Oct 14, 2009

KISAH 36

Aiman Hakimi. Nama indah itu dicatatkan dalam surat beranak bayi lelaki yang baru lahir itu. Anak kecil yang comel itu dinamakan seperti keinginan kami bersama. Nama yang disepakati hasil perbincangan kami dahulu. Aku ingin meletakkan nama Muhammad Aiman, dan Abang Shah mahu nama Fakhrul Hakimi. Setelah berbincang, kami sepakat menamakannya Aiman Hakimi. Yang bertuah adalah kebijaksanaanku. Maksud yang memaknakan namanya. Sangat indah. Semoga dia membesar dengan baik, menjadi orang bijaksana yang soleh. Menjadi anak yang akan selalu berusaha membahagiakan kedua orang tuanya. Menjadi anak yang akan menyumbang kepada kesejahteraan ummat Muhammad.

Sewaktu pertama kali melihatnya, aku menangis kegembiraan. Mendengar tangisan pertamanya menghilangkan segala sakit yang mencengkam. Keletihan yang teramat terus lesap. Terbang bersama angin yang menghembus lembut, sejurus mendatangkan kesegaran yang berbeza. Tidak pernah aku mempunyai perasaan semacam ini. Sangat luarbiasa.  Terpadam semua rasa sakit sewaktu berjuang hampir 3 jam melahirkannya. Hilang semua rasa penat ketika mengandungkannya selama 9 bulan. Wajah mulusnya itu pantas menangkap sesiapa sahaja yang memandang untuk jatuh sayang. Menciumnya buat kali pertama, tertumpah kasih sayang yang mencurah-curah buatnya. Haruman seorang bayi. Sangat wangi. Haruman dari syurga yang tidak boleh didapati dari mana-mana kedai atau kilang pembuatan minyak wangi. Aku ingin terus memeluknya begini, mencium baunya. Menyayanginya selalu. Mendengar tangisannya, sekali lagi aku menitiskan airmata. Melihat dan mendengar Abang Shah mengalunkan azan di telinganya, aku menangis lagi. Murah airmataku hari ini. Hati wanitaku amat tersentuh, sekaligus membangkitkan naluri keibuan yang tertanam dalam diri.

Kehadiran Abang Shah menghilangkan keraguan di hati. Pada mulanya aku sedaya mungkin menyediakan diri menerima kenyataan bahawa nanti ayah yang akan mengazankan anak lelaki kami, bukan Abang Shah. Namun, dia hadir sewaktu ayah sedang bersedia hendak mengalunkan azan ke telinga anak kecil itu. Sedang ayah berselawat, dia menapak masuk dan menepuk bahu ayah perlahan. Memohon izin untuk mengalunkan kalimah Tuhan bagi menyambut kedatangan anak itu. Aku menangis melihatnya. Dia masih sudi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Alhamdulillah. Mendengar suaranya mengisi ruang udara kamar itu, aku menangis lagi. Sejurus selepas itu, aku terlena dalam kepenatan selepas melihat bayiku dibawa oleh Abang Shah untuk didaftarkan namanya. Tidur dalam senyum yang panjang. Aku sudah punya sebab lain untuk terus hidup dengan tenang!

Hampir lima jam aku terlelap. Sedar-sedar, aku melihat tanganku sedang cantik bersulam dalam genggaman seorang lelaki. Erat. Dia mengucup tanganku. Berkali-kali. Memohon maaf atas khilafnya. Berselang-seli dengan kata-kata penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudianku melahirkan anak lelaki kami. Entah berapa kali dia mengucapkan kata-kata maaf, kerana kesilapannya meninggalkan aku keseorangan menjaga kandungan sulung kami. Dia turut berterima kasih dengan kesanggupanku melahirkan seorang zuriat untuknya. Zuriat sihat yang cukup sifatnya. Airmataku menitis lagi ke pipi, girang dengan kepulangan suamiku untuk kesekian kali. Abang Shah, terima kasih kerana kembali. Melihat senyumanku, dia mendekati. Mengucup kening dan dahiku. Lama. Menandakan penyesalan bercampur gembira yang sedang menguntum dalam sanubari. Tidak putus-putus aku ucapkan kesyukuran dalam hati, kerana keluarga kami telah bersama semula. Aku masih berpeluang mengecap kebahagiaan sebuah rumahtangga. Aku masih tergolong dalam kumpulan wanita bertuah yang terpilih untuk merasai kemanisan alam perkahwinan. Kali ini, dengan kehadiran seorang anak lelaki yang akan terus menghiasi kebahagiaan ini.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape