Nov 8, 2009

TERIMA KASIH CIKGU


"Azman! Apa lagi alasan kamu kali ini? Kenapa selalu sangat tak siapkan kerja rumah yang cikgu bagi? Dah banyak kali cikgu ingatkan kamu. Nanti lepas kelas ikut saya ke bilik guru, faham!
"

Sekali lagi aku menerima hukuman, kerana tidak menyudahkan kerja-kerja sekolah yang Cikgu Salmah bekalkan semalam. Bukan aku tak mahu buat, tapi aku tak reti. Aku tak cekap mengira. Otak ini bebal apabila berhadapan dengan angka yang banyak. Aku dah penat mencuba. Namun seperti biasa, aku akan tertidur sendiri di meja belajar sehingga ke pagi tanpa menyudahkan walau satu pun masalah kira-kira dalam buku tulisku. Sudah berbuih-buih mulut Cikgu Salmah menunjukkan itu dan ini, amarahnya juga sudah berulang kali pasang dan surut, aku masih begini. Batang rotannya yang telah berpuluh-puluh kali menghentam batang tubuhku juga sudah bertukar beberapa kali, aku tetap menjadi orang yang gagal. Tahun depan, aku akan menduduki peperiksaan besar. Penilaian Menengah Rendah. Tapi rasanya, hendak menyelesaikan masalah Matematik sukatan budak darjah enam pun aku tak mahir lagi.

Aku hanya pandai dalam bahasa. Markah Ujian Bahasa Melayu selalu aku dapat yang paling tinggi. Menurun dari arwah abah agaknya. Abah dulu cikgu Bahasa Melayu. Dia selalu ajak aku mengikuti kelasnya. Diam-diam, aku duduk di belakang kelas budak Darjah Empat Sekolah Melayu di kampung. Masa itu, aku berumur empat tahun. Kawan-kawanku yang lain dalam kelas itu semuanya sudah 10 tahun. Hanya aku yang masih terlalu hijau umurnya dalam kelompok itu. Walaupun seorang, aku seronok dalam kelas abah. Melihat tulisan bulat-bulat yang abah tulis di papan hitam. Papan hitam yang warnanya hijau. Kenapa tak dipanggil papan hijau? Sampai sekarang aku tak pasti. Agaknya kerana diterjemah terus dari Bahasa Inggeris iaitu blackboard, sebab itu dipanggil hitam sampailah sekarang. Macam-macam yang ayah tulis di hadapan. Aku di belakang bergembira membacanya.

Barangkali dengan pendedahan sejak kecil, aku jadi terbiasa dengan bahasa ibunda itu. Istilahnya, tatabahasanya, juga perbendaharaan kata yang macam-macam. Kalau di rumah pun, aku selalu curi-curi baca buku anak-anak murid abah. Pada mulanya, abah selalu tunjukkan aku buku anak muridnya yang elok untuk dibaca. Lama-lama, aku jadi biasa sendiri. Tak perlu diberitahu pun aku sudah tahu mahu ambil yang mana. Aku belajar selok-belok penulisan mereka. Mungkin aku juga mencerap idea dan pemahaman mereka secara luar sedar. Kadang-kadang, aku baca buku abah. Edisi guru. Entah apa bezanya, aku tak mengerti masa itu. Pendek kata, semua bahan bertulis yang abah ada aku akan baca. Tidak ketinggalan, surat khabar yang abah beli hari-hari. Habis semua aku khatam. Ada juga abah bising, sebab akhbarnya hampir lunyai aku kerjakan. Mana tidaknya, aku baca hingga tertidur. Berkeronyoklah semua bersama mimpiku. Sedar-sedar, aku dah ada dalam bilik tidur. Macam itulah hari-hari yang aku lalui sejak kanak-kanak, sampailah abah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Suruhlah buat karangan 2000 patah perkataan pun waktu itu, aku akan buat dengan girang. Tapi, kalau ditanya bagaimana meringkaskan punca kuasa dua 28, aku tidak tahu jawapannya. Jika disuruh kira 16 darab 13, aku akan mengambil masa lebih dari 20 minit untuk selesaikan. Inikan pula hendak menghadap soala-soalan tentang trigonometri, sudut-sudut segitiga, atau membaca buku sifir empat angka yang pelik-pelik itu. Tentulah jawapannya sangat mustahil. Aku langsung tak dapat tangkap rahsia di sebalik semua angka itu. Tulislah besar mana pun saiznya, aku tetap nampak benda yang sama. susah. Tak faham. Pening kepala. Itulah yang aku nampak apabila melihat nombor. Bukannya tak timbul rasa kasihan pada Cikgu Salmah yang terpaksa menjerit, memekik hampir setiap hari supaya ilmu dalam kepalanya terhantar ke dalam kepalaku. Aku kasihan melihat dia kehilangan sebegitu banyak tenaga semata-mata nak buat aku faham, tetapi aku tetap tak tahu. Semuanya masuk telinga kanan, keluarnya melalui semua rongga. Kalau pun satu masuk, dua yang keluar. Sampai ke akhir tak tahu apa-apa jadinya. Kosong. Markah ujian jangan ditanya. Kalau ada soalan mudah tentang hasil tambah, darab, atau tolak, boleh lah aku dapat 5 markah. Jika ada soalan pecahan atau bahagi, awal-awal aku sudah tarik diri. Alamatnya, telur ayamlah.

Emak? Dia sudah tak tahu bagaimana mahu membantu. Habis ceruk kampung emak dah pusing mencari guru agama untuk meminta air jampi atau penerang hati. Sebut sahaja. Ustaz Hassan, Imam Hashim, Tok Karim, Lebai Daud. Semua emak dah jumpa. Hasilnya masih belum ada. Nak berhenti minum, takut emak berkecil hati. Nak atau tak, aku teguk jugalah dua hingga tiga cawan air putih iti tiap-tiap hari. Naik kembung perut dibuatnya. Cikgu-cikgu kelas tambahan pun rata-rata terpaksa menyerah, minta maaf dari emak sebab tak mampu nak bantu. Kasihan emak. Nak harapkan anak-anak yang lain, hanya aku seorang cahaya matanya. Jadi, semua harapan dan tanggungjawab digalaskan ke pundakku seorang. Mahu atau tidak, memang itulah kenyataannya.

Keadaan yang mengecewakan ini berterusan sehingga ke hujung tahun. Sebelum memasuki usia 15, sekolah kami menerima seorang guru baru. Cikgu Rizal. Guru baru yang menggantikan tempat Cikgu Salmah. Memandangkan dia melapor diri selepas minggu peperiksaan akhir, dia tidak berkesempatan untuk masuk dan mengajar di kelas kami. Biasalah, akhir tahun. Kami menghabiskan sisa-sisa hari persekolahan dengan bermain sepanjang hari. Lain pula halnya dengan cikgu baru itu. Dia gigih. Menghabiskan masa mengkaji tahap prestasi kami dalam pelajaran. Menyediakan dirinya untuk berdepan dengan kami pada penggal depan. Akhirnya, dia memanggil aku ke bilik guru, beberapa hari sebelum akhir penggal yang panjang itu. Macam-macam soalan yang ditanyakan. Kebanyakannya bukan berkisar tentang pelajaran. Dalam sesi perbualan itu, dia sempat meminta aku mengisi jawapan untuk soalan-soalan Matematik berupa kuiz mudah. Seperti sedia maklum, aku boleh menghuraikan jawapan untuk satu atau dua soalan sahaja. Selebihnya, dia mengajakku berbual-bual. Mengenali suasana pembelajaran di rumah, bertanya tentang emak, aktiviti harian dan hobiku.

Sebaik mengetahui minatku yang tinggi dalam sukan bola sepak, dia langsung bertanya lebih banyak. Kenalkah aku akan lagenda Mokhtar Dahari dan kehebatannya? Soalan pertama yang ditanyakan padaku. Tanpa membuang masa, terus aku ceritakan segala yang aku tahu tentang Olahragawan Kebangsaan tahun 1976 itu. Memang aku kagum dengan semangat dan kemahiran hebatnya dalam sukan berkaki itu. Penyarung jersi nombor 10 bagi Pasukan Selangor itu selalu membanggakan semua orang. Sentiasa menggerunkan pihak lawan. Mempunyai banyak kelebihan, dia tahu bila masanya dia perlu melayangkan sepakan derasnya yang bak peluru itu ke gawang pihak lawan. Dengan bakatnya yang hebat itu, wira negara ini telah menjaringkan sebanyak 177 jaringan untuk Piala Malaysia dan 125 gol lagi di gelanggang antarabangsa sepanjang 17 tahun kariernya dalam arena bola sepak. Aku pun tak tahu dari arah mana angin lintang datang, sejurus membawa minat aku terhadap sukan itu. Tahu-tahu sahaja, aku sudah menghafal banyak fakta tentang sejarah hidup Supermokh itu.

Cikgu Rizal pula rupa-rupanya merancang agenda lain dari perbualan panjang kami hari itu. Sebelum pulang, dia meminta aku memaklumkan pada emak mengenai hajatnya untuk datang melawat kami pada esok hari. Juga menyuruh aku menyediakan set-set ‘pemain’ dari kertas keras untuk perlawanan persahabatan kami nanti. Aku menurut, dalam himpunan ceria. Membayangkan kami akan berseronok sepanjang petang esok hari. Kedatangannya aku sambut dengan penuh semangat kesukanan. Bersedia untuk semua kemungkinan yang bakal timbul. Kalah atau menang, itu hal lain. Selepas minum petang, cikgu meminta izin dari emak untuk menghabiskan masa di bilik tidurku yang memang luas dan besar. Memulakan perbualan sambil berbual-bual panjang tentang banyak perkara. Kadang-kadang, dia sempat menyelitkan soalan-soalan Matematik yang mudah. Tanpa sedar, aku menjawab semuanya dengan betul! Penuh yakin! Terkejut juga aku apabila dia membuka kisah tentang hal itu selepas kami selesai bermain petang itu. Aku tak bengap rupanya! Aku tahu, sebenarnya ketakutan dan rasa rendah diri yang terlalu tebal menghalang aku dari menapak ke depan. Baru sahaja hendak memupuk semangat, aku goyah lagi. Puncanya? Aku langsung tak dapat menjawab soalan-soalan Cikgu Rizal selepas itu. Pelik! Takkanlah aku hanya bernasib baik tadi? Cikgu Rizal pun diam sahaja. Katanya, esok cikgu datang lagi.

Aktiviti petang kami berlanjutan beberapa hari. Keadaan sama juga. Aku hanya boleh menjawab soalan Cikgu Rizal dengan baik apabila aku tidak sedar. Susahlah. Bagaimana mahu menjawab kertas peperiksaan dalam keadaan tidak sedar? Hari ke-6, Cikgu Rizal datang lagi. Katanya, hari ini saya tak nak main bola lagi. Sekarang masa untuk Matematik. Aku bungkam, sebab sekolah sudah cuti. Tapi aku diamkan sebab dia guru aku. Terpaksalah aku belajar. Cikgu Rizal suruh aku kumpulkan semua ‘pemain’. Juga kotak-kotak keras yang ada, kalau-kalau kami perlukan anggota tambahan. Tak faham. Tadi katanya mahu belajar, kenapa perlukan ‘pemain-pemain’ aku pulak? Aku mengikut juga. Hendak bertanya, segan membukit.

“Okey. Hari ini cikgu nak terangkan pasal operasi darab. Sekarang, cuba kamu buat lima pasukan bola sepak, dengan 12 ahli setiap pasukan. Anggapkan kamu jurulatih semua pasukan. Berapa orang yang kamu perlu agaknya? “

“Senang je cikgu. Tak payah kumpul orang pun saya tau. 60 orang la semuanya.”

“Kalau saya nak 14 pasukan? Ahli 12 orang juga tiap-tiap pasukan.”

“14 pasukan? Kena ada 168 orang lah. Saya kira saja, boleh? Tak cukup kad nak buat ramai macam tu cikgu.”

“Tak cukup ya? Tak mengapa. Macam mana kalau tiba-tiba ada tambahan 3 ahli untuk tiap-tiap pasukan tadi? Ada berapa orang sekarang?”

“Tambah 3? Maksudnya 14 kali 3, tambah dengan yang tadi. Semuanya 210 cikgu.”

“Kamu nampak tak apa yang cikgu nampak? Cikgu rasa kalau kamu gambarkan angka-angka yang banyak tu dalam keadaan macam kamu bayangkan sekarang ni, tentu kamu boleh pergi lagi jauh. Macam-macam masalah kamu boleh selesaikan.”

“Takkanlah cikgu. Kalau saya tahu pun, saya boleh congak je. Nak tulis kira-kiranya saya bukan tahu. Bukan dapat markah pun nanti. Kalau soalan segitiga, macam mana saya nak buat?”

“Yang lain-lain tu nanti cikgu ajarlah satu per satu. Yang penting sekarang, kamu mahirkan dulu kira-kira secara mencongak. Nanti lagi mudah nak sudahkan yang lebih rumit. Sebenarnya kamu tahu, tetapi kamu sempitkan fikiran dengan mengatakan susah setiap hari. Jadi, minda kamu menerima itu sebagai satu hakikat yang memang tak boleh diubah, lalu kamu tetap di tahap yang sama sampailah kamu sendiri yang ubah kenyataan dan persepsi itu.”

“Macam tu ke cikgu? Jadi, selama ni saya yang susahkan diri sendiri la?”

“Saya tak tahulah kesusahan macam mana yang kamu rasa. Tapi pada saya, pokok pangkalnya terletak pada diri kita. Kalau kita sendiri yang tak nak maju ke depan, orang lain tolak macam mana pun kita takkan boleh bergerak. Baiklah, saya nak tanya lagi. Kali ini, saya ada sejumlah 86 orang pemain yang perlu saya bahagikan kepada 7 pasukan secara sama rata. Berapa orang ahli akan ada untuk setiap pasukan kamu?”

“Hmm, kalau 86 orang, saya boleh bentuk 7 pasukan dengan 12 orang ahli. Ada lebih dua orang pemain, boleh jadikan tukang kutip bola di tepi padang.”

“Haha. Tukang kutip bola. Ke situ pula kamu. Kamu tahu tak kamu baru sahaja selesaikan operasi bahagi yang selama ni kamu tak tahu nak buat?”

“Wah, saya boleh buat rupa-rupanya! Saya tak bodoh, kan cikgu?”

“Siapa yang cakap kamu tak pandai? Saya tak pernah pun sebut apa-apa pasal tu.”

“Hehe. Tak tahulah saya siapa yang cakap. Maksudnya kan cikgu, kalau saya nak pecahkan 17 orang jadi 3 kumpulan sama dengan 17 bahagi 3 ya?”

“Ya betul. Ha, kan kamu dah nampak tu. Bahagi tu samalah dengan pecahan. 17 bahagi 3 sama juga dengan 17 per 3 iaitu pecahan tak wajar. Kalau kamu bahagikan, berapa kamu dapat?”

“Saya dapat 5 orang setiap bahagian, dan ada lebih 2 orang.”

“Betul. Kalau tulis dalam bentuk pecahan jadi 3. Maksudnya, 3 sebagai nombor bulat, dan yang 2 per 5 masih pecahan sebab kita tak boleh nak bahagikan 2 orang kepada 5 bahagian yang ada. Kamu faham setakat ini?”

“Faham rasanya, tapi lambat sikit. Mungkin perlukan lebih latihan untuk soalan macam ni. Tapi, kalau difikir-fikir, tak lah susah sangat macam yang saya bayangkan selama ni.”

"Tentang latihan kamu jangan risau, saya akan bagi kamu macam-macam soalan sampai kamu rasa nak muntah. Siapa yang cakap susah? Kamu sendiri, kan? Jadi, kalau kamu anggap mudah, senanglah jadinya. Yang paling penting, kamu faham dan jelas dengan konsepnya.”

Latihan intensif kami berlarutan sehingga beberapa minggu. Aku seronok. Girang untuk menguasai ilmu hisab yang tak pernah aku mahir sebelumnya ini. Aku sudah ada kemahirannya. Kemahiran terpendam yang berjaya dicungkil oleh Cikgu Rizal. Sekarang, aku tak punya masalah lagi untuk selesaikan hasil darab tiga atau empat angka. Konsep yang dulunya sukar kini jelas dalam kepala. Tak susah untuk aku sudahkan persoalan yang ditanyakan. Cuma aku masih merangkak-rangkak untuk memahami atau mentafsir soalan jenis aplikasi. Perlu bimbingan dan latihan yang lebih banyak untuk mengasah kemahiran menganalisis soalan jenis itu.

Memasuki penggal persekolahan sukatan Tingkatan 3, aku jadi semakin tidak sabar. Tamak untuk mencari lebih banyak ilmu. Kalau hari-hari ada ujian Matematik pun tak apa. Boleh aku menguji diri untuk mengetahui di tahap mana aku berdiri. Selesai ujian bulan pertama, aku bukan lagi calon yang menyandang tempat tercorot di dalam kelas untuk subjek itu. Menangis emak semasa Cikgu Rizal datang memaklumkan hal itu. Gembira dia dengan perkembangan anak lelakinya ini. Aku tumpang seronok melihat emak. Sekurang-kurangnya, aku telah membuat hatinya senang. Aku jadi lebih teruja untuk memajukan diri. Soalan-soalan trigonometri yang aku tak tahu dulu, Cikgu Rizal perkenalkan istilah dan konsep baru. Disuruhnya aku bayangkan beza saiz padang bola untuk 5, 7 dan 11 pemain. Kalau bentuk-bentuk sudut segitiga, dia ajar aku menggambarkan keadaan untuk sepakan sudut. Kedudukan yang bagaimana baik untuk mendapat sepakan yang tepat dan hebat? Di mana perlu letakkan penjaga gol, penyerang dan pemain pertahanan? Dia suruh aku fikir sambil belajar. Seronok! Semuanya aku nampak, sebab sudah dipermudahkan. Rasanya kalau dia mengajar seperti di dalam kelas pun aku sudah boleh nampak jalannya.

Perlahan-lahan aku melangkah. Ada masanya aku berlari. Apabila kepenatan, aku kurangkan kelajuan, dan mula berjalan pantas pula. Jika terlalu penat, aku menapak lebih perlahan, tetapi aku pastikan aku tidak berehat terlalu lama. Khuatir hilang kemahiran yang ada. Berbekalkan usaha, semangat yang tinggi, doa emak dan panduan dari Cikgu Rizal, aku berjaya mendapat A untuk PMR! Keputusan yang langsung tak pernah dijangka setahun yang lalu. Keputusan baik itu membolehkan aku meneruskan pengajian dalam Aliran Sains di Tingkatan 4 dan 5. Mana-mana yang aku rasa sukar, aku mudahkah bayangannya supaya aku nampak. Contohnya, halaju ialah kiraan jarak terhadap masa. Aku membayangkan kederasan sepakan supermokh yang menderu masuk ke gawang pihak lawan dari jarak yang jauh sekalipun. Ertinya kalau jarak itu jauh, aku perlukan lebih masa untuk sampai. Kelajuannya juga akan menjadi lebih perlahan disebabkan jaraknya yang besar.

"Cikgu Azman, oh Cikgu Azman. Pegawai dari Kementerian Pelajaran telefon tadi. Katanya, lagi 10 minit dia sampai."

"Baiklah. Terima kasih, Kak yam."

Inilah aku sekarang. Guru Besar di sebuah sekolah rendah. Sekolah sama yang arwah abah mengajar dahulu. Sekolah yang banyak mengajar aku macam-macam perkara. Kalaulah aku gagal dahulu, tentu bukan aku yang menggalas jawatan penting ini sekarang. Semuanya adalah jasa Allahyarham Cikgu Rizal. Kerjayaku sebagai seorang tenaga pengajar bermula sebagai seorang guru Matematik, aku menginjak naik jawatan yang ada di sekolah ini. Pada usiaku mencecah 50, aku dilantik sebagai Guru Besar. Terima kasih, Cikgu. Jasamu akan kukenang sampai bila-bila. Akan aku panjangkan ajaranmu sehabis daya yang aku mampu.

p/s: Cerpen pertama saya. Kisah Khairunnisa saya rehatkan buat seketika untuk pembaikan plot. Harap maklum.

1 comment:

Anonymous said...

cite best n bnyk pengajaran klu d up ke p2u sempena hri guru kelak Msti bnyk smbutan insyaallah .. ( RD )

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape