Aug 4, 2009

KISAH 7

Pelik. Mengapa isteriku tampak gelisah akhir-akhir ini? Ada perkara yang mengganggukah? Atau aku tersalah laku? Jika ada, mengapa tidak dimaklumkan? Nak kata demam, rasanya tiada perubahan suhu badannya tadi. Datang bulan? Belum masanya. Masih di awal kitar. Hm..mungkin fikiran aku sahaja. Aku tahu dia akan maklumkan jika ada perkara merisaukan yang bermain-main di benak. Nisa yang aku kenali memang sedikit perahsia orangnya, terutama tentang kisah lampaunya, sebelum mengenali aku. Tapi, dia merupakan seorang yang sangat jujur. Lurus. Fi’ilnya mudah diteka kerana dia seorang yang tidak banyak kerenah. Memang dia manja, tapi dia tidak mengada-ngada. Tak pernah. Aku selesa dengan dirinya yang begitu. Sifat yang menyebabkan aku tidak pernah jemu untuk menyayangi. Meyakinkan yang aku tidak pernah salah pilih ketika mebuat keputusan untuk mengakui rasa cinta yang lahir dalam hati ini. Rindu? Sentiasa ada untuk dirinya. Kasih? Memang itu yang selalu dirasa. Cinta? Sudah tahu, tak usah ditanya lagi. Memang dia tercipta untukku.

Tidak dinafikan, masa lampaunya menyebabkan dia menjadi seorang yang pendiam. Latar belakangnya yang kurang ceria banyak mempengaruhi sifatnya untuk menjadi seorang yang selalu merendah diri, kurang ke hadapan dan sedikit memberontak kadang-kadang. Itu pun di bawah sedarnya. Dia tidak banyak bercerita tentang kisah hidup lalunya, tetapi dia sudah mula bertukar cerita denganku sejak kami mula berkongsi hidup. Memang pahit kisahnya, berdasarkan cerita yang dikisahkan oleh adiknya secara terbuka dua hari sebelum majlis kami dulu. Peristiwa pahit yang pasti tidak akan dilupuskan dari ingatan. Walaupun aku seorang anak yatim, tetapi perjalanan hidup Nisa lebih perit rasanya. Dikelilingi kebencian ibu dan adiknya sendiri, sukar rasanya membayangkan keperitan yang dirasai. Kagum dengan ketabahannya melalui dugaan yang satu itu. Andai aku berada di tempatnya, tidak pasti jika aku mampu menghadapinya.

Tidak pernah rasanya melihat dia tenggelam dalam menungan panjang semacam itu. Rasa ingin tahu meronta-ronta dalam diri. Menolak-nolak. Saling bertingkah dengan rasa sebal. Aku perlu tahu sebab dia berkeadaan demikian. Gusar juga melihat dia yang berterusan gelisah, berusaha menyimpan sesuatu dalam diri. Tapi sifatnya yang jujur menghalang dia dari terus berahsia. Tidak sukar meneka saat ada perkara yang mengganggu benaknya. Tetapi, dia nampaknya memilih untuk diam, menyimpan maklumat itu dari pengetahuanku walau dia tidak pakar tentang itu. Sangat jelas dari tingkahnya yang janggal. Bercakap salah, diam pun salah. Aku biarkan sahaja dia mencari selesa sendiri. Tidak mahu memaksa, khuatir lain pula yang jadi sedang hati sentiasa mengharap tenang. Tak perlu rasanya menambah masalah dalam hatinya. Biarlah dia termenung kali ini. Jika ditambah perasa lagi, makin lama pula dia termenung. Aku juga yang rindu nanti. Jadi, lebih baik aku tidak menjolok sarang tebuan. Nanti aku juga yang terkena.

Seronok juga melihat dia begini. Tetap comel dalam resahnya. Segar cantik dalam renungan. Umpama sedang melihat seorang puteri ayu yang sedang lena beradu. Cantik sangatkah? Haruslah indah, kerana dia permata hatiku.

Haha. Aku sudah gila bayang.

Tak mengapa, kerana itu harus bagiku. Satu hubungan halal yang disulami kasih sayang. Menjadi tanggungjawabku untuk memastikannya terus mekar. Tidak luput ditelan zaman.

2 comments:

MaY_LiN said...

aish..
kompius nye..
adik nisa cit-cat ngan abg ipar..?
cite sal nisa..?
bukan ke adik nisa benci die ke..?

rahmahmokhtaruddin said...

dah edit dah, bg May Lin faham.. hehe..