Aug 18, 2009

KISAH 16

Biar betul? Kisah dongeng apakah yang telah dikhabarkan suamiku? Adakah kebetulan seperti ini? Terima atau tidak, ia sedang berlaku pada kehidupan kami. Pusingan takdir yang menemukan mereka akhirnya. Aku tak tahu apakah fungsiku dalam perjumpaan semula itu. Yang nyata, mereka bertemu keranaku. Tetapi perkara sebaliknya yang terjadi. Sebuah kisah keluarga telah terbuka akhirnya. Menjumpakan dua kembar yang telah terpisah hampir 30 tahun lamanya. Menumpahkan airmata yang bukan sedikit. Apa pun, aku bersyukur atas semuanya. Mungkin ini petunjuk dari-Nya. Faktor yang memaksa Azhar menghubungiku tanpa rasa putus asa, supaya mereka berdua dapat bersua muka. Bertentang mata mengenal saudara. Alis mata yang sama. Lekuk bibir juga raut muka yang serupa.

Bersediakah aku menemuinya? Rasa kasih yang pernah hadir untuknya dulu masih adakah? Bagaimana kalau aku bertemu empat mata dengannya? Akan lekakah aku dengan pujuk rayunya? Mungkinkah aku akan silap, menganggap dia sebagai Abang Shah yang sedang memujuk cinta? Apakah dia akan tega meminta aku kembali? Merampas aku dari abangnya sendiri? Buntu! Sangat! Ayah, apa yang perlu aku buat? Tapi, ayah tak pernah tahu tentang Azhar. Azhar pula, belum tentu lagi dia akan menemuiku. Kenapa aku pula yang fikir macam-macam? Setialah wahai hati! Suamimu adalah yang terbaik dalam dunia! Kenapa perlu ragu? Mengapa perlu sangsi? Apa kau tak sayang padanya? Tidak! Cintaku adalah untuk suamiku! Nah, itu jawapannya. Tak perlu lagi kau bertanya. Tetapkan saja hatimu pada tempatnya, yakni Shahizul Anuar! Suami kau! Betul juga. Aku sudah bersuami. Untuk apa lagi aku takut? Kenapa perlu aku begini? Dia adik iparku! Aku patut gembira. Ahli keluargaku yang kecil ini telah bertambah ahli. Alhamdulillah. Syukur.

Bonda. Satu nama panggilan untuk seorang wanita bergelar ibu yang sangat jarang digunakan. Selalunya hanya di kalangan keluarga Diraja sahaja yang menggunapakai istilah itu. Mendengar cerita dari Abang Shah, aku teringin bertemunya. Kagum dengan sifatnya yang penyayang dan penyabar itu. Begitu mudah dia mencurah kasihnya kepada anak-anak kecil yang ditemui dan ditumpangkan di rumahnya. Anak-anak yang tidak diketahui asal-usul mereka, atau keluarga mereka. Tanpa banyakbicara, dia ikhlas menghulur simpati yang disulam rasa cinta tak bertepi atas nama kemanusiaan. Andailah semua wanita mencontohinya, pasti tiada anak-anak yang dibiar merempat. Semuanya akan terbela cantik, membesar menjadi seorang dewasa. Tentu tiada anak-anak yang akan merasai pedihnya tidak disayangi ibu sendiri.

Beruntung betul sesiapa yang menjadi anak Bonda. Kasih sayangnya melimpah-limpah untuk mereka. Tak kering-kering. Dari mana semua rasa itu datang ya? Dari mata turun ke hati? Dari hati jatuh ke hati? Entah. Aku tak tahu. Yang aku pasti, kasih Allah itu luas, asal saja kita mencari. Mungkin kerana keikhlasannya, segala penat lelah dan kasih yang dicurahkan wanita tua itu selalu dibalas dengan baik. Anak-anaknya yang ramai tidak pernah lupa untuk membalas budinya. Aku insaf. Semoga saja aku tidak menjadi anak derhaka. Semoga anakku nanti tidak lupa padaku. Takut aku membayangkan jika suatu hari nanti aku dibiarkan sahaja menghabiskan hari-hari tua, menanti ajal tanpa perhatian dari sesiapa. Pedih. Sesungguhnya seorang ibu itu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi kesemua anaknya itu belum tentu mampu untuk menjaganya seorang. Begitu mahalnya harga kasih seorang ibu. Tiada siapa yang akan dapat memahami dan menandinginya, melainkan seorang ibu juga.

2 comments:

MaY_LiN said...

sis..
ader ejaan xcukup..
last para..sahaja..jd sahaj

rahmahmokhtaruddin said...

tq MaY_LiN.. editor yg baik..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape