Jan 18, 2010

KISAH 52

Sedang aku melayani rasa girang mendengarkan rencah cerita dari mulut kecil itu dari jauh, aku tersentak. Cerita akhir dari mulut anak kecil itu sangat tidak terjangka! Bibit-bibit resah mula mendatangi. Aura tanda tanya dari emak dan ayah menusuk tepat ke tangkai jantung mengganggu apabila Aiman dengan riangnya bercerita tentang Papanya kepada kedua-dua orang tua itu. Galak dia memberitahu yang Papa selalu menemaninya bermain, Papa rajin membelikan mainan, Papa selalu membawanya berjalan-jalan, Papa suka membacakan cerita Rasulullah, Papa itu dan Papa ini. Aku mula rimas. Takut apabila emak dan ayah sudah mula menoleh memandangku. Pandangan tajam emak menikam pandangan yang cuba berlaku tidak jujur. Mahu mengelakkan diri, aku berpura-pura menuju ke dapur mencari air. Berbuat seperti tidak mendengar cerita dari anakku. Tetapi langkahan terhenti. Terkejut aku mendengar ayat akhir dari mulut comel itu. Sejak bila dia pandai berfikir macam itu?

Aiman: “Atuk nak tau tak? Hari tu Aiman ada nampak ibu cakap dengan Papa. Papa cakap dia suka ibu, tapi ibu macam tak suka kat Papa Aiman je. Kesian Papa Aiman. Atuk pujuklah ibu. Biar ibu suka kat Papa. Nanti Aiman dapat Papa macam orang lain. Papa boleh tinggal kat rumah dengan Aiman.”

Ayah: “Iya ke? Kenapa Aiman dengar orang tua borak? Tak baik tau masuk campur hal orang tua. Kan ke Aiman dah ada Papa? Nak suruh Atuk pujuk apa lagi?”

Aiman: “Aiman bukan saja-saja nak dengar. Aiman tengah main kat tepi ibu je masa Papa datang tu. Lepas tu tak sengaja la Aiman dengar Papa borak dengan ibu. Ala, Atuk ni. Pujuklah ibu kahwin dengan Papa. Baru jadi Papa Aiman betul-betul. Sekarang ni pun, nak jumpa Papa kena datang jauh-jauh. Susahlah. Kan senang kalau Papa duduk serumah dengan Aiman. Hari-hari Aiman boleh tidur dengan Papa ngan ibu.”

Ayah: “Yeke macam tu? Nanti Aiman minta maaf dengan ibu ye? Jangan biasakan, tak bagus. Aiman anak yang baik, kan?”

Aiman: “Baik Atuk, nanti Aiman cakap dengan ibu. Tapi Atuk janji dulu pujuk ibu. Janji ye Atuk ye?”

Ayah: “Yelah. Nanti malam Atuk cakap dengan ibu, tapi Aiman tak boleh dengar tau?”

Aiman: “Yeay! Sayang Atuk. Tok Wan pun pujuk ibu sekali tau?”

Emak: “Ye sayang, nanti Tok Wan cakap dengan ibu Aiman. Dah, Aiman pergi main kat bawah. Tok Wan nak pergi dapur masak.”

Selesai memasang telinga mendengar sesi perbualan itu, aku menyambung langkah menuju ke dapur. Laju. Terkejut! Langsung tak menyangka yang anakku boleh berkata begitu kepada kedua datuk dan neneknya! Sejak bila anak ini berfikir begini? Akram! Apa yang telah kau katakan kepada anak ini? Kau memberi dia harapan yang terlalu tinggi. Kenapa tambah lagi kekeliruanku? Aku tak mampu membahagiakanmu, janganlah berharap padaku lagi! Aku takut aku gagal menyayangimu sepertimana aku mengasihi Abang Shah! Ingatan tentangnya masih kukuh dalam fikiran. Bagaimana mampu aku menggantikan dia dengan dirimu, sedang semua yang aku lakukan terus mengingatkan aku padanya. Aku takut aku tidak adil padamu. Tidak adil pada cintamu. Walau ada rasa sayang, tapi belum mencukupi. Masih terlalu sedikit untuk membalas kasihmu yang membukit. Belum membolehkan aku menyediakan ruang yang luas untukmu dalam hati ini. Aku belum bersedia untuk menyayangi. Sedarlah wahai Abang Akram. Janganlah terus membina sebuah harapan palsu. Aku tidak sanggup! Sungguh aku enggan kalau keadaan ini terus-terusan mendera akal waras seorang wanita.

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape