Nov 2, 2009

KISAH 40

Suasana di tanah perkuburan sunyi. Semua rakan yang hadir telah pulang tadi. Yang tinggal hanya aku, emak, ayah, Khiriah dan ahli keluarga Kamal. Semua tenggelam dalam tangis masing-masing. Yang kedengaran hanya bacaan Yaasin oleh Abang Akram, Ian dan kedua ayah kami. Selebihnya, esakan sahaja yang tinggal. Berselang-seli dengan bacaan surah Fatihah buat arwah suamiku yang baru sahaja meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Dia kemalangan sewaktu sedang menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Kes langgar lari. Kejamnya orang itu. Sanggup dia membiarkan seorang manusia terkapar-kapar mencari nafas keseorangan di belahan malam? Manusia apakah orang itu? Ke mana hilangnya perikemanusiaannya? Insankah dia? Jika benar tidak sengaja, tebuslah dengan menghantarnya ke hospital untuk rawatan. Jika hayatnya masih panjang, dia pasti sempat diselamatkan, dengan keizinan-Nya. Kenapa perlu ditinggalkan dia mencari bantuan bersendirian?

Hari ini sudah tiga hari Abang Shah pergi. Dia takkan kembali lagi. Majlis tahlil baru berakhir. Suasana suram. Semua orang memilih untuk diam. Hanya tangisan dan rengekan Aiman yang memecah hening. Aku nanar. Bingung. Kadang-kadang rasa tidak betah mendengar suara halusnya melalak setiap hari. Ada waktunya, aku gagal mengawal diri. Aku membiarkan sahaja dia terus-menerus merengek, sehingga dia senyap sendiri. Emaklah yang selalu terkial-kial memujuk anakku. Entahlah. Aku tidak berupaya menahan lelehan airmata setiap kali melihatnya, sebab dia mengingatkan aku pada Abang Shah. Terlalu. Acapkali, aku marah pada anak yang tidak bersalah itu. Selebihnya, aku marah pada diriku sendiri. Kemarahan yang membuatkan aku rela membiarkan sahaja Aiman dipujuk oleh yang lain. Sesiapa sahaja yang berasa kasihan atau tergerak untuk memanjakannya. Aku memerhati sahaja ke luar tingkap. Memandang jauh, berharap ada seorang lelaki mampir menjemputku pulang.

Emak cakap, lama aku pengsan malam itu. Aiman terpaksa diberikan susu tepung. Mujurlah usianya sudah mencecah lima bulan. Dalam tidak sedar itu, banyak kali juga aku meracau memanggil Abang Shah. Ayah kata, aku menangis dalam lenaku. Anakku tentulah lebih lagi. Tetapi, aku tetap tidak bangun. Aku mendengar suara mereka, tetapi aku tidak mahu bangkit. Aku enggan meninggalkan mimpi indah ini. Tetap leka dalam alam baru yang aku wujudkan. Membatasi semua hal lain yang cuba menarik perhatianku. Semua gagal. Pusat perhatianku sudah tertancap kejap dalam dunia ini. Sedang lena memandang keindahan langit biru yang merentang bumi hijau. Besar tempat ini. Jauh perjalanan yang harus aku tempuh untuk mengejar Abang Shah di hujung sana. Kenapalah dia tidak menungguku. Sepatutnya dia memimpin tanganku, supaya aku tidak jatuh terlampau kerap. Luka tubuhku. Banyak calar di sana sini. Darah yang mengalir aku biarkan. Sebab aku tahu apabila bertemu nanti, Abang Shah akan merawat dan membalut semua luka yang ada. Baik calaran pada tubuh, mahupun hirisan luka di hati.

Sesekali aku terdengar suara seorang bayi lelaki. Comel. Dia seperti memanggil aku kepadanya, tetapi aku tidak tahu sebabnya. Ke mana ibu bayi itu? Mengapa dia tidak menjaga anaknya dengan baik, sehinggakan anak itu perlu mencari ibu yang lain? Kasihan sungguh. Sayang. Aku perlu mengejar suamiku. Jika tidak, tentu aku sudah mengambil anak yang sedang menangis itu. Perjalananku yang panjang ini mustahil untuk sampai ke hujung andai aku perlu membawa anak itu bersama. Pasti aku perlu mengambil masa yang lebih lama untuk tiba. Jika aku lambat, lagi jauh Abang Shah pergi. Aku takut aku sudah hilang daya untuk menjejakinya nanti. Maaflah sayang. Jika jodoh kita ada, aku akan kembali menjemputmu. Waktu itu, aku akan bersama suamiku. Kau akan mempunyai ibu dan ayah serentak. Jangan menangis ya? Semoga kau tidak perlu menunggu lama. Tenanglah sahaja di sisi orang-orang yang sudi menyayangi. Sikit waktu lagi, tentu ibu kau datang. Takkanlah dia tinggalkan kau begitu sahaja. Pasti ada aral yang menghalang laluannya kepadamu. Tabahlah.

2 comments:

epy elina said...

hhoohohoh..
sdih la crta ni...
nisa tabah kan atimu..
yg prgi x akn kmbali..
nisa harus kuat demi anakmu...
nak nisa ngn ikram hehehe..
pe pun best crta ni...
smbung2...

rahmahmokhtaruddin said...

tq cik epy.. terima kasih kerana bersemangat membaca kisah ini..