Jul 19, 2009

KISAH 1


Perkahwinan ini benar-benar membahagiakan. Aku selalu dilimpahkan kasih sayang. Bukan sedikit. Bertimbun-timbun. Abang Shah sangat penyayang. Dia sabar meladeni kerenah dan kemanjaanku. Gadis remaja yang baru melangkah ke alam dewasa, tentunya banyak perangai yang masih keanak-anakan. Masih banyak sifat remaja yang belum terhakis. Sehingga kini, aku masih berasa malu bila berhadapan dengannya. Bila renungan redup matanya tajam memanah dan menikam pandanganku, pasti pipiku merona merah. Itu jugalah modalnya untuk mengusikku setiap kali. Dia memang suka melihatku yang masih malu-malu. Pipiku semakin merah dengan usikannya. Selalunya, situasi akan berakhir apabila aku menyembamkan muka ke dada bidangnya bagi menyembunyikan segalanya. Tertawa dan senyum dalam kebahagiaan yang tidak terkira.

Setiap pagi selepas bangun dari tidur, dia bertanyakan khabarku. Bagai baru berjumpa teman baru yang perlu dikenali lebih mendalam. Aku suka itu. Dia menghormati perasaanku. Bertanya khabar supaya tidak tersalah bicara jika perasaanku tidak berada dalam keadaan stabil. Mengurangkan peratus salah faham dalam komunikasi harian kami. Caranya memang berhemah. Hatiku berbunga. Menguntum riang. Rasa hormatku kepadanya kian subur dari hari ke hari, seiring rasa kagumku padanya. Kagum dengan kesabarannya yang sangat sukar untuk diduga. Terpesona dengan karismanya yang sentiasa memberi inspirasi buatku mengharungi hari-hari dengan penuh gembira dan bersemangat waja.

Atas permintaannya juga, aku tidak lagi menjadi pembantu peribadi Tuan Kamal sepenuh masa. Ini kerana, aku harus melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Makan minum, dan layanan sebaiknya harus aku berikan supaya dia tidak rasa diabaikan. Tuan Kamal juga telah mengambil seorang pembantu yang baru untuk menjaganya. Anak muda yang baik dan penyayang. Dia hampir seusia denganku. Cantik orangnya. Kecil molek. Sawo matang. Siti Aisyah binti Abdul Malik. Mempunyai kelulusan sebagai seorang jururawat. Memang orang yang paling layak untuk menjaga Tuan Kamal.

Semua orang di rumah juga tampak selesa dengan Aisyah, satu situasi yang sangat melegakan. Sekurang-kurangnya aku tidak berasa terlalu bersalah kerana meninggalkan tanggungjawab menjaga Tuan Kamal walau dia sendiri yang meminta aku menghormati permintaan suamiku. Ah, kadang-kadang aku terlupa yang Abang Shah anak Tuan Kamal juga. Tentulah dia tidak kisah jika aku berhenti, kerana aku menjaga dan mengatur hidup anaknya! Ayah mana yang tidak gembira melihatkan anak bujangnya mempunyai seorang isteri untuk menguruskan makan pakai, serta berkongsi hidup dengan anaknya! Jika ada yang berduka kerana itu, aku anggapkan lelaki itu seorang yang gila dan tidak pernah merasa bahagia dalam hidupnya.

Walau bagaimana pun, setiap dua minggu kami akan pulang berhujung minggu di rumah Tuan Kamal. Masa yang ada ketika itu aku manfaatkan sepenuhnya untuk menjaga Tuan Kamal. Kekok juga rasa apabila dilayan sedikit formal oleh Kak Ana dan Mak Limah. Langsung aku meminta mereka melayani aku seperti dahulu, kerana aku tidak berubah. Masih Nisa yang sama yang mereka kenal sebelumnya. Yang berbeza cuma seperkara, aku tidak lagi menghabiskan malam di bilik bawah bersama Kak Ana. Sebaliknya aku bermalam di bahagian atas rumah besar ini. Bilik tamu yang ditempatkan bersebelahan ruang bacaan Abang Akram. Cantik bilik ini. Sememangnya aku tidak pernah menjejakkan kaki ke sini. Tugasku sebagai pembantu peribadi tidak memungkinkan peluang untuk aku pusing-pusing dan menjelajah segenap ruang di sini. Sementelah, Tuan Kamal tidak pernah pula menghabiskan masa di ruang ini atau di bilik bacaan.

2 comments:

MaY_LiN said...

smbgn ke sis..
best..
tapi masih saspen lg..
sape abg shah ni..

Che Sue said...

baru berkesempatan nak luangkan masa...

masih lagi dalam berteka-teki la jalan citer nih..!

satu permulaan yang baik tuk kisah yang kedua nih...syabas!

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape