Nov 18, 2009

KISAH 42

Khiriah datang hari ini. Dia balik setelah hampir dua tahun kami tak bersua muka. Anak bernama Aiman itu pun sudah pandai berjalan. Ibunya masih juga tidak datang. Tiba-tiba sahaja adikku datang melawat. Mimpi apakah dia? Sudah berubahkah dia hingga tergerak hatinya untuk datang melihat aku? Atau mahu mentertawakan aku yang telah ditinggalkan suami ini? Tidak! Aku bukan ditinggalkan. Cuma langkahnya sahaja terlalu laju dan aku masih belum mencapai kelajuan itu untuk membolehkan kami berjalan seiringan. Kenapa pula aku nak susah-susah terangkan kepada Khiriah, sedang dia tak pernah ambil tahu tentang hal aku? Biarlah dia datang. Emak kan ada untuk melayani kehendaknya? Aku ada urusan lain yang lebih penting dari melayan kerenahnya yang takkan habis itu. Membuang masa sahaja.

Aiman sayang! Anak Ucu ni pandai cakap macam-macam dah. Nanti Ucu belikan buku cerita ye, sayang? Kejapnya dah besar. Ibu Aiman mana sayang?

Ucu? Kenapa pula adik membahasakan dirinya Ucu pada Aiman? Siapa pula ibunya? Tapi kalau Khiriah Ucu, ibunya akulah. Takkan emak pulak. Ada saudara lainkah selain aku? Pelik. Kenapa aku tak pernah tahu? Ke aku tahu, tetapi aku pura-pura tak ambil tahu? Argh! Aku buntu! Yang mana betul ni?

Kakak! Apa khabar? Buat apa duduk mengadap tingkap tu lagi? Marilah duduk sini, berbual-bual dengan adik akak ni.

Dia panggil aku kakak? Apa kena budak ni? Tak pernah-pernah dia panggil aku macam ni.

Kakak, akak sihat ke tak ni? Mana kakak aku yang penyayang dulu tu? Dah hilang ke? Tolonglah sedar akak, Abang Shah takkan balik. Janganlah terus-terusan macam ni. Kesiankanlah si Aiman ni. Kesiankan emak dengan ayah tu.

Apsal kau tanya macam tu? Memang la aku sihat. Bilanya aku sakit? Kenapa kau cakap Abang Shah tak balik? Dia pergi mana? Kenapa dengan emak dan ayah? Kenapa aku nak kena kesian kat Aiman? Aku bukan mak dia!

Akak! Sampai hati akak sanggup cakap macam tu. Akak ni emak jenis apa? Sejahat-jahat aku, takde la sampai tak mengaku anak sendiri tau? Akak tak ingat ke yang Aiman tu anak akak? Akak tak ingat ke akak pernah kandungkan dia 9 bulan dalam rahim akak tu? Kenapa akak ni teruk sangat? Sudah-sudahlah. Terimalah hakikat Abang Shah dah meninggal!

Tak! Kau tipu. Kau memang saja nak bagi aku keliru. Dari dulu lagi kau tak suka aku! Kau tipu!

Takde sebabnya aku nak tipu. Kau ingat aku senang hati ke tengok kau macam ni? Dah cukup aku kenakan kau dulu, tak dapat apa-apa faedah pun. Kau nak ulang balik kisah lama ke? Kau lupa ke apa yang jadi dulu?

Aku lupa? Apa yang jadi? Aku ulang kisah apa?

Kau lupa ke macam mana keadaan kau dengan emak dulu? Kau nak Aiman ni dapat nasib sama macam kau ke?

Nasib apa pula ni? Kau cakap pasal apa ni? Nak kait-kait apanya ni?

Kau tanya apa kaitan? Dia tak dapat kasih sayang ibu dia! Kau dulu kira nasib baik lagi. Kau ada ayah. Aiman ni, ayah pun takde tau! Sedarlah!

Dam! Gelap kembali. Aku gagal menerima tekanan hebat itu. Aku pengsan saat itu juga. Mungkinkah aku rebah kerana  telah mendengar kenyataan yang Abang Shah telah tiada? Kenyataan yang sememangnya aku tahu. Sudah lama aku memakluminya, tetapi aku sengaja menolak. Tidak mahu menerima. Akhirnya ada seseorang memecah kebisuan, mengingatkan aku mengenainya. Melanggar tembok yang telah aku bina untuk menutup pandangan dan menulikan telinga, seterusnya membiarkan aku selesa keseorangan dalam rencana fikiran yang tidak menentu.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape