Oct 23, 2009

KISAH 38

Khiriah. Sudah terlalu lama aku tidak berjumpa adikku itu. Apalah khabarnya sekarang. Sejak dia berputus hubungan dengan Ian, dia sudah tidak menunjukkan muka padaku. Malu? Boleh jadi. Dia segan dengan perbukitan hasad yang pernah menghambur nafas mahing dari jasadnya. Membebas hanyir yang menutup nanah dalam segumpal daging bernama hati. Kebencian yang membentuk ketidakselesaan kepada semua, lantas membataskan kemesraan dalam hubungan kami sekeluarga. Cukup panjang tempoh derita itu. Menyeksakan. Entah berapa lapis perca-perca kegembiraan dan kekuatan yang aku pinjam dari ayah telah aku gunakan untuk membalut luka yang acapkali berdarah dalam sanubari.

Tentang dia dan Adrian, aku tidak tahu sejak bila mereka berpatah arang. Yang aku tahu, hubungan cinta dua insan itu tidak menunggu lama untuk berakhir. Selepas Khiriah membuat keputusan untuk memalukan aku pada malam itu, Ian juga nampaknya tegas berpendirian untuk menamatkan hubungan cinta mereka. Aku tidak mahu mengambil pusing dengan kisah hidupnya lagi. Cukuplah aku menanam harapan agar dia telah mempelajari sesuatu dari situ. Dari apa yang aku nampak, dia kini menjadi lebih pendiam. Mungkin kesan dari keripuhan dengan kerjanya di hospital besar di ibu kota. Kami sudah jarang berhubung, apa lagi bertemu. Dia juga sudah tidak kerap pulang ke kampung halaman.

Pernah juga emak menyatakan kebimbangannya dengan keadaan Khiriah. Dia risau kerana anak kesayangannya itu sering bekerja hingga lewat malam dan hidupnya semakin tidak teratur. Aku sebaik mungkin, cuba menjelaskan kepada emak yang adik sihat. Mana mungkin hidupnya boleh teratur, jika tuntutan kerjanya yang sungguh tidak mengenal waktu. Itulah yang membataskan masanya untuk berkomunikasi dengan emak seperti dahulu. Emak mengangguk. Memahami. Namun, ekor mataku sempat menangkap emak sedang mengelap air mata dari menitis ke pipinya. Tentunya dia resah, memikirkan keadaan anak gadisnya yang kian jauh dari hari ke hari. Langsung membayangkan, begitukah keadaanku suatu hari nanti? Apabila anak kami mula menjauh, adakah aku akan berperasaan seperti emak?

Malam itu, fikiranku banyak berjeda tentang Khiriah. Membayangkan kehidupannya di perantauan, dengan lambakan kerja yang tidak tentu masa. Itu cita-citanya. Impiannya. Jadi dia harus sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk membenarkan sebuah kejayaan yang didambakan. Usai menyusukan Aiman, aku berbaring di katil. Mencari selesa. Hendak berbual, Abang Shah sudah memaklumkan yang dia akan pulang lewat hari itu. Rasa resah bermukim dalam hati. Sejak tadi tidak berhenti mengacau jiwa. Aku tidak senang. Berpusing ke kiri dan ke kanan, dalam keadaan berhati-hati. Tidak mahu mengganggu tidur bayiku yang baru hendak lena. Baru sahaja aku menemui selesa, anakku menangis tiba-tiba. Puaslah aku memujuk, dia tetap tidak menghentikan tangisnya. Ah. Kacau. Inilah kali pertama dia begini sejak tiga bulan yang lalu. Tidak pernah si kecil ini meragam semacam ini.

Emak datang setelah hampir 20 minit Aiman menangis. Kasihan melihat anakku kepenatan dalam esakan yang panjang. Habis berusaha, anak kecil itu tetap menangis. Perutnya tidak kembung. Lapar? Aku baru sahaja menyusukannya tadi. Jika disua ke mulutnya pun, dia menolak tidak mahu susu. Aku mula buntu. Tidak faham kenapa anak ini masih menangis. Sedang kami mengagah-agahnya, telefon di ruang tamu berbunyi nyaring. Pelik. Sangat jarang talian itu menyala pada waktu-waktu sebegini. Mungkin Abang Shah. Mahu bertanyakan khabar anak kami. Tapi takkanlah? Kuat betul ikatan naluri keduanya? Kuasa Tuhan, siapa tahu? Ayah menjawab. Perlahan suaranya. Tenang wajahnya perlahan menghilang. Raut wajahnya tegang, menyimpan kejutan. Namun matanya dihalakan pada kami berdua. Sayu. Seperti memberitahu khabar yang tidak begitu baik. Dadaku mula bergetar hebat.

1 comment:

MaY_LiN said...

tamo la shah eksiden..
uhuk uhuk

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape