Jan 5, 2010

KISAH 51

Aku tak tahu apa yang berlaku. Tiba-tiba hati ini mula menyayangi lelaki itu. Menyaksikan Aiman Hakimi yang begitu akrab dengannya, aku sering tersentuh. Melihatkan keprihatinan dia pada kehendak anak kecil itu, aku selalu ingin menangis. Pilu. Masih ada tempat untuk anakku menumpang kasih seorang bapa. Ayah selalu cakap, mudah untuk menjadi bapa tetapi sukar untuk menjadi seorang ayah. Apa maksudnya? Aku mengerti kini. Susah untuk seseorang itu membimbing anak-anaknya dengan betul, ke arah kebaikan, menjadi seorang yang mengasihi anak-anaknya kerana Tuhan tetapi mudah untuk ‘membuat’ seorang anak. Seorang ayah adalah orang yang bertanggungjawab tentang segala perihal anak-anaknya, tetapi kadang-kadang seorang bapa hanya tahu meletakkan bin pada nama anaknya. Itulah yang membezakan manusia yang berbudi. Orang berbudi akan meletakkan harga diri dan hubungan sesama insan melebihi yang lain selepas Allah dan Rasul-Nya tetapi orang yang sebaliknya akan selalu meletakkan dirinya di tempat teratas, melebihi kepentingan kedua orang tuanya sendiri. Sungguh zalim orang seperti ini.

Seringkali, aku tertangkap oleh Mak Limah ketika leka memerhatikan lelaki itu. Entah mengapa, aku rasa bahagia sendiri. Melihat anakku tertawa riang dalam pelukan dan dukungannya, aku turut tertawa. Adakalanya Mak Limah cuba memberi galakan secara senyap, meminta aku mengakhirkan zaman sendiriku. Juga mengingatkan yang Aiman perlu seorang ayah, tapi aku yang takut. Takut kehilangan sekali lagi. Takut untuk sendiri lagi nanti. Takut Aiman bersedih dengan sebuah kehilangan. Takut untuk membina sebuah masjid lagi. Takut untuk semuanya. Terkadang, hati seperti terbuka untuk menerima namun tertutup semula dengan keraguan dan ketakutan. Berbolak-balik antara mahu dengan enggan. Mewujudkan kecelaruan yang sangat mendera perasaan. Tapi, aku tahu aku menyayangi dia. Rasa itu hadir, menjelmakan selesa.

Aku sudah tidak tahu petunjuk mana lagi yang harus diikuti. Semuanya sangat mengelirukan. Haruskah aku bertanyakan pendapat sesiapa? Orang tua? Ayah? Emak? Tidakkah nanti aku akan menyusahkan mereka? Memberatkan fikiran mereka yang sudah tua dengan masalahku. Perlukah lagi aku membebankan perasaan mereka? Mereka sudah terlalu tua untuk merisaukan lagi hal anak-anak. Seharusnya pada usia ini mereka sudah tidak perlu bersusah-susah. Kalau memikirkan Aiman, tentu aku sudah menerima lamaran cintanya. Tetapi bolehkah hati ini menerima? Bolehkah aku bersedia sekali lagi untuk menjadi seorang isteri? Itupun isteri kepada seorang lelaki yang sangat rapat dengan arwah suamiku? Adakah aku akan dianggap sebagai seorang yang tidak setia pada arwah? Secepat ini mencari pengganti. Pengganti yang juga dari kalangan ahli keluarga, yang terjalin tanpa hubungan darah. Ayah, apa patut Nisa buat? Nisa sudah tak tahu nak fikir apa. Berat betul dugaan perasaan kali ini. Dapatkah Nisa bertahan kali ini?

Entah siapa memaklumkan, ayah menghubungi dan menyuruh aku pulang ke kampung. Daya intuisi seorang ayah agaknya. Aku menurut, kerana sudah tidak mampu berfikir lagi. Terdera benar rasanya. Tiba di kampung, emak dan ayah telah bersedia menyambut cucu kesayangan mereka. Rindu sangat, setelah hampir tiga minggu tak bermain-main dengan anak petah itu. Macam-macam cerita dikisahkan untuk datuk dan neneknya itu. Pasal kereta mainan kesayangannya, siri Ultraman Tiga kegemarannya, mainan Ben10 kesukaannya, juga robot Transformers yang baru sahaja dibelikan oleh Pakcik Adriannya. Ayah dan emak kelihatan sangat gembira melayan keletahnya. Terlihat sangat jelas pada airmuka mereka. Berseri-seri. Aku juga ceria melihatkan semuanya. Menjadi seorang pemerhati dan pendengar tanpa mengganggu mereka bertiga.

2 comments:

MaY_LiN said...

aha..
mesti ade gud news neh..

rahmah said...

MaY_LiN: heheh, mungkin.. mungkin juga tidak kan?

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape