Nov 24, 2009

KISAH 43

Itu kisah dua tahun lalu. Aiman dah petah bercakap sekarang. Mulutnya becok, tak henti-henti bertanya. Semua perkara dia nak tahu. Semua hal dia nak teroka. Segalanya dia nak ambil peduli. Dia seperti mahu menebus kehilangan yang dia rasa dahulu. Dia mahu mengisi semula dua tahun yang aku tinggalkan dalam hidupnya. Kenapa itu? Mengapa ini? Memang menghiburkan hati. Langsung tak sunyi duniaku kini. Ruginya aku ketinggalan dari mengikuti perkembangan anakku dari awal usianya. Jika tidak, aku akan lebih mempunyai kenangan indah tentangnya. Teruk rupanya situasiku masa itu. Padanlah emak dan ayah tak pernah berhenti menangis. Aku begitu tenggelam dalam kesedihan. Sudahlah baru sahaja berbaik-baik dengan arwah, tanpa sebarang amaran dia pergi. Menyebabkan aku terus lemas, gagal menerima kenyataan yang sangat menusuk.

Atas kekurangan dan ‘kehilangan’ yang aku alami itu, Akramlah yang banyak berkorban masa menjaga Aiman. Anak yang dahagakan kasih seorang ayah itu sangat rapat dengannya. Menurut emak, Akram yang selalu datang dan menjaganya sejak dia masih bayi, ketika aku sakit. Maaflah Abang Akram. Aku menyusahkan kau lagi kali ini. Setiap kali kami berpandangan, dia senyum dan menggeleng. Tanda semua itu adalah tanggungjawabnya. Anak itu anak saudaranya juga walau langsung tiada pertalian darah. Katanya dia bahagia dengan keadaan itu. Aiman juga sangat selesa dengan ‘ayah’ yang dipanggil Papa itu. Biasanya aku ketawa sahaja, menonton aksi kedua beranak itu. Entah apa yang dibualkan, asyik gelak tak berhenti. Sepakat benar keduanya.

Aku kagum dengan kesabaran Abang Akram. Membayangkan dia meladeni rengekan Aiman sejak bayi, aku sangat berterima kasih. Hendak mengharapkan emak dan ayah yang sudah tua, tak tahulah apa yang akan jadi. Mereka asyik bertemankan sedih dengan keadaanku yang tak mahu kembali ke dunia nyata, Dia memang selalu ada untuk kami. Dia jugalah yang pernah menyedarkan aku bahawa yang aku lihat adalah Azhar, bukan Abang Shah. Abang Akram jualah yang mengingatkan aku tentang Azhar, kembar suamiku yang telah mula kabur dalam ingatan. Setelah jenuh kedua orang tuaku menerangkan tentang Azhar, dia akhirnya terpaksa campur tangan. Menunjukkan gambar perkahwinan Azhar dan Aisyah. Dalam gambar itu, arwah suamiku ada bersama. Sengaja mereka rahsiakan dari pengetahuanku tentang majlis pernikahan itu. Masa itu, aku sudah pun tinggal dengan ayah di kampung.

Aku tidak dijemput kerana diketahui, kami sedang mengalami saat-saat yang sangat payah. Pihak Abang Akram sengaja meminta sokongan ayah dan emak supaya tidak memberitahuku tentang berita perkahwinan dan kehadiran Abang Shah di situ. Ditambah pula itu akan menjadi pertemuan pertama aku dan Azhar. Dikhuatiri akan mengganggu emosiku lagi. Mencarik lagi rompong halus yang menimbus luka. Kedua pengantin itu juga berhasrat untuk menjenguk aku kemudian hari, mengkhabarkan sebuah berita kegembiraan dalam waktu yang lebih sesuai. Namun, takdir Tuhan menentukan semuanya. Hasrat untuk memaklumkan selepas kelahiran Aiman tidak tercapai. Kesibukan kerja menghalang kami bersua. Apabila keadaan beransur reda, suamiku pula dijemput Ilahi. Aku? Tenggelam dalam lautan lara. Cukup lama. Selepas aku sedarkan diri, barulah Azhar muncul bersama Aisyah. Itu pun, aku hampir gila melihatnya.

Ayah semput menarikku supaya bersabar. Masa itu aku hampir-hampir melayangkan kaki ke badan Aisyah. Sebab? Aku dihantui cemburu! Melihat suamiku sedang dalam dakapan wanita lain! Tangan Aisyah kejap memegang lengan sasanya. Menghilangkan kesabaran aku yang sememangnya sedang menipis ketika itu. Nasiblah mereka tidak datang berdua. Abang Akram ada menemani. Dialah yang akhirnya terpaksa mengambil alih tugas ayah menyabarkan aku. Ayah yang sudah pun terduduk di sudut ruang tamu, kelelahan. Keras tengkingan Abang Akram, tidak pernah aku lupa. Setelah dijerkah begitu, barulah aku diam. Senyap, langsung tak mengangkat muka hatta alis mata. Kemudian, perlahan-lahan mereka menerangkan hal yang sebenarnya. Dalam lelehan airmata yang berjurai di pipi, aku belajar menerima sebuah kenyataan. Suamiku sudah lama pergi menghadap Ilahi! Kasihan rohnya tidak tenang! Berdosanya aku menjadi orang tidak redha! Astaghfirullah al-Azim! Maafkan Nisa, abang! Nisa lupa tentang wujudnya qada’ dan qadar yang telah digariskan oleh-Nya untuk kita berdua. Nisa terleka dalam kasih sayang Nisa untuk abang! Nisa tak ingat yang Nisa untuk menyerahkan semuanya pada Tuhan! Nisa minta ampun! Semoga roh abang tenang. Nisa redha, Nisa akan selalu mendoakan kesejahteraan abang di sana.

1 comment:

MaY_LiN said...

ala cedihnye..
ni mesti nak wat part akram ngan nisa