Nov 30, 2009

KISAH 45

Abang Akram, abang tau ke punca Abang Shah boleh ingat kita berdua ni ada hubungan cinta dulu?

Bertitik-tolak dari soalan yang terpacul keluar dari mulutku itu, Abang Akram membuka sebuah babak yang tidak sempat aku bincangkan secara panjang lebar dengan arwah sebelumnya. Kisah yang pernah cuba disampaikan setelah warna jernih dan cahaya pelangi menjengah rumahtangga kami. Namun, waktu itu aku yang telah terluka memilih untuk tidak mendengar. Apatah lagi berbicara panjang mencari titik permulaan sebuah keretakan yang menyebalkan. Aku bimbang aku akan lebih memendam rasa jika tahu mengenainya. Aku takut aku gagal mengimbangi kewarasan fikiran jika memaklumi. Aku khuatir aku tidak mampu untuk menjadi isteri yang baik setelah mengetahui segalanya.

Abang Akram kemudiannya mengunjukkan sebuah sampul padaku. Agak besar. Juga tebal. Tanpa banyak bicara, dia memberi isyarat meminta aku meneliti isi kandungan sampul itu. Semuanya adalah gambarku! Foto-foto yang diambil dari awal usia perkhidmatanku di rumah ayah Kamal sehinggalah saat pergaduhan aku dengan arwah. Sungguh mengejutkan! Siapalah yang begitu berminat mengambil tahu tentang peribadiku sampai macam itu? Peminat rahsiakah? Tapi mengapa sehingga aku berpisah dengan arwah sahaja? Gambar aku bersama Aiman mana? Gambar aku menangis di kubur Abang Shah, kenapa tiada? Lagi, kenapa tiada langsung foto-foto semasa aku sedang bersedih menangisi kematian suamiku? Takkan sampai di situ sahaja orang ini mengambil tahu tentang aku? Takkanlah Abang Shah sendiri yang mengupah orang untuk mengekoriku? Maka, sampai situ sahaja kisah hidupku menjadi intipan?

Menyedari dahiku berkerut seribu dan fikiranku penuh dengan tanda tanya, Abang Akram mula membuka mulut. Menjelaskan semua pertanyaanku. Memikirkan dia yang telah lengkap bersedia, aku mengandaikan yang dia memang menanti aku bertanyakan soalan itu. Rasanya semua bahan ini memang sengaja dibawa pada hari ini, kerana dia memang mahu menamatkan semuanya. Dia seperti sudah penat menyimpan sebuah amanat. Selama ini, dia menanti masa untuk menyampaikan semuanya kepada tuan punya diri, yakni aku. Tak mungkinlah semua ini kepunyaan peribadinya. Tapi, ada kemungkinankah dia cuba mengintai peribadiku? Takkanlah

Abang Akram, apa kelebihan yang dia akan dapat kalau dia berbuat seperti ini?

Akram: Nisa! Dengar tak abang cakap?

Nisa: Aaa? Abang cakap apa ye? Maaf, Nisa tak dengar. Boleh abang ulang?

Akram: Okey, abang ulang. Nisa dengar betul-betul. Ada apa-apa yang tak faham, tanya je. Abang tak kisah. Tak payah Nisa pening-pening nak fikir banyak-banyak. Nanti letih.

Penjelasan yang dibuat oleh Abang Akram sungguh teliti dan penuh berhati-hati. Dia sangat menjaga hati ini supaya tidak tertusuk dengan kata-kata tajam yang boleh meruntuhkan keyakinan dan kepercayaan diriku sekali lagi. Semuanya dibentangkan dengan sebaik mungkin, supaya aku dapat mengakses segala maklumat dengan baik, serta memahaminya dari sudut pandangan yang lebih rasional. Dia secara tidak langsung membantu proses pemikiranku supaya terus positif dan tidak terpandu oleh tindakan beremosi seperti selalu. Seringkali dia bertanyakan keadaan dan penerimaanku. Memang, dalam keadaan seperti itu aku tidak boleh menerima kejutan yang melampau. Ditakuti aku akan berakhir di sebuah wad psikiatri dan memerlukan pengawasan teliti sepanjang masa. Nasiblah dia tahu menganalisis keadaan itu. Tindakannya selalu wajar. Kena pada tempatnya.

Bayangkanlah kalau dia mengkhabarkan semuanya tanpa mengambilkira keadaanku. Sedangkan melihat Aisyah sahaja aku sudah bersilat, inikan pula kalau aku mendengar susur-galur perkara yang mengakibatkan kecelaruan segalanya. Kalau tidak diberitahu dengan baik, aku sendiri pun tidak tahu tindakan bagaimana yang telah aku ambil untuk menyelesaikan kemelut minda ini. Entah jalan hitam mana lagi yang akan aku ikuti jika aku mengalami kesan kejutan yang kuat dan gagal mengawalnya. Tentunya saat ini Aiman sudah menjadi anak yatim piatu. Berkemungkinan besar aku telah menjalani hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang lama atas kesalahan berat yang mungkin telah aku buat. Semuanya mungkin. Akal yang sudah tidak tenang, dan sering dipandu oleh emosi dan nafsu tidak mungkin akan dapat menggerakkan anggota badan mengambil tindakan matang. Semuanya akan dibuat secara membuta-tuli sahaja nanti.

2 comments:

MaY_LiN said...

saspen nye
sis..
sape punye angkara lani

rahmahmokhtaruddin said...

hihi.. hai MaY_LiN! rindunye dgn awak.. editor peribadi sy ni, hehe..