Jul 2, 2009

#31

Penyakit hati. Hasad, takbur, riya’ dan khianat. Haruslah dielakkan sebaik mungkin. Parah andai dijangkiti. Mampu meruntuhkan sebuah ketamadunan yang telah dibina beribu-ribu tahun dalam sekelip mata sahaja! Penawarnya sangat sukar dicari melainkan melalui pembangunan rohani. Sahsiah diri harus selalu ditingkatkan agar kita tidak mudah melatah menghadapi tekanan kecil dari keadaan sekeliling. Adakah itu yang berlaku padaku? Adakah aku seorang yang takbur sehinggakan Khiriah menabur rasa kurang senang padaku? Bukankah rasa itu mengundang hasad? Sifat yang menjangkiti sesiapa jua – tak kira kaya atau kurang berada. Rasanya dia lebih segala-galanya dariku, jadi untuk apa dikirim rasa dengki ini? Puaskah dia jika menyakitiku? Gembirakah dia andai aku merana? Bahagiakah dia dengan kelukaanku?

Luluh hatiku setiap kali membaca kiriman SMS dari trio itu. Pilu. Walau ada masanya aku seperti ingin tertawa, memikirkan sikap dan kerenah manusia yang sungguh pelik. Begitu mudah percaya dengan kata-kata, juga mudah meluah bicara. Ada ketika aku memberontak, ingin melampiaskan segala amarah dan tidak puas hati. Namun, impak buruknya nanti tentulah memihak padaku. Kubatalkan sahaja niat itu, gara-gara tahu tindakan kurang bijak itu pasti memakan diri. Disebabkan adik lebih pintar dalam kata-kata, dan ditambah pula sokongan padu Kak Aina – pasti aku bakal menempah kekalahan sebelum berjuang. Jadi, ada baiknya aku kalah sendiri supaya aku menang di kemudian hari. Lagi pula, tak perlu aku buang masa dengan bertelagah atas sesuatu yang tidak bermakna. Yang bertambah hanyalah sakit hati dan kesedihan – yang akan meruntuhkan lagi tirai ukhuwah yang telah lama retak. Akhirnya aku bercerita juga pada ayah semuanya, tidak terdaya menanggung sendirian. Sperti selalu, ayah meminta aku bersikap matang dan bersabar.

Pernah aku suarakan pada Tuan Kamal hasrat untuk berhenti kerja. Dia tidak memberi kebenaran, kerana menurutnya aku akan lebih parah jika berada di luar rumah itu. Aku pohon pula sokongan ayah. Sama. Ayah melarang jua. Tidak elok katanya. Menghalang aku menghampakan Tuan Kamal yang telah banyak berjasa. Telah banyak yang diberi padaku. Sepakat benar mereka kini. Mengatakan adik dan Kak Aina akan senyap jika tiada respon dariku. Tidak pula dia berkata apa-apa mengenai Abang Shah. Sungguh tidak sopan jika aku menamatkan perkhidmatan hanya dengan alasan remeh – tidak mahu diganggu oleh trio itu. Hampa. Tidak tahu arah tujuku, yang pasti aku perlu lebih tabah. Bagaimana mampu aku mengharung alam perkahwinan jika dugaan kecil ini aku sudah mengalah? Betul juga kata mereka, mujur aku bertanya dahulu. Fikiran orang tua itu memang ada baiknya. Mereka berfikir jauh ke hadapan. Jika yang ditanya itu aku, pasti jawapannya berhenti adalah yang terbaik. Mengalah sekarang sebelum merana pada masa depan. Fikiran kedua orang tua itu sebaliknya pula. Mengalah bukan bererti berundur terus, tetapi mendiamkan diri sekejap waktu supaya kemudian hari akan cemerlang. Hasil sabar yang tinggi pasti akan mengundang kejayaan yang besar.

Tuhan itu selalu bersama orang-orang yang sabar. Orang yang paling kuat, paling gagah adalah orang yang berupaya menahan sabar. Orang yang sabar adalah orang-orang mukminin. Maka, orang yang sabar akan dikurniakan syurga. Tergolongkah aku dalam golongan as-sobirin ini? Ayah sekali lagi mengingatkan aku tentang kelebihan itu. Orang sabar. Orang yang sentiasa redha dengan apa jua ujian dan dugaan yang datang sama ada nikmat kesenangan atau kesusahan. Namun hatinya tidak pernah nipis dari keyakinan tinggi yang menggunung bahawa ada hikmah di sebalik segala kejadian, baik peristiwa itu diminta atau tidak pernah diingini. Semua perkara diterima baik dan dianggapkan sebagai iktibar dalam kehidupan agar terus menjalankan kewajipan sebaik mungkin pada masa depan. Bukankah mati itu datang tanpa amaran? Sedar-sedar Izrail telah memanggil. Lahad telah ditempah. Takut memikirkan keadaan ketika disoal Mungkar dan Nakir, aku cepat-cepat menghilangkan amarah dalam diri. Menghadirkan limpahan sabar sebanyak mungkin supaya hisab di alam kubur diringankan Tuhan. Semoga aku akan tergolong di kalangan orang-orang yang dikurnia syurga. Semoga langit terbuka luas saat ini. Amin.

1 comment:

MaY_LiN said...

byk nye dugaan..
smg nisa dpt tempuh..
mana abg akram ni..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape