Aug 19, 2009

KISAH 17


Kami bertemu lagi hari ini. Tak puas rasanya meluangkan masa beberapa jam sahaja dalam sehari untuk mengimbau kenangan selama hampir 30 tahun. Memang tak cukup. Banyak yang ingin diceritakan. Ingin dikongsikan. Seperti biasa, kami selesa tenggelam dalam persalinan warna biru. Pertemuan kali ketiga ini dibuat setelah masing-masing semakin selesa sesama sendiri, selain sedikit bebas dari jadual kerja yang menekan. Aku pulang lebih awal pada hari itu, setelah menyiapkan kerja yang perlu dan memberitahu majikanku tentang perjumpaan kami. Dia yang telah maklum tentang itu sebelum ini tidak menghalang, tanda mengerti keadaan aku yang baru sahaja bertemu saudara sendiri itu. Anuar? Dia tentu tiada masalah untuk keluar awal, kerana dia bekerja di syarikat keluarga angkatnya sendiri. Jika ada pun, biarlah dia menguruskan masalahnya sendiri selagi tidak memudaratkan.

Duduk di restoran yang sama seperti sebelumnya, kami minum petang sambil berbual-bual. Kasihan juga melihat Anuar yang sedikit kalut, kerana dia perlu pulang lebih awal pada malam hari. Dia perlu makan malam di rumah, menemani si isteri tersayang. Isteri yang setia menanti di rumah. Khairunnisa, gadis sama yang turut berjaya mencuri sekeping hati milikku ini. Wajah polosnya selalu sahaja bermain-main di ruang fikiran, sejak perlanggaran kami di sebuah restoran di Bangi lebih kurang dua tahun lalu. Masih jelas lagi dalam benak, pipinya yang merah menanggung malu, melihat bajuku yang telah tiada rupa kerana dipenuhi dengan hidangan makan tengaharinya waktu itu. Kuah kari dan sup sayur. Aku tergamam dengan insiden itu, tidak tahu hendak berbuat apa-apa hatta menjawab pertanyaannya tentang keadaanku.

“Awak ok?”

Mulut comel itu ringan bertanya, menambah lagi rasa kelu dan kaku dalam diri. Aku kira dia masih ingin menuturkan sesuatu semasa itu tetapi tidak jadi kerana dia telah sekali lagi membuat kecoh. Dia terjatuh, betul-betul di hadapan mataku! Aku? Aku hanya berdiri tegak tidak membantu! Saat dia terkial-kial untuk bangun, tetap tiada sebarang tindakan dariku. Sehinggalah dia telah jauh dari pandangan, baru aku perlahan-lahan melangkah dan menuju ke kereta untuk pulang dan menukar pakaian. Niat untuk mengisi perut terus hilang, setelah melihat wajah dan aksinya.

Semenjak dari itu, aku tidak boleh melupakan dia dari ingatan. Aku terus mencarinya, sehinggalah aku ternampak gadis itu di fakulti. Rupa-rupanya kami belajar di tempat yang sama! Puas juga aku bertanyakan sekeliling, mencari maklumat diri dan nombor telefon bimbitnya. Tetapi, setelah memperolehi semuanya aku senyap juga. Gara-gara diri yang tidak bersedia untuk keluar dari kepompong fikiran yang sempit, aku terus senyap sehingga setahun lamanya. Sampailah satu saat, aku terlihat seorang wanita muda di sebuah pasaraya di Gombak. Serupa dengan dia. Maka, aku membuat keputusan menghubunginya dan mengikat kasih. Mujur juga dia masih menggunakan nombor yang sama. Setelah bersahabat hampir enam bulan, aku tahu dia mula menyimpan rasa untukku, kerana keakraban kami. Hampir setiap hari kami berhubung melalui SMS. Tuturnya semakin manja. Aku sangat bahagia waktu itu, tapi aku juga yang meranapkan bahagia itu. Aku kuburkan semuanya dengan sikap rendah diri, mudah berprasangka dan tidak berani ke hadapan itu. Sayang betul. Sudahnya, dia memilih jejaka di hadapanku ini.

Anuar: Hei, kau menung apa ni? Panjang sangat gayanya, sampai mana dah? Marikh? Sampai tak tengok kiri kanan dah aku tengok.

Azhar: He, takdelah. Tak menung pun. Teringat kerja kat pejabat tadi. Rasa macam ada hal tak selesai, tapi dok fikir-fikir tak ingat pulak.

Anuar: Macam-macamlah kau ni. Dah, ko nak minum apa ni? Nak pesan.

Azhar: Heh. Tak payah tanya la. Macam kau taktau aku suka minum apa?

Anuar: Saja je nak tanya, kot la nak minum air lain. So, teh o nipis kurang manis, suam?

Azhar: Yes. As always. That’s my drink, man.

Sejak 20 tahun lalu, aku sering mengharapkan aku mempunyai seorang saudara untuk berkongsi suka duka. Melihat teman-teman di sekolah bergembira mengkisahkan tentang keluarga masing-masing. Abang, kakak, adik, ibu dan ayah. Aku jadi cemburu walau Bonda dan Ayahanda selalu ada untukku. Ternyata, doa dan harapanku termakbul hari ini. Aku cuma mengharapkan seorang saudara, tak kisahlah walau saudara jauh sekalipun. Tetapi sebaliknya, aku dihadiahkan dengan seorang saudara kandung yang sangat rapat. Kembar! Sangat dekat! Besar betul anugerah ini, tapi cukup untuk membuatkan aku ditimpa serba-salah kerana aku punca segalanya. Aku! Aku yang berhasrat meruntuhkan masjid binaannya. Berdosanya aku kerana terlalu mengikut kata hati yang tentunya dipengaruhi oleh godaan sang iblis! Sungguh, akal rasionalku tumbang kerana seorang wanita. Lemah betul aku. Wajarlah dia tidak memilih untuk menantiku berubah fikiran. Aku telah gagal dalam ujian awal untuk menjadi seorang nakhoda. Aku gagal menjadi orang yang sabar!


2 comments:

MaY_LiN said...

hihihi..
mengkisahkan or mengisahkan..?
[~_~]

rahmahmokhtaruddin said...

rsnye betul dah penggunaan tu.. sbb nak cakap org tu yg bercerita, bukan bagi pihak org lain. tak tau la.. tq, may lin mmg editor sy la, hehe..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape