Dec 14, 2009

KISAH 49

Hari ini, aku bercita-cita mahu membawa Aiman ke taman hiburan. Emak dan ayah sudah bersetuju untuk menemani. Kami bertiga sudah berpakat, tidak mahu memaklumkan pada Aiman mengenainya. Takut dia mengharap dan kecewa jika tidak tertunai. Aku tidak mahu mengajarnya tentang mungkir janji. Cukuplah aku memungkiri janji untuk menjaganya dengan baik sebelum ini. Semalam, aku memberitahu Abang Akram mengenai rancangan kami. Emak dan ayah yang menggesa, dengan alasan tidak baik membelakangkannya yang telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk menjaga kebajikan kami berdua. Aku menurut, kerana aku juga tahu yang Aiman akan bising dan tidak suka kalau kami berseronok tanpa kehadiran Papanya di sisi. Nanti tak pasal-pasal Aiman menarik muncung panjang dan bermasam muka sepanjang hari. Hasrat untuk berhibur melayang, penat dan susah hati yang muncul. Selebihnya, aku tahu emak dan ayah khuatir untuk membiarkan aku keluar tanpa perlindungan dan jagaan. Ayah sudah tidak kuat untuk menjadi pelindung jika ada apa-apa yang terjadi kepada kami, sementelah aku sudah lama tidak menjejakkan kaki ke dunia luar.

Pagi-pagi lagi aku sudah bangun dan bersilat di dapur. Menyediakan mihun goreng dan teh o panas sebagai menu untuk sarapan pagi. Memberi emak peluang berehat lebih lama untuk memanjakan sayuran dan pokok bunganya di taman mininya di tepi rumah. Macam-macam yang emak tanam. Sawi, kacang panjang, petola, kacang botol. Pokok bunga pula ada macam-macam warna dan rupa. Bunga ros kesayangannya sahaja sudah ada lima pasu. Sejak aku sedarkan diri, emak menyuruh aku menjaga tanamannya. Dia melarang aku ke dapur jika dia tiada. Mungkin dia khuatir aku belum pulih sepenuhnya dan berbahaya andai aku bersendirian di dapur tanpa pengawasan. Untuk membuktikan yang aku sudah boleh diharap, aku bangun lebih awal dan menyiapkan semuanya sebelum emak keluar dari bilik sesudah mengaji. Diharapkan aku dapat menghilangkan gusarnya. Mencampak jauh runsing dari jiwa tuanya yang sudah letih dengan hal dunia yang remeh dan meletihkan. Dia perlukan rehat yang banyak. Cukuplah aku membuat mereka kelam-kabut dan berserabut. Emak, ayah, ayah Kamal. Mereka bertiga sudah terlalu banyak menghabiskan hari tua dengan risau tentang keadaan dan kesihatanku sedangkan seharusnya situasi adalah sebaliknya. Aku yang patut menjaga mereka. Aku yang harus menatang mereka. Bukan mereka yang perlu terkial-kial memikirkan segalanya untukku.

Nyata, emak dan ayah sedikit terperanjat melihat meja makan yang sudah penuh dengan hidangan untuk sarapan. Emak menangis sebelum memelukku. Ayah kemudian datang menepuk bahuku. Aku senyum seraya menganggukkan kepala. Tanda mengiyakan tanda tanya yang baru hendak bersarang di minda mereka. Bahawasanya Khairunnisa binti Ahmad sudah kembali. Iya, emak! Benar, ayah! Nisa dah balik! Nisa dah bersedia nak berdepan dengan dunia di luar sana! Nisa telah hidup semula! Emak, ayah, Abang Akram, terima kasih untuk segala nasihat. Terima kasih atas semua kata-kata semangat! Terima kasih untuk semua perhatian dan terima kasih untuk segalanya. Nisa dah boleh menerima hakikat yang Abang Shah sudah tiada di sisi untuk menjaga dan melindungi. Dia sudah tidak boleh membantu Nisa. Jadi, Nisa perlu kuat. Sebab Nisa boleh bantu dia. Nisa boleh ajar dan didik Aiman supaya jadi anak soleh yang selalu mendoakan kedua orang tuanya. Nisa boleh buat yang itu, Insya-Allah. Nisa boleh jadi ibu Aiman yang baik dan penyayang.

Nisa dah dapat semula diri Nisa yang dulu. Kenangan Abang Shah dah boleh Nisa simpan di suatu sudut yang istimewa dalam hati. Aiman, ibu dah datang. Ibu dah boleh bawa Aiman pulang, sayang. Tapi ibu minta maaf sebab tak dapat bawa ayah Aiman bersama. Ayah Aiman dah pergi, sayang. Ibu Cuma boleh berjanji yang ibu akan berusaha menjadi ibu dan ayah terbaik untuk Aiman. Kalau tak boleh, ibu harap Aiman boleh terima kekurangan dan memaafkan ibu. Ibu tahu, Aiman sudah ada Papa Akram, tapi ibu akan tetap jadi tulang belakang keluarga kecil kita ini. Maafkan ibu kerana menidakkan kehadiran Aiman sebelum ini. Ibu tak nak sayang, dan ibu pasti tiada ibu yang akan sanggup lakukan apa yang pernah ibu lakukan. Tapi ibu sakit, ibu tak sedar langsung apa yang ibu dah buat waktu itu. Ibu tak jaga Aiman. Maafkan ibu ya sayang?

1 comment:

MaY_LiN said...

bagusla..
bangkit akhirnya

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape