Jul 29, 2009

KISAH 5

Kini, usia perkahwinan kami sudah mencecah bulan keenam. Aku semakin gembira dan ceria, mengharungi hidup yang selalu dilimpahi kasih sayang. Bahagia enggan berganjak pergi. Sering sahaja menemani aku sepanjang waktu, dari terbit fajar sehinggalah berakhirnya malam. Semakin banyak perkara tentang minat dan kesukaan Abang Shah yang aku ketahui dan pelajari. Sememangnya kami masih di peringkat mengenali antara satu sama lain. Satu perkara tentangnya, dia sangat menyukai warna biru. Memang keluaran UKM. Sentiasa dengan biru ke mana-mana sahaja. Pada awalnya, aku sedikit kaget melihatkan koleksi kemeja dan pakaian biru yang memenuhi ruang dalam almarinya. Memang ada pakaian warna lain yang memuati ruang kecil itu, tetapi majoritinya memang warna biru. Dari biru lembut, terang, sehinggalah biru gelap menghampiri hitam, semuanya ada. Teringat aku tentang Zon Celcom. This is Celcom Territory. Biru semuanya. Lucu.

Lama-lama aku senyum sendiri. Memang dia seorang yang teguh dengan prinsip. Jika itu yang dia mahu, itu jugalah yang akan diusahakan hingga dapat. Jika itu yang dirasakan benar, itulah yang akan dipertahankan sehingga mati. Mungkin dahulunya dia yakin bahawa aku memang dicipta buat dirinya. Aku memang rusuk kirinya. Maka, dia teguh dengan perasaannya. Tetap menanti dan berusaha menyunting sehingga aku redha menerima dirinya seperti sekarang. Aku jatuh cinta lagi dengannya. Untuk kesekian kalinya rasa cinta ini mekar, berbunga dalam hati. Rindu sentiasa menghuni hati setiap kali dia berpergian untuk bekerja. Walau hanya separuh hingga sepertiga hari, aku sudah mula merindu. Rindu melihat senyumannya. Rindu melihat amarahnya. Rindu melihat rajukannya. Juga rindu untuk menyambut dia pulang dari mencari rezeki halal buat kami. Payah. Segala-gala tentangnya aku rindu dan kenang. Mujur juga kami bercinta selepas mempunyai hubungan sah. Jika tidak, tentu lebih sukar untuk bersua muka bertentang wajah melepas rindu. Sekurang-kurangnya kami tidak mempunyai batasan dalam pergaulan. Alhamdulillah, Tuhan memudahkan aku dalam urusan ini.

Tidak dinafikan, aku sangat suka melihat Abang Shah dalam persalinan berwarna biru. Segak. Kacak. Penuh gaya. Dia tampak sungguh berketrampilan. Keyakinannya jelas terpamer apabila pakaian berona biru tersarung di badannya. Sangat berkarisma. Ah, memang aku sedang jatuh cinta. Semua perkara tentang dirinya cantik dan indah pada pandangan mata dan hati ini. Sudah butakah aku? Aku selalu meragukan kebenaran kata-kata cinta itu buta, tetapi kini aku tidak berupaya menidakkan kesahihannya. Memang aku telah dibutakan dengan rasa indah ini. Terawang-awang aku waima hanya membayangkan dia dan senyumannya, cemikannya, kata-katanya. Semua lah. Semua perkara darinya itu manis. Membahagiakan. Menceriakan.

Andai aku tahu inilah rasanya mencinta dan dicinta, sudah lama aku menerima dirinya. Tidak akan aku biarkan dia melalui segala kepayahan demi mendapatkan peluang mencurah kasihnya buatku. Tak perlu dia menggunakan ayah sebagai jalan terakhir untuk memiliki aku. Andainya aku tahu lebih awal, pasti aku telah lama menerima lamaran kasihnya. Membuka hati. Mengikhlaskan diri mendepaninya setiap hari tanpa sebarang rasa ragu. Tetapi aku silap. Aku terlebih dahulu memilih untuk menerima Azhar dengan mudahnya. Lelaki itu yang akhirnya menidakkan cintaku. Dia yang tidak menghargai aku. Dia yang dengan mudahnya menolak aku ke sisi, bagai seseorang yang tak bererti dalam hidupnya. Sekadar sebuah pelabuhan buatnya melepaskan lelah. Cuma tempat persinggahan, yang boleh ditinggalkan setelah rasa letih berbondong pergi. Murah betul harga kasihku padanya. Terima kasih abang, kerana setia menanti diri ini dengan sabar, tanpa sekelumit pun rasa jemu menjentik kalbumu.



3 comments:

MaY_LiN said...

huhuhu..
nisa da d awangan..

MaY_LiN said...

huhuhu..
nisa da d awangan..

comei said...

waaa MaY_LiN punya la suke smp 2 komen hihihi

uishk hrp2 bhgie sntiase nooo
jgn de gado2 tau

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape