Dec 29, 2009

KISAH 50

Betulkah apa yang aku dengar? Macam tak percaya. Aku masih berilusikah? Takkanlah. Memang itu yang Abang Akram cakap di taman tadi.

Mendengarkan pengakuannya aku jadi terharu sendiri. Tersentuh kembali hati wanita ini. Terima kasih untuk perasaan itu, abang. Tapi Nisa khuatir, Nisa tak mampu untuk menerimanya. Nisa tak layak. Abang terlalu baik untuk Nisa. Demi kerendahan diri yang aku rasa, aku meminta masa dan ruang untuk berfikir panjang.

Fikirlah. Ambillah sebanyak mana ruang yang Nisa mahu, gunalah lama mana pun masa, abang akan tunggu jawapan dari Nisa. Positif atau negatif, gelap mahu pun terang, abang akan menerimanya sebaik mungkin, insya-Allah. Abang akan doakan supaya hati Nisa selalu lapang dan tenang untuk berfikir dengan baik, tanpa pengaruh emosi yang mencelakan. Abang juga akan berdoa agar abang mampu bertabah hati menanti jawapan Nisa. Lagi satu, abang harap Nisa tidak menghalang abang dari berjumpa dengan Aiman, ya?

Terima kasih, abang. Akan Nisa hazam dan fikirkan kata-kata abang dengan baik. Semoga Nisa dapat mencari jawapan yang terbaik untuk permintaan abang. Bolehkah Nisa? Bersediakah Nisa untuk menggantikan kasih Abang Shah dalam hati ini? Kalau tidak, bagaimana dengan Aiman? Dia sangat menyayangi Papanya. Ah, aku dihimpit keliru. Sayangkah aku padanya? Terasa hilangkah kalau perhatiannya padaku beralih arah nanti? Tidaklah, tak mungkin aku ada rasa itu. Tetapi, bolehkah aku menerimanya kalau tiada rasa sayang dalam hati? Mampukah aku memaksa diri untuk kebahagiaan Aiman? Akan ada bahagiakah kalau aku menyudikan diri sekarang, dalam keadaan aku sendiri tidak pasti kedudukan hati sendiri? Perkahwinan itu perjudian. Itu yang selalu aku dengar. Mempertaruh kepercayaan, memperjuang cinta dan syariah bersama iringan keyakinan terhadap pasangan masing-masing, bersatu membina sebuah perkahwinan yang berbayar syurga di akhirnya. Bolehkah aku melakukannya?

Memang. Aku tidak mampu menerima. Setiap kali mata lelakinya menatap mataku, aku berkalih pandang. Memohon pengertian. Aku belum bersedia. Maafkan aku. Sekali lagi kau terpaksa kecewa. Aku kira kau akan lebih berduka kalau aku mengatakan ya sekarang. Sebab persetujuan itu hanya di mulut dan akal, bukan pada hati. Hati aku masih tidak. Harap kau boleh bersabar, wahai sang arjuna. Aku tahu kau cuba menjadi penawar, tetapi cintaku dulu yang masih berbaki dan mekar hingga kini bukanlah kasih yang pernah disia-siakan untuk aku rasa terubat. Semoga kau mengerti perkara itu. Aku bukan mahu mementingkan diri. Menyeksa dirimu sebegini cara, tetapi aku tidak tahu. Jawapan yang diperlukan masih belum berkunjung. Semuanya masih kabur, tersangkut di hujung pengkalan, terapung-apung tidak mahu timbul.

Setiap hari, setiap malam aku berhajat. Memohon dikurnia petunjuk yang dinanti dan diharapkan. Tetap sama. Tiada ilham mahu pun gerak hati menghalai laluan. Masa yang sesuai belum datang. Aku harus bersabar lagi. Aku perlu meminta lagi dengan penuh pengharapan kerana sesungguhnya wanita yang baik itu jodohnya adalah orang yang soleh juga. Maka, aku  berusaha menjadi seorang hamba yang soleh dan bukan hamba yang toleh. Setiap lelaki itu dicipta buat wanita yang terbaik untuknya dan tiap-tiap wanita itu tercipta untuk lelaki yang terbaik baginya. Bukan dari bahagian kepala untuk dijunjung. Tidak pula dicipta dari bahagian kaki untuk diinjak-injak atau dipijak-pijak. Tetapi seorang wanita dicipta dari bahagian rusuk, dekat dengan hati untuk dicintai dan disayangi. Sebab itulah seorang wanita perlu dilentur sifatnya dengan lembut supaya tegak berdiri dari bengkoknya yang seperti rusuk. Janganlah mendidik wanita dengan kekerasan kerana khuatir patah dan amatlah sukar untuk dibentuk semula jiwa rapuh yang telah hancur. Seandainya telah Engkau catatkan dia milikku, tercipta buatku, dekatkanlah dia padaku, satukanlah hatinya dengan hatiku, titipkanlah kemesraan di antara kami agar kebahagiaan ini kekal abadi. Tuhanku yang Maha Pengasih, seiringkanlah kami dalam melayari kehidupan yang sejahtera sebagaimana yang Engkau kehendaki. Amin, ya Rabbal Alamin.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape