Oct 2, 2009

KISAH 30

Alhamdulillah. Ayah sedar lewat tengah malam itu. Menghapuskan kebimbangan semua orang, walau semua tahu kewujudan risiko strok yang sangat tinggi dalam kes ayah. Atas persetujuan Abang Akram dan Ian, Tuan Kamal ditempatkan di wad kardiologi untuk pemantauan rapi pihak hospital. Aisyah hilang pekerjaan buat sementara. Dia diminta menunggu di rumah, dan membantu yang mana patut sewaktu kami bergilir-gilir menjaga ayah pada malam hari. Sejak sedar, ayah mengalami masalah untuk menggerakkan tangannya. Selalu betul dia hilang kawalan dan terlepas barang atau apa-apa jua dalam genggamannya. Tidak lama selepas itu, ayah mengalami kesukaran untuk menggerakkan kaki kanannya. Dia perlu dipapah setiap kali mahu ke bilik air atau ke taman bersiar-siar. Kasihan ayah. Dia nampak sangat kecewa dengan keadaan kesihatannya. Dr. Fahmi berusaha sebaik mungkin memulihkan keyakinannya, dengan bantuan Dr. Fakhrul.

Ayah dinasihatkan supaya menjalani sesi fisioterapi untuk rawatan dan proses pemulihan yang lebih baik. Payah juga hendak memujuknya menghadiri sesi pertama. Dia seakan-akan menutup mata dan telinganya dari memandang dan mendengar kebaikan yang akan diraih jika dia sudi berusaha merawat diri sendiri. Ayah malu mungkin dengan keadaannya. Katanya dia tidak mahu apa-apa yang lain. Dia hanya mahu pulang ke rumah. Dia mahu berehat di bilik bacaan di tingkat atas, menghabiskan masa dan sisa hayatnya membaca pelbagai buku kegemarannya. Kini aku maklum sebab ayah terjatuh di bawah tangga. Dia hendak beristirehat di perpustakaan mininya yang kini menjadi ruang kerja Abang Akram. Tentu dia merindui sesuatu kerana sebelum ini dia nampak selesa membaca dan menelaah di ruang tamu, tetapi dia enggan berkongsi rasa itu dengan sesiapa pun.

Perangai ayah menimbulkan kekalutan kepada semua. Hendak tegas dan memaksa, dia warga tua. Kasihan, walau tujuannya adalah untuk yang terbaik. Membiarkan dia selesa dengan keadaannya sekarang akan membawa masalah yang lebih buruk pada masa hadapan. Sekurang-kurangnya ayah masih berpeluang untuk menjadi lebih baik jika dia mahu mencuba. Serangan stroknya bukanlah yang paling kritikal. Jika iya pun, tetap ada kes pesakit yang berjaya sembuh dan kembali berjalan walau tidak secekap orang yang tiada masalah kesihatan. Semuanya terletak pada usaha, doa dan tawakkal masing-masing. Bukankah Allah telah menjanjikan balasan yang baik kepada hamba-Nya yang mahu berikhtiar mengubah hidup dan nasib mereka?

Akhirnya ayah bersetuju juga menerima rawatan. Sesi fisioterapi ayah akan dibantu oleh Encik Azmi bin Mat Isa, seorang jurupulih anggota, jejaka muda kelahiran Perak. Itu pun setelah Abang Akram berjanji untuk menemaninya sepanjang sesi, sehinggalah ayah cukup kuat untuk mendepaninya seorang diri. Rupanya ayah seorang yang manja. Dia takut keseorangan. Dia mahukan teman, terutamanya ketika saat-saat sukar hidupnya ini. Kalau arwah Mak ada, pasti ayah akan ditemani selalu. Baiknya Abang Akram. Dia tidak kisah untuk menjaga ayah. Melayani sikap keanak-anakan ayah sewaktu sakitnya. Semoga aku juga seperti itu apabila sampai masa untuk aku menjaga ayah dan emak nanti. Besar ganjaran Allah yang menanti andai aku dapat ikhlaskan hati memelihara ayah dan emak sebaik mungkin setelah mereka sudah tiada daya untuk menjaga diri mereka sendiri. InsyaAllah, aku mampu menjadi anak yang baik, selagi aku tidak putus berdoa pada-Nya supaya aku tergolong dalam golongan itu.

1 comment:

comei said...

ciannye dugaan aje
sabor2