Oct 19, 2009

KISAH 37

Abang Shah sangat gembira, bersyukur dengan anugerah tak ternilai ini. Aku juga. Lebih girang dari dia, sebab aku menerima kunjungan suamiku setelah sekian lama menanti. Abang Shah telah datang semula padaku. Dia telah menerima kenyataan bahawa sebelum ini mata dan hatinya tertutup oleh pendustaan yang hampir menjahanamkan hubungan kami. Pengkhianatan saudara yang tidak aku ketahui orangnya. Aku tidak mahu mengetahuinya, kerana tidak mahu menambah penyakit dalam hati. Takut dendam dan benci menguasai, membuatkan aku hilang pertimbangan fikiran waras yang ikhlas. Seterusnya membawa aku menjadi seseorang yang aku akan benci, menjadi individu yang dipandu kegelapan hati. Bermakna aku akan gagal mengawal kata-kata atau terlepas laku di bawah paras kesedaran insan yang berakal. Tentu suasana yang lebih buruk akan menghuni persekitaran nanti.

Jadi, biarlah aku simpan sahaja kelukaan kelmarin jauh di sudut jiwa, tidak dibangkitkan lagi sampai bila-bila. Tambahan pula, aku telah menjadi seorang ibu. Tidak salah andai aku korbankan perasaan ini sebagai jaminan kebahagiaan untuk anakku. Hidupku terasa lengkap. Cukup. Bermakna sungguh kehadiran seorang anak dalam hidup kami. Menutup semua rompong duka yang memalit rasa. Hadiah indah ini perlu dijaga, diberi didikan sebaik mungkin, supaya pembangunan rohani dan jasmaninya selalu dalam keadaan yang baik. Tujuannya, melangsungkan kesambungan generasi sebagai ummah yang baik dan taat secara berterusan. Tugas yang sangat berat untuk dipikul oleh kami berdua. Jika terlalai, sangatlah merugikan. Hilanglah jasa seorang pemuda kepada agama dan negaranya, disebabkan kurangnya pengetahuan dan kematangan diri untuknya terus memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Paling menggembirakan, emak menawarkan diri menjagaku sepanjang tempoh aku berpantang. Tidak mahu aku menyusahkan Mak Limah dan Kak Ana kerana dia masih ada. Terharu lagi aku. Emak sudi juga meluahkan sayangnya padaku tanpa sebarang syarat yang merentang. Oh, emak! Bertuahnya aku hari ini. Aiman sayang, memang hadirmu membawa kebahagiaan buat ibu. Terima kasih sayang. Aku menangis dalam dakapan kasih emak. Emak turut mengalirkan airmatanya. Berkali-kali aku memohon ampun padanya atas semua sikapku sepanjang tempoh buruk yang lalu. Dia mengangguk sahaja, masih dalam tangisnya tanda sudah lama dia memaafkan segalanya. Tiada lagi dendam lama yang menghimpit. Keadaan sudah jernih sepenuhnya! Keruh yang menampal laluan sebelum ini bersalir pergi. Hendaknya Khiriah juga seperti emak. Terkabullah impianku untuk bersatu dalam sebuah keluarga, secara sebenar-benarnya. Bukan sekadar nampak indah dari luar sahaja, tetapi penuh kulat yang menutup liang dusta yang mencelakan.

Aku nampak ayah meraup mukanya, cuba menghapuskan airmata dari pipi. Tidak pernah aku melihat ayah menangis. Dia selalu berjaya menyembunyikan tangisnya, walau sedih macam mana pun dia. Nampaknya, dia gagal mengawalnya kali ini. Haruslah itu tangisan gembira, setelah sekian lama dia mengharapkan isterinya menyayangi aku seperti dia mencintai Khiriah. Tidak lagi membezakan antara kami, kerana sudah tentu kami berbeza. Tentulah ada perkara berlainan yang menjadi identiti masing-masing. Kalau sama, tidaklah wujud pepatah yang mengatakan ‘banyak orang banyak ragam’. Apabila banyak ragam, bermaca-macamlah fikiran dan sifat yang keluar. Mewujudkan diversiti yang sangat menarik untuk diterokai, dalam iringan percakaran dan perbalahan kecil sebelum mencapai persetujuan dan kekitaan. Barulah ada kesepakatan. Jika semuanya sama tanpa setitik kelainan pun, berkabunglah dunia dalam kebosanan. Jemulah pemimpin yang membimbing, dek tiada langsung kritikan dan bangkangan yang membina. Tenggelamlah semua orang dalam kelekaan akibat tiada yang mengingatkan. Kelabulah alam dalam kabus bingung yang menutup langit hambar.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape