Aug 7, 2009

KISAH 8


Bagi mengelakkan minda ini terus terus dihujani andaian-andaian negatif, aku membuat keputusan untuk memberitahu Abang Shah mengenai Azhar. Malam itu, aku menyediakan ikan tilapia masak tempoyak kesukaannya, resepi yang dipelajari dari Kak Ana sewaktu bekerja dahulu. Dia sangat suka dengan hidangan itu. Sejak dahulu, Kak Ana sering memasak lauk ini jika dia tahu lebih awal tentang kedatangan Abang Shah ke rumah Tuan Kamal. Aku mengetahui tentang kegemarannya yang satu ini pun selepas aku bertanyakan Kak Ana, setelah melihat berkali-kali menu yang sama dihidangkan untuk jejaka itu. Menyaksikan dia mengirup kuah tempoyak sehingga licin menerbitkan satu rasa yang sukar diluahkan. Gembira. Bahagia. Senang. Semuanya bercampur-campur. Dia sungguh bersemangat menghabiskan juadah itu setiap kali. Tidak pernah jelak. Tiada langsung istilah jemu. Aku gembira dengan sikapnya yang tidak pernah cerewet dalam bab makanan. Selalu sahaja dia menghadap rezeki tanpa sebarang aduan, cuma dia kelihatan lebih berselera jika makanan kegemarannya ini dihidangkan.

Tiada niat lain, aku hanya mahu menyediakan emosinya, supaya berada di tahap yang selesa sebelum menerima berita kurang baik itu dariku. Selesai makan dan berkemas, perlahan aku meletakkan secawan kopi panas buatnya seperti kebiasaan selepas makan malam. Dengan berhati-hati, aku mengkhabarkan kepada suamiku akan kemunculan semula Azhar. Dia tampak sedikit terganggu. Terkejut mungkin. Bersungguh-sungguh aku berusaha meyakinkan dirinya dirinya bahawa bukan aku yang mengundang Azhar untuk kembali. Memaklumkannya berkali-kali yang aku tidak pernah melayani sebarang panggilan mahupun mesej daripadanya.

Kemudian dia meminta telefon bimbitku, memeriksa panggilan dan mesej masuk sejurus menyalin nombor lelaki itu. Kerutan di dahinya meninggalkan tanda tanya yang meresahkan, bagai dia mengenali pemilik talian itu. Kemudian dia berkata biarlah dia yang menghubungi dan menemui lelaki itu untuk menyelesaikan semuanya. Tinggalkan sahaja kisah itu padanya. Aku sedikit membentak, kerana aku yang menjadi punca kisah ini berterusan. Maka, biarlah aku yang mengakhirkan. Dengan tegas, dia mengatakan tidak pada keinginanku. Alasannya, dia tidak akan mampu menerima jika perkara yang lebih buruk terjadi jika aku yang pergi menemuinya. Enggan bersangka yang tidak-tidak, aku akur. Malam itu tidurku tidak lena, dek kekangan fikiran yang mendera. Gusar. Bagaimanakah nanti pertemuan Abang Shah dengan Azhar? Adakah mereka akan berbincang dengan matang? Akan terdugakah kesabaran Abang Shah dengan sikap Azhar yang suka mendesak itu? Akan bercakarankah mereka? Banyak pertanyaan berlegar-legar dalam kepala. Aku cuba melegakan hati. Menatap wajah tenang suamiku dalam lenanya. Dia nyenyak walau pada awalnya dia seperti sedikit resah, sukar untuk memejamkan mata.

Esok paginya, dia bersiap untuk keluar bekerja. Tetap tampan dalam persalinan birunya. Dia sentiasa menguntum senyum tetapi aku tahu mindanya terus berfikir perihal Azhar. seperti biasa, dia mengucup pipi dan dahiku sebelum memulakan hari yang sibuk di pejabat. Agak lama kali ini. Aku faham khuatirnya, tetapi kudiamkan sahaja. Kemudian aku mengucapkan selamat kepadanya kerana aku maklum dia akan bertemu empat mata dengan Azhar semasa waktu rehat, lewat tengahari nanti. Dia yang aku kenali, pasti akan mengutamakan diplomasi sebelum menggunakan jalan lain yang lebih keras. Hatiku tidak putus-putus memanjatkan doa supaya segalanya berjalan dengan lancar, dan pengakhiran yang baik untuk semua bakal ditemui. Besar harapanku agar semua kekusutan ditamatkan pada hari ini. Tidak berulang lagi. Semoga suamiku dapat memahamkan Azhar bahawa dia sudah tidak boleh menjadi penting buatku seperti dahulu, kerana aku sudah mempunyai Abang Shah. Dialah raja di hati ini.


2 comments:

MaY_LiN said...

ala..
cool nye abg shah ni..
nak abg shah gak blh x wak..?
huhuhu
[~_~]

rahmahmokhtaruddin said...

nak ke? hehe.. tny la am, dia cool mcm tu x? kot2 dia mcm tu, mest awak bahagia..