Oct 7, 2009

KISAH 33

Ayah Kamal dah semakin pulih. Aku kini sudah berbadan dua. Terasa diuliti bahagia. Mengetahui kehadiran janin dalam rahimku, tak tergambar keindahan perasaan ini. Syukur tak terhingga. Tetapi, Abang Shah tetap sama. Dia masih menunjukkan reaksi menakutkan seperti yang aku lihat di hospital dahulu. Sewaktu aku khabarkan tentang kehamilanku, dia juga bagai acuh tak acuh. Memang dia nampak gembira, tapi ada sesuatu yang menghalang pergerakannya. Menghentikan keseronokannya. Seperti terikat tingkahnya. Mengapa? Ya Allah, jauhkanlah aku dari dugaan berat ini. Aku tidak mahu perpecahan. Satukanlah ikatan hati-hati kami, eratkanlah tali silaturrahim itu Ya Rabb. Hadirkanlah mawaddah dan rahmat dalam hubungan kami ini Ya Rahim.

Mujurlah aku tidak mengalami alahan yang teruk pada awal usia kehamilan. Seperti mengetahui ada sesuatu yang akan berlaku, tubuhku tidak langsung menunjukkan kemanjaannya. Sewaktu usia kandunganku sudah mencecah lima bulan, aku semakin gembira. Sering aku menghubungi ayah di kampung memaklumkan keadaanku, berharap dapat bercakap dengan emak. Adakalanya nasib aku baik, emak mahu berbicara denganku. Kesempatan yang ada aku gunakan untuk bertanyakan nasihat dan pandangannya supaya aku tidak menghadapi masalah semasa melahirkan nanti. Selalu dia berpesan supaya aku tidak pernah meninggalkan tabiat minum susu dan makan buah-buahan. Sedih juga aku kerana Abang Shah tidak pernah menawarkan diri untuk menyediakannya untukku. Segalanya harus aku lakukan sendiri. Situasi yang langsung aku tidak faham puncanya, kerana dia yang aku kenali adalah seorang yang sangat penyayang. Sekarang, dia selalu berbual-bual di telefon. Selebihnya, dia jarang pulang awal. Selalunya aku tidak betah menunggu kerana aku perlu tidur awal untuk mengelakkan kepenatan pada keesokan hari. Lenaku semakin kerap terganggu kerana aku tidak boleh diam dari memikirkan hal Abang Shah.

Sampailah suatu hari, aku terpaksa kuatkan hati. Bertanyakan padanya tentang keadaan kami yang semakin tidak sehaluan itu. Meminta keterangannya tentang sikapnya yang evasif. Tiba-tiba sahaja menjadi suami yang tidak bertanggungjawab. Tanpa banyak bicara, dia terus menghamburkan pertanyaan lain bagi menjawab soalanku. Terperanjat aku dengan soalan berupa tuduhan  itu. Sangat berat! Terkelu aku, gagal menjawab kerana langsung tidak menyangka hal itu menjadi punca kemarahan dan kedinginannya padaku. Abang! Dari mana abang dapat cerita karut ini? Tidak pernah terlintas dalam kepala ini mahu beralih kasih pada yang lain, melainkan meneruskan kesetiaan cinta pada ayah bayi dalam kandungan ini yang bernama Shahizul Anuar Abdullah! Kenapa sesingkat itu kepercayaanmu padaku, abang? Goyah benar jalur setiamu. Siapakah yang telah menusuk racun sebegini tajam dalam hatimu, suamiku?

Melihatkan aku tidak menjawab dan hanya mengalirkan airmata tanpa henti, Abang Shah membuat keputusan meninggalkan aku keseorangan. Menyebabkan aku terus berendam dalam lautan duka yang cukup membinasakan. Terasa duniaku berputar ke belakang, mengelirukan arah tujuku yang terarah jelas sebelumnya. Tersandar aku di bahu kelesuan, cuba mencari kekuatan di sebalik ketabahan. Lama aku berkeadaan begitu, sebelum tanganku mencapai telefon dan menghubungi ayah di kampung. Seperti aku, ayah sangat terkejut. Terus dia meminta aku menunggu di rumah sehingga dia tiba. Tidak lupa dia mengingatkan aku supaya mengunci pintu rumah, dan ingatlah Allah selalu agar aku tidak berbuat yang tidak-tidak.

Ayah sampai empat jam kemudian. Bersama emak di sisinya. Ayah terus menerkam padaku yang sedang tidak keruan sebaik sahaja pintu rumah aku buka. Memeluk dan mendakapku seerat mungkin, cuba menghadirkan kekuatan padaku melalui saliran kasih sayang yang ada. Semakin lebat airmata yang tumpah. Dalam masa yang sama, ayah tidak henti-henti menghubungi Abang Shah tetapi tetap tiada jawapan, tiada balasan. Setelah hampir dua jam mencuba, ayah akhirnya menghantar pesanan ringkas padanya, memaklumkan yang aku akan dibawa pulang ke Melaka, tinggal bersamanya. Dia meminta emak menyiapkan barangan keperluanku. Emak hanya membatukan diri, menurut tanpa sebarang ulas bicara. Ayah mahu aku diam dengannya, di bawah perlindungannya. Dalam jagaannya seperti sebelum ini. Aku yang keliru hanya menurut, memikirkan keselamatan bayiku jika aku dibiar berseorangan.

3 comments:

comei said...

oh no!
spe la punya angkara tu
cian nisa, br nk happy2 je nk de baby
sis, jgn r cedih2
cian kt nisa & her baby

Che Sue said...

hai.. byk pulak dugaan yg dihadapi nisa nih! sian kat die...

baru jer nk lega hal tuan kamal yg hampir pulih tu.....

sabar jer la nisa....

rahmah said...

sian jugak..
nape ntah sy buat cerita mcm ni.. sian nisa nih..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape