Dec 10, 2009

KISAH 48

Perbincangan panjang dengan Abang Akram itu membunuh semua prasangka yang pernah aku lemparkan secara tidak sengaja buat arwah sebelum ini. Ternyata, dia memang menyayangiku. Tak pernah berhenti. Cuma waktu itu, dia terkeliru akibat sogokan cerita-cerita rekaan yang tak pernah putus-putus meracun mindanya secara perlahan. Kasihan dia. Tentu suamiku betul-betul tersepit masa itu. Di kirinya aku, dan di sebelah kanannya Abang Akram. Nak melangkah ke kiri tak betul. Nak melebihkan yang kanan tak kena pula. Nak menjaga perasaan dan keyakinan diri sendiri lagi. Berbelah bahagi antara percaya dengan ragu-ragu. Kalau tak, masakan dia boleh membelakangkan kewajaran fikiran dan mendahulukan perasaan?

Kak Aina bencikan aku? Tapi kenapa? Apa yang aku dah rampas daripada dia? Apa yang aku dah buat? Tak fahamnya. Kompleks betul manusia bernama Ainina ni. Kenapalah dia tak pernah nak bercakap tentang hal ni dengan aku? Kan dah susah bila simpan rasa benci lama sangat. Dah jadi dendam. Sudahlah. Buang masa je aku fikirkan tentang dia. Nanti tak pasal-pasal aku yang menjadi seorang pendendam. Sampai ke sudah cerita pahit ini tidak berakhir.

Memori akhir bersama arwah aku kenang semula. Selepas dia memohon maaf kerana kurang yakin pada kesetiaan hatiku, dia pernah mahu berbual tentang kisah pedih itu. Tetapi, aku meminta jasa baiknya supaya melupakan sahaja untuk seketika. Aku masih dalam pantang. Aku tidak mahu merisikokan kesihatan sendiri dengan mendengar dan mengalami sebuah lagi peristiwa yang berkemungkinan meninggalkan kejutan besar dan trauma hebat dalam hidupku. Hidup yang tak pernah berhenti dari cabaran dan dugaan. Aku lelah. Aku perlukan rehat panjang untuk memulihkan semula kekuatan diri. Cukuplah diri ini teruji dengan semuanya. Sekarang, aku ada Aiman untuk dijaga. Aiman perlu akan ibu yang kuat, fizikal dan mental. Untuk memenuhi semuanya, aku harus merehatkan diri dari semua perkara yang menegangkan.

Selesai menjalani tempoh berpantang, aku semakin sihat. Semangatku kian pulih. Masa itu, Abang Shah semakin sibuk di pejabat. Kerjanya banyak. Menimbun. Dia selalu terpaksa balik lambat. Abang Akram awal-awal lagi sudah menghubungi, memohon maaf sebab terpaksa meminta Shah bekerja lebih masa. Kerap. Aku yang memahami akan tanggungjawabnya itu hanya diam. Tanda redha. Tambahan, aku ada Aiman yang memerlukan penjagaan rapi. Jadi, ketiadaan Abang Shah sedikit sebanyak dapat aku terima dengan baik sebab aku juga sibuk di rumah. Memanjakan Aiman. Kadang-kadang, emak dan ayah datang melawat. Sampai 2-3 hari biasanya. Aku tahu mereka mahu melihat Aiman selalu. Mereka ingin menjaga cucu sulung mereka. Menatang anak kecil ini, mengubati rindu mendengarkan tawa, tangisan, dan rengekan si kecil yang mengisi ruang kediaman. Aku tahu. Aku juga bertambah bahagia dengan situasi yang macam ini. Sekurang-kurangnya aku semakin yakin yang emak memang telah berubah. Kalau kedua orang tuaku mahu tinggal lama di sini pun aku setuju. Ada juga emak untuk menemani untuk berbual panjang. Dapatlah aku memahami hati tuanya dengan lebih baik.

Ada masanya Abang Shah mengadu kepenatan. Banyak perkara yang perlu dikemaskini. Syarikat mereka menerima kontrak baru untuk pembuatan kemeja korporat sebuah firma guaman. Maka, banyak hal yang perlu diuruskan selain menyelesaikan urusan tempahan lama yang masih belum selesai. Banyak rekod dan kontrak lepas perlu diperbaharui. Maklumlah, menjelang tahun baru. Semuanya nak baru. Sebagai ganjaran untuk kegigihan para pekerja dan petugas masing-masing. Aku senyum setiap kali mendengar aduannya. Kesempatan yang ada aku gunakan untuk memanjakan tubuhnya. Melumurkan minyak panas pada tubuhnya, supaya badannya yang letih tidak kekejangan. Setiap malam, aku sediakan minuman panas untuknya, buat pelega menghilangkan lelah. Jarang kami dapat berbual panjang, sebab dia sering tertidur sewaktu aku mengurut belakangnya. Ditemani kesibukan yang panjang, langsung kami terlupa untuk membuka plot yang tersimpan kemas dalam hati dan benaknya. Tinggallah semuanya dalam simpanan. Kekal tak terusik sehingga ke lahad.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape