani sikap manusia yang tidak pernah kering dengan hasad dengki. Silap perkiraan, aku yang merana.

Mungkin kerana aku mengambil sikap tidak ambil tahu, adik mengubah taktiknya. Kak Aina berjaya dihasut supaya turut membenciku. Satu tindakan yang sungguh tak terjangka! Apa yang mampu aku buat? Kak Aina itu bagaikan seorang kakak padaku. Namun, dia juga telah membenci. Atas satu alasan yang tidak aku ketahui, perasaan bencinya itu kulihat sungguh berapi. Limpahan laharnya tinggi melangit! Turunkanlah hujan rahmat-Mu ya Allah. Sejukkanlah muka bumi ini dari hasad dengki. Jernihkanlah asap hitam yang telah menutup hatinya itu Ya Rabb! Jujur, aku tidak faham sikap Kak Aina. Begitu mudah dia menanam rasa negatif itu padaku. Adakah dia juga menaruh hati, menabur harap pada Abang Akram? Atau aku yang tersalah teka tingkahnya dengan Abang Shah?

Abang Shah. Jejaka itu juga menyumbang masalah padaku. Tiba-tiba dia kembali menagih kasih. Memanggil aku dengan panggilan sayang. Menutur bicara penuh romantis, dengan gaya penuh menggoda. Aku buntu. Enggan memahami duduk berdiri perkara yang berlaku. Tidak mahu penasaran mencari punca. Tetapi itu juga yang terjadi. Setiap hari, mesej dari mereka bertiga memenuhi kotak mesej di telefonku. Khiriah-Kak Aina-Abang Shah. Trio yang nampaknya berjaya menggugah ketenangan hari-hariku. Ke mana harus aku pergi? Ke mana perlu aku mengadu? Ayah? Tidak mungkinlah. Sudahnya, aku menangis di dalam solatku. Mengharap pintu luas terbuka. Memandu arah, menunjuk jalan yang terbaik buat aku harungi hidup yang mendatang.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape