Oct 26, 2009

KISAH 39

Ayah meminta emak mengambil Aiman dari tanganku. Emak menurut, walau sedang termangu-mangu. Naluriku mula tidak enak. Memandang ayah, tidak berkelip. Ayah memeluk bahuku sebelum memberitahu pihak hospital yang menghubungi. Kami perlu ke hospital segera untuk proses mengecam mayat. Mayat? Mayat siapa? Khiriahkah? Jika ya, mengapa Aiman menangis tidak berhenti sejak tadi? Kenapa ayah memeluk aku, dan bukan emak? Jika Khiriah yang pergi, emaklah yang paling perlu ditenangkan, bukan aku. Aku masih mampu menahan hiba, menanggung sebuah kehilangan sebab aku tidak akrab dengannya sebagaimana emak. Sebetulnya, aku telah lama kehilangannya sejak dahulu. Sebuah kerenggangan yang tak pernah diminta, tetapi sebab masalah komunikasi dan perselisihan faham, kami sering terpisah jauh oleh lautan egois yang luas dan dalam.

Tapi, jika Abang Shah yang pergi? Ya Allah, aku tak sanggup berfikir tentangnya pun. Sepanjang perjalanan ke hospital, emak memeluk bahuku erat. Aku peluk Aiman. Cuba menerapkan tenang padanya walau kenyataannya aku juga berserabut dalam deraan perasaan dan fikiran. Anak itu tetap menangis. Langsung tidak senyap, kecuali apabila dia kepenatan dan dahaga. Fikiranku berkecamuk. Macam-macam andaian timbul dalam hati. Semuanya yang tidak menyenangkan, tetapi aku memujuk hati supaya bersedia dengan segalanya. Jika aku sedih, aku mohon supaya aku tidak meraung, dan meratapi mayat yang sedang terkujur nanti. Harap-harap aku akan redha menerima apa jua ketetapan-Nya yang telah tertulis. Janganlah aku membuat onar di tengah-tengah kehibaan semua.

Tiba di hospital, kami terus dibawa ke bilik mayat. Di luar bilik, aku melihat ramai yang telah menanti. Tuan Kamal, Abang Akram, Ian, Aisyah, Mak Limah, Kak Ana, Pak Sharif dan Pak Mail. Kelihatan Abang Shah ada di suatu sudut. Agak jauh dari mereka. Aku ingin mendekati, tetapi ayah telah terlebih dahulu menarikku menuju ke kamar sejuk itu. Dua pegawai polis dan seorang doktor perubatan telah menanti di ruang itu. Sebaik aku tiba di hadapannya, doktor itu membuka perlahan kain putih yang menutupi sekujur tubuh yang sedang terbaring. Sejurus wajahnya kelihatan, aku gagal menahan diri. Dalam kebingungan, aku mengiakan sahaja pertanyaan doktor itu. Sebagai mengesahkan bahawa mayat itu adalah suamiku, walau hatiku menidakkan semuanya sebab aku nampak kekasih hatiku di luar tadi! Tidak mungkinlah ada yang lain! Atau aku yang sedang berhalusinasi, kerana ayah menarikku terus tadi. Macam dia tidak nampak adanya Abang Shah berdiri bersama yang lain tadi.

Melihatkan aku telah mula teresak-esak, ayah memimpinku keluar. Apabila sampai di luar, aku mencari-cari lelaki yang aku nampak sebelum masuk tadi. Nyata, dia tidak kelihatan. Memang aku yang sedang bermimpi. Terduduk aku di sisi emak, cuba menerima hakikat yang aku telah bergelar seorang balu. Anakku telah yatim, tiada ayah. Benarkah? Secepat itu dia pergi. Kucupannya di dahi ini pagi tadi masih terasa. Sentuhan kasihnya malam tadi masih berbekas. Anak kecil ini masih belum sempat memanggilnya ayah. Dia masih belum puas menikmati kehangatan cinta seorang ayah. Bagaimana mampu aku mengharung kepahitan ini? Melihat anakku sahaja aku ingin menangis. Lemah benar perasaan ini. Kejamkah takdir ini? Tidak mungkinlah. Allah Maha Penyayang. Apakah hikmah di sebalik semua ini Ya Malik? Dum! Gelap duniaku. Tak nampak apa-apa. Aku di mana?

1 comment:

epy elina said...

sdihnya shah meninggal dunia...
mcm x pcaya lak dia mngal dunia...
mst ikram ada pluang untuk mndekati nisa..

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape