Oct 9, 2009

KISAH 34

Nisa tanya kenapa abang macam ni? Nisa la puncanya! Betul ke Nisa ada hubungan cinta dengan Akram? Sebab dia ke dulu Nisa mati-mati tolak cinta abang?

Soalan maut yang keluar dari mulut Abang Shah sejak malam itu tidak pernah lenyap dari ingatan. Melahirkan Nisa yang murung, Nisa yang berdukacita. Nisa yang kesedihan. Sokongan ayah sangat kuat. Dia selalu ada menemani, supaya aku tidak terus-terusan tenggelam dalam menung yang panjang, terkunci dalam selak kedukaan. Dia seringkali mengingatkan aku bahawa aku mempunyai seorang bayi yang perlu dijaga, dipelihara. Amanah besar dari Allah itu perlu aku jaga sebaik mungkin, supaya tiada kekesalan dalam hati pada kemudian hari. Walau apa pun yang terjadi pada hubungan kami, anak ini adalah hadiah terindah yang perlu aku hargai, tatang dan sayangi. Sebab itu tanda cinta kami, kerana dia permata kami. Dia tidak perlu menderita dengan pertengkaran kami. Dia langsung tidak bersalah.

Kata-kata ayah selalu aku pegang, supaya aku mampu untuk tegak berdiri dalam haluan yang bengkok ini. Tangisan ini memang tidak pernah berhenti, sebab aku kecewa dengan lemparan tuduhan berbisa yang mengeruhkan jernih hubungan kami. Namun, dorongan dan cinta dari ayah selalu buat aku kuat. Emak menjadi pendokong secara senyap juga. Walau tidak ditunjukkan, tetapi aku tahu dia bersedih dengan keadaanku. Semua itu selalu berjaya buat aku lupa pada kehilangan kasih seorang suami walau untuk sekejap waktu, tetapi sangat membantu. Sekurang-kurangnya bayi ini dapat juga merasai sedikit bahagia, dalam musim derita yang panjang ini. Kasihan. Memang kasihan, tetapi aku tidak mampu untuk tersenyum sendiri apabila mengingati kenangan kami yang menggembirakan. Airmata ini gagal berhenti dari terus mengalir. Umpama air sungai yang mengalir tanpa henti, mencari muara yang masih jauh jaraknya. Sesudah bertemu muara, ia tetap tidak mahu berhenti. Masih mahu berterusan mengalir mencari laut, sebelum bercantum dan mengikut aliran baru yang ditemui. Aliran yang penuh dugaan, yang masih panjang, masih banyak untuk ditimba.

Salam. Abang sihat? Nisa dan kandungan sihat, Alhamdulillah. Minta maaf Nisa balik kampung dengan ayah. Nisa takut tak mampu jaga anak kita dengan baik tanpa kehadiran abang di sisi Nisa.

Salam. Abang tak sangka Nisa sanggup buat abang macam ni. Sampai hati Nisa kecewakan perasaan abang. Selama ni abang percaya pada Nisa. Sangat percaya. Tapi Nisa tipu abang. Belakang abang Nisa main api dengan Akram. Sanggup Nisa?

Dari mana abang dapat idea macam ni? Tak pernah langsung Nisa ada niat nak jalin hubungan cinta dengan Abang Akram, Nisa sayang dia macam abang sendiri je selama ni. Hanya abang yang Nisa sayang, Nisa cinta.

Entahlah. Abang tak tahu nak percaya yang mana. Abang tak tahu nak cakap apa, tapi harap Nisa bagi abang masa untuk pulihkan jiwa abang. Bagi abang masa untuk padamkan kekeliruan yang abang rasa sekarang ni. Harap Nisa faham. Jaga diri Nisa baik-baik. Salam.

Perbualan kami berdua lewat SMS selepas itu mewujudkan jurang yang sangat lebar dan dalam antara kami berdua. Aku sedih. Dia tidak mempercayai kata-kataku. Siapalah yang mencucuk mindanya dengan fakta yang sungguh tidak masuk akal itu? Sesungguhnya aku tidak mengerti. Dia bukan suamiku. Abang Shah yang aku kenal tidak begini. Sudah hilangkah rasionalnya? Sudah tidak tenangkah jiwanya? Bantulah kami Ya Allah. Berilah aku petunjuk. Berilah aku kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Semoga aku boleh tabah. Tunjuklah suamiku kebenaran. Jauhkanlah dia dari godaan syaitan Ya Allah. Kuatkanlah hatinya. Peliharalah rumahtangga kami, Ya Rahman. Amin.

2 comments:

MaY_LiN said...

sadis nyeeeeeeee

rahmah said...

sedikit sadis.. sy hampir menangis ms tulis entri ini. haha.. syok sendiri..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape