Aug 20, 2009

KISAH 20



Tuan Kamal. Baik orangnya, seperti yang digambarkan oleh Anuar. Akhirnya aku berpeluang bertemu lelaki prihatin yang hebat ini dan berbual panjang dengannya. Anuar membawa aku ke rumahnya di Sungai Manik hujung minggu lalu, untuk berkenalan dengan ahli keluarganya seperti aku membawanya berkunjung ke Sabak Bernam bulan lalu. Besar rumah ini. Ramai juga ahlinya. Tuan Kamal, Akram, Adrian, Mak Limah, Pak Shariff, Pak Mail, Kak Ana, dan seorang pembantu peribadi. Rasanya nama dia Aisyah. Aku hanya berpeluang melihat susuk tubuhnya dari belakang sewaktu masuk tadi. Dia tampak sibuk ketika itu, menguruskan hal-hal pemeriksaan kesihatan Tuan Kamal. Kecil orangnya.

Peluang melihat dan mengenali keluarga besar ini aku manfaatkan sebaik mungkin. Semua orang kelihatan gembira dengan kehadiran aku. Sangat dialu-alukan. Terasa aku sebahagian dari mereka pula. Mungkin disebabkan Anuar, mereka langsung tidak kekok melayanku. Terus sahaja aku dianggap seperti ahli keluarga yang baru pulang selepas bercuti bertahun-tahun lamanya. Macam Jejak Kasih pun ada. Penyayang betul keluarga ini. Dalam separa sedar, aku rasa bersemangat. Termotivasi sendiri. Juga timbul kesedaran dalam diri, betapa bersalahnya aku pada Nisa. Begitu mudah aku menyimpulkan dia seorang yang bercitarasa tinggi dengan hanya berbekalkan pengetahuan yang dia bekerja di rumah besar ini. Sungguh aku telah tidak berlaku adil pada kami berdua. Kehidupannya di sini tidak semewah yang aku bayangkan. Sebaliknya, cukup sederhana dan penuh rasa kekeluargaan. Aku yang terlalu merendah diri sedang dia tak pernah kisah tentang semua itu. Kalaulah aku memberi peluang untuk kami berdua. Kalaulah.

Tuan Kamal nampak kurang sihat. Faktor usia mungkin. Dia banyak diam dan mendengar perbualan kami. Sesekali sahaja dia mengajukan soalan kepadaku. Selebihnya, dia selesa menjadi pendengar sebelum melangkah ke bilik untuk beristirehat. Nampak macam ada perkara yang mengganggu emosinya, tetapi aku tidak arif soal itu untuk meneka dengan hanya melihat. Akram dan Anuar juga kelihatan agak terganggu sewaktu kami berbual di hadapan Tuan Kamal tadi. Mereka ada masalahkah? Aku datang pada masa yang salah ke? Mungkin perasaan aku sahaja kerana seketika sahaja rasa itu menghuni, sebelum perbualan bertukar rancak kemudiannya. Sudah mencapai keserasian mungkin. Tidak lama, Anuar beredar ke dapur, mencari Kak Ana.

Aku kemudian mengambil kesempatan berbicara panjang dengan Akram. Abang sulung dalam rumah ini. Dia kelihatan sangat matang. Tutur katanya juga sangat berdiplomasi, penuh berhati-hati. Mungkin bebanan tanggungjawab yang besar membuatnya kelihatan sangat berketrampilan dan berkeyakinan tinggi. Memaklumkan yang dia telah diajar untuk memikul tanggungjawab menguruskan syarikat dan menjaga keluarga sejak di Tingkatan 3, aku kagum. Tentu dia sangat tertekan ketika itu. Pada usia yang masih muda remaja, dia sudah perlu berfikir jauh ke hadapan. Menjadi lebih matang daripada yang lain sebelum usianya. Jauh rasanya perbezaan pemikiran kami.

Berdasarkan perbualan kami, dapat aku simpulkan dia seorang yang sangat rasional. Penuh pengalaman walau jarak usia kami tidak jauh. Sukar rasanya menjadi orang harapan keluarga untuk segala-galanya. Fikiran perlu selalu mendahulukan orang lain. Diri sendiri selalu jadi yang terakhir. Tapi aku nampak dia telah biasa dan bahagia dengan keadaan itu. Menerima tugas penting itu sebagai suatu entiti penting dalam dirinya. Satu sifat baik yang perlu aku contohi. Menjadikan tugas dan tanggungjawab sebagai bahagian penting dalam diri, dan bukan menganggapnya sebagai beban. Segala-galanya pasti menjadi lebih mudah, kerana tiada lagi penolakan dari dalam diri. Kita akan berasa lebih gembira dalam apa jua keadaan, bahkan lebih bersemangat untuk menyudahkan kerja-kerja yang diberi. Silap-silap, kita membuat lebih kerja tanpa disedari kerana terdorong oleh semangat yang ada dalam diri! Indahnya dunia jika semua orang berfikir seperti ini, tapi hilanglah seronoknya nanti. Terpadamlah segala cabaran jika tiada lagi masalah dalam dunia. Bosanlah hidup jika semuanya menghalakan jalan yang lurus tanpa liku.

3 comments:

Che Sue said...

shah dah bwk azhar pg rumah keluarga yg bela dia dr kecik...

bru la terungkai sgala apa yg bermain di minda azhar kenapa nisa beriaksi begitu selama ini...

harap2 azhar akn bertemu ngan jodohnya sendiri kelak..!

bkn main lg bila akram jmpa ngan org yg blh ngam ngan dier kan!

suka watak akram cam gitu tp sapa yerk nnt yg akn menjdi isteri dia kan..!

MaY_LiN said...

wa..
da blik umah mertua..

rahmahmokhtaruddin said...

haha.. umah mertua sape ni may lin? perli azhar eyh?

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape