Aug 7, 2009

KISAH 9


Suamiku pulang awal hari ini. Kurang sihat. Inikah yang aku gusarkan dari semalam? Sebab inikah aku berasa tidak enak? Dia diam sahaja sepanjang hari. Sekejap-sekejap, dahinya berkerut. Sering dia tenggelam dalam menungan yang panjang. Apakah yang telah terjadi? Beratkah masalahnya? Marahkah dia denganku? Ampunkan aku Ya Allah, aku telah menyusahkan suamiku. Layakkah aku menjadi penghuni syurga-Mu lagi? Pelbagai rasa merencah jiwa. Menghadirkan macam-macam ingatan kelam. Andaian negatif mula menebak, cuba menerobos corong keinsafan. Mengelirukan naluri kewanitaanku yang mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah terjadi. Mengganggu harinya, menyebabkan Abang Shah bukan dirinya hari ini. Cepat-cepat aku padamkan. Khuatir jika ditiup akan menyalakan bara yang terpendam dalam diri, dan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

Memahami kekasih hatiku perlu masa bersendirian untuk berfikir secara waras dan tenang, aku membiarkan dia dalam dunianya, selagi dia tidak leka hingga mengabaikan waktu solatnya. Mewujudkan ruang yang dia perlukan. Memberi sokongan dan mendoakan. Dari jauh. Mengharap keadaan tidak berlarutan lebih lama. Aku terseksa. Rasa diabai, walau fikiran sememangnya dapat menerka tindak-tanduknya itu adalah kerana aku. Disebabkan Khairunnisa! Dia berjeda panjang keranaku. Dia yang tidak mahu mindaku terbeban, justeru menyimpan semua kesukaran dalam dirinya, menelan semua pahit lebih dahulu sebelum meninggalkan baki yang manis buatku. Seperti selalu, kesusahanku adalah miliknya, sukarnya adalah haknya, sengsaranya hanya untuk dia, tetapi bahagianya adalah untukku. Kegembiraannya adalah untukku. Situasi yang sering membuat aku jatuh cinta lagi kepada dia. Dia suamiku yang sangat memanjakan, menatang aku sepenuhnya agar tiada lagi airmata kesedihan tertumpah dari tubir mata ini.

Tersedar. Lama rupanya aku tenggelam dalam khayalku. Tangan pantas mengusap pipi sendiri. Ada airmata yang telah menitis. Beristighfar, aku menuju ke jendela. Berhajat menutup tingkap, lantaran malam sudah hampir menjelang, melabuhkan tirai menutup hamparan siang. Niatku mati. Tindakanku terhenti. Pandangan kuhalakan jauh ke hadapan. Matahari sedang terbenam indah. Sangat cantik. Begitu memukau. Perlahan bibir melafaz zikir, memuji Tuhan yang Maha Berkuasa. Memerhati mega merah di ufuk langit. Terukir cantik menghias dunia. Aku terleka lagi. Tanpa sedar, rasa gusar yang sejak tadi menghuni hati mendesah pergi.


Sudah masuk hari ketiga. Keadaan masih sama. Rumahtangga kami masih berteman sunyi. Masih tiada gurauan yang berani menjengah, menghulur salam. Kepulangannya dari pejabat aku nantikan setiap hari, dengan harapan wajah cerianya yang sedang tersenyum yang muncul setiap kali dia tiba. Hampa. Dia tetap begitu. Sekadar memandang kosong, dengan senyuman yang nyata diukir payah. Aku menghargai itu. Dia berusaha senyum walau hatinya sedang berat. Tetapi aku tetap sedih, kerana dia masih membisu.

Suasana di meja makan sunyi. Hanya bunyi sudu-garpu yang berlaga sahaja kedengaran. Kesenyapan Abang Shah menjelaskan sesuatu. Suapannya juga sekadar syarat melalui hari. Sebagai sifat harus seorang manusia. Lapar, makan dan kenyang. Juga tidak mahu membuatku lebih berkecil hati. Dia tidak meminta disuap seperti selalu. Hilang manjanya. Tiada gurauan atau pujian terlafaz dari mulutnya. Aku semakin nanar. Ingin bertanya, khuatir mengganggu ilhamnya. Sekali lagi aku menjadi pemerhati setia. Selera makan terputus tetapi kuteruskan juga suapan. Tidak mahu membazir, hatta deria rasa telah mati. Macam makan pasir pun ada. Tiada rasa yang diterjemah.

2 comments:

MaY_LiN said...

ala..
nape ngan abg shah ni..

Sue said...

dah settle ker masalah shah n azhar nie...?

tertanya2 lah pulak!
sian kat nisa kan....
terpaksa lak membebankan shah tuk masalah dier...tp itukan tanggungjawab shah.nasib baik shah tak melenting bila nisa bagitau shah yang azhar ganggu hidup nisa balik kan!