Jan 3, 2010

PUTERI SALJU?

Seulas percubaan yang masih kurang mantap.. :D

Prakk! Bunyi itu memulakan retak pada kepingan cermin yang sedang aku tatap, sebelum berderai ke lantai. Sempat aku ke tepi mengelak hempasan kaca dari terkena kaki. Hodoh sangatkah wajah ini sehinggakan cermin yang ditatap retak seribu? Tidak! Aku cantik! Cermin ini yang tidak tahu membezakan kaca dengan permata. Memanglah ia tidak tahu kerana bahan itu tidak bernyawa. Tetapi aku tahu. Aku maklum dengan kecantikanku. Parasku lebih lawa berbanding gadis-gadis lain di luar sana. Mereka sahaja yang tak pernah tahu kerana aku suka bersembunyi dalam persalinan yang tidak menyerlahkan kelebihan diri dari segi rupa.

Dam! Dam! Bunyi itu kedengaran di gegendang telinga. Apa pula ini? Terpadam paparan kisah tentang aku dan cermin yang terlayar di hadapan mata sebelumnya tadi. Berdengung telinga gema mendengarkan gema yang sebegitu kuat. Datang dari mana? Pekak aku lama-lama kalau pagi hari macam ini sudah terpaksa menadah telinga mendengar bunyi kuat tahap dewa macam ini. Berlari ke luar, aku terperanjat besar melihat sebiji bebola keluli yang tergantung pada sebuah kren besar sedang hebat menghentam bangunan sebelah rumah pangsa yang aku duduki. Inikah punca gegaran yang aku rasa sejak tadi? Patutlah cermin pecah. Buat letih saja aku membayangkan yang bukan-bukan tadi. Bagaikan cerita ‘Snow White’ pula menyalahkan cermin muka yang tak hidup itu. Nasiblah tak sampai tahap melakonkan watak mak tiri jahat tadi.

“Aliya! Kau buat apa tercegat kat situ? Bahaya la. Jom, turun bawah. Cepat! Karang tak pasal-pasal aku kena keluar duit untuk kenduri arwah kau. Aku tak mampu ni beb. “

Cis! Cara mendesak yang sungguh tidak membina. Tapi aku lari juga bersamanya. Menyaingi penghuni-penghuni lain di rumah tinggi ini yang sedang berpusu-pusu menuruni anak tangga sempit untuk ke bawah bangunan. Pada waktu-waktu macam ini, tiada sesiapa yang berani menggunakan lif. Takut terperangkap dan akhirnya berkubur sama dalam timbunan konkrit dari bangunan tinggi ini. Siapalah yang kejam sangat mahu meruntuhkan istana kami ini tanpa sebarang notis awal? Dibuatnya ada yang meninggal dunia, bukankah menyusahkan namanya? Itu satu hal, kalau rumah dah roboh ke mana pula kami mahu pergi? Kami bukanlah golongan berada yang boleh memiliki sebuah rumah lain dalam sekelip mata. Harta kami hanyalah gunung ilmu dan kasih sayang yang membukit. Kami tidak punya harta berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan penempatan lain dengan rasa senang hati. Atas sebab-sebab itu, kami hanya mampu menjadi penyewa di rumah kos rendah ini. Sudahlah tiada bayaran pampasan yang dijanjikan. Sungguh menduga kesabaran. Ini tak boleh jadi! Seseorang harus melakukan sesuatu. Sedang minda rancak menggali idea, aku ternampak barisan anggota polis berseragam lengkap sedang berbaris di luar bangunan. Lega. Sinar penyelesaian mula terpancar. Aku ada saluran untuk mengadu hal. Laju aku mendekati seorang polis yang nampaknya seperti berpangkat pegawai tinggi.

“Selamat pagi Tuan! Tolonglah hentikan perkara yang sedang berlaku ini Tuan. Tolonglah kami Tuan. Kami tiada tempat tinggal lain, Tuan. Bagaimana mereka boleh sesuka hati robohkan tempat tinggal kami tanpa sebarang notis amaran dan pampasan? Tuan mesti buat sesuatu untuk menghentikan kekejaman ini! Tolong kami Tuan!”

“Selamat pagi cik. Awak ni siapa pagi-pagi dah memekak kat telinga saya ni? jangan nak sukarkan kerja kami. Awak pergi je sertai kawan-kawan awak yang lain tu. Cari kawasan baru untuk buat rumah. Tanah ini sudah dibeli oleh sebuah syarikat untuk dimajukan. Bangunan rumah pangsa yang awak tinggal ni akan dirobohkan pada esok hari. Apa-apa masalah atau tak puas hati awak boleh hubungi bahagian pengurusan Syarikat Auta Bina. Jangan ganggu kerja kami. Kami hanya menjalankan tugas.”

Apa? Bicara pegawai polis itu sangat menaikkan amarah dalam diri. Tidak langsung aku menyangka mereka terlibat dalam komplot tidak bertauladan seperti ini. Ke mana hilangnya janji dan keazaman mereka untuk melindungi orang awam yang dilaung-laungkan sebelum ini? Untuk apakah pakaian seragam yang bersarung kemas ke tubuh mereka? Hanya untuk berlagak? Cuma mahu menggunakan kuasa melindungi golongan kaya? Sungguh tidak adil! Di manakah para pemimpin yang berjanji menjaga kebajikan kami? Kenapa tiada sesiapa yang mahu membela? Aku perlu berbuat sesuatu! CEO Auta Bina! Tunggulah aku datang.

Encik Khairul Muzammil Zaman. Itulah nama lelaki keparat yang tidak bertanggungjawab itu. Mesti dia adalah seorang lelaki berusia separuh abad dengan kepala yang botak di tengah-tengahnya. Aku perlu menemui dan berbicara dengannya! Semoga kesempatan itu ada sebelum para pekerjanya menghentam rumah kami pula esok hari!

“Ya cik? Nak jumpa siapa? Ada sebarang temujanji?”

Amboi, bahasa dia. Kasarnya. Tahulah aku tidak berpakaian cantik.

“Saya mahu berjumpa Encik Khairul Muzammil Zaman. Dia ada? Ya, saya sudah buat temujanji. Katanya jumpa dia sebelum jam 11 pada hari ini.”

“Oh, iya ke? Silakan cik. Naik ke tingkat 18. Pejabatnya ada di tingkat itu.”

Tahu pun cakap elok-elok. Materialistik punya perempuan!

“Iya cik. Terima kasih.”

Tingkat 18. Tingginya. Lebih tinggi dari bangunan rumah pangsa tempat aku tinggal. Kalaulah aku ada peluang untuk menetap kat tempat macam ini. Mesti selesa. Bahagia. Sudah sampai. Iya, itu biliknya. Berdebar pula rasanya. Apa aku nak cakap ya? Lupa pula nak bersedia. Main redah sahaja tadi. Alamak! Janganlah menggelabah. Buat macam biasa Aliya. Tiada apa-apa yang berlaku. Luahkan sahaja apa yang kau rasa. Mana pergi setiausaha dia? Ah, redah sajalah macam ni. Mesti boleh punya. Lagi senang kerja aku. Tuk! Tuk! Tuk! Aku mengetuk pintu sambil mengumpul kekuatan dan menyusun tatabahasa untuk berbincang dengan Encik CEO yang bakal ditemui sekejap sahaja lagi.

“Masuk!”

Sedia! Dia sudah memanggil! Eh, dia bukan lelaki tua! Kepalanya juga tidak botak seperti yang dibayangkan. Lantaklah! Aku ke sini bukan untuk membelek rupa dia. Ada hal yang lebih penting untuk digaduhkan!

“Selamat pagi Encik Khairul. Nama saya Aliya dan saya ada hal yang sangat penting untuk dibincangkan dengan Encik. Berkenaan rumah pangsa di Taman Impiana yang bakal dirobohkan esok hari.”

“Selamat pagi Cik Aliya. Tentang bangunan itu? Ada apa-apa masalahkah? Rasanya projek itu memang sudah diluluskan dan rumah pangsa itu bakal mencium bumi dalam dua tiga hari ini.”

“Itulah masalah saya. Bukan saya seorang. Berpuluh-puluh keluarga lagi yang tinggal di situ ada masalah yang sama. Kenapa nak robohkan tempat tinggal kami? Di mana kami nak tinggal lepas ni?“

“Kenapa nak runtuhkan? Sebab kami beli tanah di situ untuk dimajukan. Terpaksalah kami hapuskan bangunan yang tak penting dan menghalang kemajuan itu. Tentang tempat tinggal awak semua, awak fikirlah sendiri ya? Rasanya itu tak termasuk dalam perjanjian yang saya buat dengan pihak pemaju sebelum ini. Memikirkan tempat tinggal baru para penduduk rumah pangsa. Iya, perkara itu memang tiada dalam mana-mana fasal perjanjian kami. “

“Sanggup Encik rosakkan kehidupan kami semua macam ini. Kasihanilah kami semua Encik. Kemajuan apa yang Encik boleh buat kalau semuanya dimulakan dengan kekejaman?”

“Oh banyak. Macam-macam yang kami boleh buat. Kompleks pasaraya yang besar. Bangunan tinggi yang mencecah awan. Hotel mewah di pinggir bandar. Banyak lagilah yang saya boleh buat. Pedulilah kejam tak kejam pun. Saya bangunkan tanah syarikat saya. Rasanya tiada kaitan dengan pihak awak. Tolonglah jangan nak tayang muka toya awak kat sini. Kacau mood saya lah pagi-pagi macam ni.”

“Mana ...”

Ya Allah! Tiada perasaan sungguh lelaki bongkak ini! Arghh! Geramnya aku. Apa nak buat ya? Cekik dia? Tak dapat faedah apa-apa. Ugut bunuh? Tak cukup mampu. Merayu? Tak mampu membuka jalan rasanya. Dia lelaki yang kejam. Jadi, aku perlu fikir perkara yang lebih menguntungkan untuk dirinya! Barulah boleh dibawa berbincang. Tapi, apa ya? Aku mengambil peluang berfikir sejenak kerana telefon bimbitnya berbunyi sejurus dia habis berbicara tadi. Terus dia menjawabnya tanpa memberi peluang untuk aku membalas kata-katanya yang sungguh tidak bertimbangrasa tadi!

“Cik Aliya tadi, kan? Saya baru dapat panggilan. Pekerja-pekerja saya dah nak mula robohkan bangunan rumah pangsa yang awak cakap tadi. Cepat pula mereka bekerja hari ini. Tak sia-sia saya bayar mahal-mahal. Jadi, baik awak balik semula ke tempat tinggal awak. Tengok kalau ada apa-apa yang tertinggal sebelum semuanya berkecai. Nak saya suruh pemandu hantarkan? Cepat sikit.”

Apa? Aku rasa mahu pengsan. Apa yang berlaku? Kenapa dunia ini sangat zalim?

“Apa! Mana boleh macam ni? Encik nak hantarkan? Tak payah! Saya boleh balik sendiri. Tak ingin saya naik kereta dengan orang kejam macam Encik ni!”

Segera aku berkejar pulang. Skuter yang aku parkir betul-betul di hadapan pintu syarikat tadi masih dalam keadaan selamat. Tiada sesiapa yang berminat mahu mengalihkannya. Bagus! Tak payah susah-susah aku nak bertapak mencarinya kalau dialihkan. Tanpa membuang masa, aku memecut pulang. Berharapkan aku boleh membuat sesuatu. Semoga tadi hanyalah ugutannya supaya aku pulang dan tidak menggangu urusannya lagi untuk hari ini. 30 minit aku menjadi minah rempit di atas jalanraya. Pedulikan! Aku perlu cepat!

Sampai sahaja, kaki terkaku. Tidak tahu mahu berbuat apa bagi mengubah keadaan. Gelapnya langit kehidupan saat ini. Langsung terpadam cahaya yang aku nampak seawal pagi tadi. Teman-teman sebangunan sudah berkumpul di satu sudut. Dikelilingi para pegawai polis yang memakan duit haram dan tidak mahu melindungi kami itu. Sepertinya kawan-kawanku sedang terduduk-duduk keperitan menahan sakit. Mereka dipukulkah? Aku terkedu. Melihat bebola besi yang besar itu sedang gagah menghentam rumah kediamanku. Tiada lagi syurgaku di sini. Lembah dan danau yang indah itu sudah tiada. Semuanya tenggelam dek runtuhan konkrit yang dahsyat. Umpama beliung yang sedang menggila meranapkan semua yang menghalang laluannya. Habis semua disedut ke dalam putarannya yang semakin garang. Tidak! Ke mana haluan kami selepas ini! Kejamnya dunia! Kenapa? Tidak aku temui jawapannya. Aku bukan Puteri Kejora. Bukan juga Puteri Salju yang boleh bersandar pada kuasa magis untuk memutarbalik waktu. Aku hanya Aliya. Gadis biasa yang sekarang tidak punya apa-apa. Hanya diri sendiri dan kenangan lama tentang rumah ini. Melihat tangisan kecewa mereka, duka dan kelam semakin menghurung. Aku semakin buntu. Kenapa?

4 comments:

RinsyaRyc said...

ha? camni jek? ---->apa-apapun best ^^

rahmahmokhtaruddin said...

Heheh. Kadang-kadang, kita tidak mampu berbuat apa-apa.

Insya-Allah, akan lebih kreatif berkarya.

Tq Rin!

Anonymous said...

ending dia tergantung la kak.. Hehehe ( RD )

Anonymous said...

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen.

Heheh, ini idea terbaik pada waktu itu. Memang cadangannya mahu biar tergantung. Tetapi, petang tadi baca semula cerpen ini. Macam menarik pula kalau dipanjangkan jadi novel. Tajuk tukar jadi Bukan Puteri Salju. Ok tak Dik RD?

Rahmah Mokhtar