Oct 4, 2009

KISAH 31

Sejak itu aku selalu menemani ayah semasa sesi rawatan fisioterapinya, sambil mempelajari kaedah penjagaan yang betul, teknik rawatan yang patut aku buat untuk menjaga kesihatan ayah. Juga mengembalikan kesihatan ayah, supaya dia boleh berjalan dan bercakap seperti dahulu. Susah juga pada awalnya, tapi alah bisa tegal biasa. Lama-lama aku jadi mahir sendiri mengendalikan pelbagai alatan untuk senaman ayah. Hasil pemerhatian dan ajaran Encik Azmi yang sangat bersungguh-sungguh. Kadang-kadang aku juga ikut bersenam, jika jurupulih muda ada bersama. Ada juga Aisyah nak menolong, tetapi ayah lebih selesa jika aku yang memantau dan membantu pergerakannya. Nasiblah. Aisyah dapat rehat lebih kali ini. Biarlah dia membantu hal-hal lain yang dirasakan perlu seperti ubat-ubatan dan penyediaan makanan.

Adakalanya ayah sedikit memberontak kerana kelelahan. Sakit katanya. Aku yang faham situasinya kerap kali mengingatkan diri supaya menahan sabar, kerana ayah tidak sihat. Bukannya selalu dia buat perangai. Sejak aku kecil, ayah sudah letih melayan kerenahku. Tidak salah jika sekarang aku meladeninya. Inilah masa untuk membalas jasa. Maka, sedaya-upaya aku memberitahu hati dan akal, kerana ada ketikanya timbul rungutan dalam diri. Sebab aku insan biasa, tipu aku mengatakan yang tidak pernah terdetik langsung rasa kurang senang dalam hati. Mujur kesedaran, rasa kemanusiaan, hormat dan kasih masih tebal dalam diri. Membuatkan aku selalu insaf sendiri.

Kejadian ini nyata punya hikmahnya yang tersendiri. Aku semakin rapat dengan ayah. Dalam sabarku mengajar ayah menggerakkan kembali anggota tubuhnya, mengajar dia berjalan semula, bercakap dan memegang, aku dibalas dengan keakrabanku dengannya. Juga memperoleh pengalaman baru, yakni kaedah penjagaan seorang pesakit strok. Mengetahui kepentingan menjaga pemakanan supaya risiko serangan strok berkurang, juga tahap kritikal tugas-tugas seorang ahli fisioterapi dalam memastikan pemulihan seorang pesakit seperti ayah. Betapa besarnya tugas yang tergalas di bahu orang-orang seperti Encik Azmi. Akan sanggupkah aku bersabar dengan perangai para pesakit jika aku berada di tempatnya? Aku tidak tahu. Tapi, mungkin atas sebab itu aku telah dilatih dari kecil untuk menjadi seorang ahli perniagaan!

Kesempatan yang ada aku manfaatkan sebaiknya. Cuba mendapatkan semangat ayah supaya terus mengalir dalam diri, seterusnya menghadirkan impian kami yang perlu aku maknakan. Selama ini aku menjadi usahawan kerana menyambung warisan ayah, tetapi sekarang aku ada sebab lain yang akan terus membakar azamku untuk mengembangkan syarikat ayah ke serata dunia! Perbualan kami segar dalam kepala, walau ayah berkata dalam payahnya.

Akram: Penat, ayah? Kita rehat dulu?

Ayah: Penatlah juga. Dah buat selalu pun rasa lelah lagi. Masih berat kaki dan tangan ayah ni.

Akram: Takpe ayah, untuk kesihatan. Sikit lagi ayah buat macam ni, ringanlah. Ini pun dah banyak yang berubah. Sekurang-kurangnya ayah dah boleh angkat tangan sikit-sikit. Lama-lama buat senaman, gerakan macam ni, makin mudah ayah nak bergerak. Makin aktif otot-otot ayah tu.

Ayah: Ayah tau. Sebab tu ayah kuatkan juga buat latihan macam ni hari-hari. Ada kamu temankan, kuat sikit semangat orang tua ni nak berjuang. Jadi sihat macam dulu.

Akram: Am kan anak ayah. Kalau Am tak teman ayah, kalau Am tinggalkan ayah, siapa lagi nak buat? Dah tanggungjawab Am. Am tak nak sebab Am abaikan ayah, pentingkan diri sekarang ni buat Am menyesal kemudian hari.

Ayah: Alhamdulillah. Bangga ayah ada anak macam Akram ni. Semoga istiqamah ye Am?

Akram: InsyaAllah, berkat doa ayah.

Ayah: Ni kamu jaga ayah sepanjang hari ni, syarikat siapa uruskan? Adrian seorang diri?

Akram: Tak lah ayah. Am minta Ian jadi pemangku Am. Shah pula uruskan di Shah Alam. Nanti bila waktu ayah rehat, Am selesaikan la urusan yang mana memang perlukan perhatian Am.

Ayah: Alhamdulillah. Sepakat kamu bertiga. Senang hati ayah. Kalau rasa tak cukup kakitangan, ajak je si Azhar tu masuk syarikat. Mudah la sikit.

Akram: Tengok la dulu ayah. Setakat ni kami boleh lagi jaga syarikat tu walau kadang-kadang rasa tak menang tangan.

1 comment:

comei said...

anak soleh r enche akram ni
waaa nk boleh x?

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape