Oct 12, 2009

KISAH 35

Subuh yang tenang. Perutku sakit. Sangat kuat tolakan bayi kali ini. Sudah sampai masakah? Aku panik. Tidak lama, terasa ada aliran air di celah kelangkangku. Panas. Menjeritku memanggil ayah. Tetapi emak yang menghampiri, kerana dia tidur berdekatan. Tidak mahu meninggalkan aku yang sedang sarat. Khuatir dia tidak dapat sedar jika aku memerlukannya. Begitulah emak sekarang. Banyak betul perubahan dalam dirinya. Kemelut lama yang dipendam seperti sudah disingkir jauh. Tidak lagi diungkit panjang. Emak menunjukkan sifatnya yang penyayang. Sedikit demi sedikit. Tidak mahu aku tertegun dengan perubahan mendadak mungkin. Membuatkan aku menangis terharu. Tercapai jua hasratku untuk merasakan diri disayangi oleh seorang ibu. Dapat juga aku bermanja dalam payung sayang naungan seorang wanita bergelar ibu.

Dalam kejutan yang masih belum hilang, emak menghampiri. Panik juga. Melihatkan air ketubanku sudah pecah, segera dia berlari memanggil ayah sebelum kembali untuk menyiapkan aku dan barang-barang keperluan aku dan bayi yang perlu dibawa ke hospital. Termengah-mengah ayah datang dalam mamainya. Terperanjat mungkin melihat emak yang sudah tidak cukup tangan. Dalam kepayahan untuk bangun dan melangkah, aku berharap suamiku ada di sisi saat ini. Menemaniku menghadapi kesakitan yang amat sangat ketika bersalin nanti. Kesakitan yang akan memutuskan hampir 6000 urat dalam badanku. Sakit yang hanya dialami oleh golongan wanita terpilih, yang Allah kurniakan rezeki buat mereka untuk menggapai syurga melaluinya.

Emak memimpinku ke kereta. Ayah memandu agak laju subuh itu. Perjalanan yang biasanya memakan masa 20 minit menjadi sekitar 15 minit sahaja. Terkesan dengan keadaanku yang sedang dilanda sakit. Juga dengan emak yang masih tidak hilang paniknya. Maklumlah, pertama kali bakal menghadapi sebuah kelahiran setelah lebih 25 tahun lamanya selepas kelahiran Khiriah. Setibanya di pintu bahagian kecemasan Putra Specialist Hospital, emak segera turun dan memanggil jururawat yang ada. Seorang kakitangan datang bersama kerusi roda. Perlahan-lahan emak memandu langkahku menuruni kereta dan menuju ke kerusi roda itu. Setelah duduk, aku ditolak ke wad bersalin. Mujur ruang telah ditempah awal. Lancar urusan pendaftaran. Tidak banyak halangan. Ayah awal-awal telah mendaftarkan namaku untuk bersalin di sini. Menyedari bahawa kemungkinan untuk Abang Shah kembali menjemputku pulang adalah tipis. Mengetahui ada kemustahilan untuk aku bersalin di Hospital Puteri mengikut perancangan awal Abang Shah. Aku akur. Bersama tangisan hiba dalam sanubari. Aku harus gagahkan diri, supaya anak ini tidak berasa sendiri. Agar aku mampu melahirkan dengan baik. Cekallah Nisa! Buanglah gentarmu jauh-jauh. Tanamlah berani dalam hati. Kau boleh menghadapinya! Ingatlah bahawa dugaan yang Allah kirimkan selalunya bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya. Dia tidak kejam. Tidak pernah. Hanya manusia yang selalu tidak adil.

Tangan emak dan ayah yang memegangku di kiri dan kanan aku genggam kuat-kuat. Kejap. Mengharapkan mereka dapat mengirim kekuatan buatku. Meminjam keberanian mereka, untuk melawan ketakutan yang sedang beraja dalam hati. Tidak henti-henti aku berdoa dalam hati, supaya tiada apa-apa yang berlaku dan bayiku selamat dilahirkan ke dunia. Mulutku mengucap kata-kata maaf dan memohon ampun dari emak dan ayah. Andai aku mati, dosa-dosaku pada mereka telah terampun. Aku turut berdoa yang suamiku telah memaafkan. Meminta pada kedua ayah dan emak supaya memanjangkan pada Abang Shah. Aku tidak mahu mati dalam keadaan berdosa. Diiringi kemarahan seorang suami. Jauhlah pintu syurga dariku nanti. Sedangkan kematian yang disebabkan bersalin itu janji-Nya syurga. Bagaimana keadaannya jika perjalananku dihalangi oleh suami yang tidak redha padaku?

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape