Nov 7, 2009

KISAH 41

Sudah dua tahun aku mengekor jejak suamiku. Tetap gagal. Langkah pun semakin payah. Berat. Sekejap-sekejap perjalananku terpaksa berhenti. Aku perlu menyusukan anak lelaki yang aku jumpa di pertengahan jalan itu. Kalau aku tak mahu berhenti, emak akan datang dan memaksa. Aiman Hakimi namanya. Comel. Sesudah dia tidur kekenyangan, emak datang dan membawanya pergi semula. Lantas aku menyambung langkah. Kadang-kadang aku berlari mengejar langkah Abang Shah yang luas. Sampai bilakah baru dia akan berhenti? Aku sudah letih. Anak itu juga sudah besar kini. Dia sudah mula berjalan 8 bulan lalu, dan sekarang mulutnya sudah petah berkata-kata dalam pelatnya. Tapi aku? Aku masih begini. Masih sama. Mengejar dan terus mengejar.


Abang! Kenapa tinggal Nisa? Nisa dah tak larat nak kejar abang. Kenapa lari jauh-jauh? Macam mana Nisa nak hidup kalau abang takde? Abang tak kesian kat Nisa ke? Abang cakap abang sayang Nisa. Tapi kenapa tinggalkan Nisa seorang?


Nisa! Mari makan nak?


Suara emak. Aku terhenti lagi. Sudah waktu makan rupanya. Patutlah perutku pedih sejak tadi. Emak menyuap hidangan. Enak. Tetapi, kenapa dia bersedih? Emak menangis lagi kali ini. Siapalah yang mengusik emosi emak pada waktu-waktu begini? Kasihan emak. Tidak cukupkah penderitaannya sehingga dia diganggu lagi? Sabarlah emak, nanti pasti sinar pelangi akan kembali menghiasi rumah ini. Waktu itu, emak tentu tersenyum lebar sentiasa. Setiap hari. Setiap saat. Masa itu, duka tidak akan berani mencecah permukaan hidup kita. Apalagi menginap dan membiak di dalamnya. Jadi, sabarlah emak. Waktu itu akan tiba dan kita akan bersatu semula. Bahagia macam sebelum ini.


Menoleh, aku memandang arah yang lain. Ayah juga sedang manyapu pipi. Ayah Kamal pun selalu menitiskan airmata kalau dia datang sini. Kenapa semua orang dilanda duka? Taufan apakah yang telah menghentam hidup kami? Aku tahu aku tidak gembira, tapi perlukah orang lain terluka sama? Teruk sangatkah keadaanku? Rasanya aku masih sama. Ya, aku tahu aku sudah tidak menghabiskan masa-masaku dengan mereka. Sebab kebanyakan masa yang ada aku gunakan untuk menuruti jejak Abang Shah. Tapi itu bukan salah aku, dia yang tinggalkan aku. Takkanlah aku hanya memerhati? Mendiamkan diri melihat dia pergi? Dia suamiku! Maka aku harus mengikutnya! Semua isteri pun perlu bertindak macam aku. Kalau diam sahaja tak berkutik, mudahlah sang suami lari. Mengikut entah siapa, wanita mana entah untuk dijadikan teman baru mereka! Atas kesedaran itu, aku tidak senyap. Sehabis daya aku gunakan untuk mendaki ke puncak kejayaan bersamanya. Takkanlah sebab itu emak dan ayah berdukacita?


Aku tidak faham. Kenapa semua orang pandang aku begini? Risau sangatkah mereka? Aiman juga begitu. Selalu dia melemparkan sebuah pandangan yang sukar dimengertikan padaku, memandang tepat ke anak mataku. Mendatangkan rasa kaku dalam diri, seperti renjatan elektrik yang cuba menyedarkan aku tentang sesuatu. Tapi kenapa? Aku masih sihat. Aku waras. Mengapa nak pandang aku macam ni? Kenapa nak sedih tengok aku? Kalau iya pun sedih, tolonglah panggilkan Abang Shah. Kenapa semua orang sanggup biarkan aku keseorangan menjejaki kekasih hatiku itu? Tidak sayangkah mereka padaku? Kalau tak sayang, tinggalkanlah aku. Kenapa masih nak simpan aku di bilik ini? Tak faham!

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape