Dec 2, 2009

KISAH 46

Akram: Sebelum apa-apa, abang minta maaf dulu. Kalau-kalau apa yang Nisa bakal dengar ni menyakitkan hati. Kalau-kalau Nisa fikir abang ni sibuk nak ambil tahu pasal kehidupan peribadi Nisa. Abang harap, Nisa dengar dulu semuanya secara teliti sebelum ambil sebarang tindakan atau menjatuhkan hukuman. Nisa dah sedia?

Nisa: Okey, Nisa maafkan. Nisa pun nak minta maaf untuk apa juga tindakan yang akan Nisa buat nanti. Nisa dah sedia abang.

Akram: Macam ni. Shah ceritakan semuanya pada abang. Masa tu, dia minta pendapat abang macam mana nak selesaikan masalah antara kamu berdua. Lebih kepada menghuraikan masalah Shah sendiri sebenarnya.

Nisa: Masalah Abang Shah? Dia ada masalah apa bang?

Akram: Masalah yang dia sendiri wujudkan. Masalah yang dia cari sebab termakan kata-kata orang lain yang berniat nak runtuhkan rumahtangga kamu berdua. Masalah hati dan perasaan dia yang rasa bersalah sangat terhadap apa pun perkara yang dia dah pernah buat pada Nisa.

Nisa: Lepas tu, abang cakap apa?

Akram: Abang cakap kat dia, itu urusan antara Nisa dengan Shah. Abang tak berani nak cakap banyak-banyak, takut nanti tersalah hukum. Sebab abang orang luar. Kamu berdua yang mendepani semua kepayahan, susah senang, pahit manis. Kemudian, abang minta dia jumpa kamu. Minta maaf, mulakan semula apa-apa yang dah pernah rosak. Kalau dia terus larikan diri, keadaan mungkin jadi lagi teruk. Kalau dia pilih untuk terus tinggalkan Nisa, dia akan terus dibebani rasa bersalah. Sampai bila-bila pun. Aiman juga akan kehilangan seorang ayah. Sebab abang rasa, mustahil untuk seseorang tu kembali menebus kesalahannya kalau dia tinggalkan semuanya pada saat-saat dia boleh berbuat sesuatu. Dia akan terus dihimpit dengan kesalahan lama yang pernah dia buat, sampai akhir hayatnya.

Nisa: Hmm.. Terima kasih sebab nasihatkan Abang Shah macam tu. Kalau dia tak balik pada Nisa masa tu, Aiman takkan pernah sempat jumpa ayah dia. Nisa pun ada kemungkinan tak dapat nak pulih dari trauma ni.

Akram: Lagi satu, Nisa jangan salah faham dengan ayat abang ni. Ini cuma pendapat abang untuk soalan arwah masa tu. Sebab abang menjawab sebagai orang ketiga yang memberi pandangan secara umum tentang baik dan buruk keadaan rumahtangga kamu.

Nisa: Abang cakap apa?

Akram: Abang cakap, kalau dah dia rasa berpisah adalah jalan terbaik untuk kamu berdua, teruskan. Tapi, pastikan dia berbincang dulu secara baik dengan Nisa. Pastikan dia tak hukum Nisa tanpa memberi peluang pada diri kamu berdua.

Nisa: Hmm. Kalau abang tak minta Nisa jangan salah fikir tadi mungkin Nisa dah tengking abang sekarang ni. Mesti Nisa dah halau abang dari rumah ayah Nisa ni. Nisa faham apa yang abang cakap. Kalau fikir secara tenang, memang itu yang patut kami buat. Lagi? Apa jadi lepas tu?

Akram: Lepas tu, dia balik pada Nisa. Setakat yang abang tau la. Sebelum dia pergi tu, dia serahkan sampul besar tu pada abang. Dia bagitau semua yang terjadi, supaya abang boleh jelaskan pada Nisa. Kalau-kalau dia tak sempat nak maklumkan. Nisa ok setakat ni? Nak abang teruskan atau Nisa nak sambung lain kali?

Nisa: Nisa okey abang. Teruskan. Nisa nak tahu semuanya. Kenapa dia ada sampul ni? Sebab tu ke dia tau dia salah sangka je selama ni?

Akram: Iya, betul. Sebab sampul tu dia dapat tau semua komplot yang Aina rancang. Sampul tu, sebenarnya Shah jumpa dalam bilik Aina di pejabat. Kebetulan masa tu Aina minta dia ambilkan fail penting dari bilik dia, untuk persediaan mesyuarat. Masa tu la Shah jumpa sampul tu. Dekat dengan fail yang dia nak cari tu.

Nisa: Masya-Allah! Kak Aina punya? Dia buat apa dengan gambar-gambar Nisa ni?

Kenapa begini? Kenapa Kak Aina? Apa yang dia nak dari aku? Aku tak mengerti. Sesungguhnya aku tak tahu di manakah permulaan segala kekeruhan ini. Sedar-sedar, aku telah terlewat. Sudah tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk membaiki mahu pun membalikkan keadaan seperti sediakala. Kak Aina sudah membenci. Hatinya sudah dipenuhi dengan dendam. Tapi kenapa? Perlukah membenci aku sebegini rupa? Benarkah kenyataan yang dia menyimpan rasa untuk arwah suamiku? Jika betul, perampaskah aku? Andai bukan, alasan apa yang dia miliki sehingga kental benar hatinya menghancurkan kehidupan seorang wanita lain? Sungguh aku tak mengerti. Ketentuan apakah ini? Takdir bagaimanakah yang menantiku ini? Ya Allah, pinjamkanlah aku kekuatan. Emak! Ayah! Apa yang harus Nisa buat?

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape