Jan 26, 2010

KISAH 53


Aku duduk di meja makan di ruang dapur. Minum air suam sambil membaca surah Al-Insyirah. Ajaran ayah untuk menghilangkan resah. Emak datang. Mengembalikan resahku yang baru melayang. Emak membuat air Nescafe kegemarannya, sebelum duduk menemaniku di meja yang sama.

"Betul ke apa yang anak kamu cakap tadi pasal si Akram tu?”

“Entahlah emak, memang dia ada melamar Nisa sebelum ni. Tapi Nisa tak tau nak jawab apa. Nisa diam je. Dia cakap dia tunggu jawapan Nisa, tak kisah la berapa lama pun. Minggu lepas dia tanya semula Nisa untuk jawapan.”

“Em. Kamu rehatlah dulu. Malam nanti kita cerita panjang. Jangan kusutkan sangat fikiran tu. Tenangkan hati, lapangkan fikiran kamu. Insya-Allah akan ada jawapannya nanti. Dah solat istikharah?”

“Sudah emak, banyak kali. Tapi belum tergerak untuk putuskan apa-apa.”

“Nanti emak tanya kat ayah dulu. Kita bincang malam nanti, lepas Aiman tidur. Dah lepas dengar pendapat ayah nanti, kamu istikharah lagi. Jangan putus harap pada-Nya. Minta yang terbaik, dibuka jalan, tenangkan hati dan fikiran untuk kamu buat keputusan. Sekarang ni, kamu pergi masuk dulu. Mandi, solat.”

“Baik emak.”

Waktu malam tiba. Sesudah menidurkan Aiman, aku cuba baring. Ingin melelapkan mata buat seketika. Mata yang sukar untuk lelap sejak mendengar luahan hati Abang Akram yang sangat tulus. Semalam dia risikkan tanya pada Khiriah, andai aku sudah punya jawapan. Sudah dua tahun dia menanti, aku masih berdiam diri. Masih keliru tanpa jawapan pasti. Bukan aku tidak cuba. Hampir setiap malam aku pohon petunjuk dan jalan, tetapi pintu hati ini masih terkunci. Sama sahaja. Setiap kali aku bangkit dari tidur, aku masih berat hati untuk menerima. 

Emak terkejut apabila mengetahui yang aku telah membiarkan Abang Akram menanti tanpa jawapan pasti selama dua tahun. Tempoh yang bukan sekejap! Dia marah. Sebab aku mengambil kesempatan atas kebaikan hati lelaki itu. Aku menggunakan dirinya. Membiarkan Akram berharap dan menunggu supaya diterima. Mengapa salahkan aku? Bagaimana harus aku menjawab andai aku masih tidak punya jawapan? Hati ini masih belum pasti, lalu bagaimana perlu aku memberi balasan jika mulutnya ringan bertanya minta ulasan? Salah akukah itu? Jawapanku masih sama seperti dahulu, aku tidak mampu membuang kenangan arwah dari ingatan. Semua perkara mengingatkan aku padanya. Hatta memandang cawan di dapur pun, aku boleh teresak-esak kerana merinduinya, apatah lagi apabila memasuki kamar tidur kami. Terlalu banyak kenangan. Sungguh aku mencintai dan menyayanginya. Hendak menjawab iya, aku tak boleh. Mahu berkata tidak, aku tahu ada rasa sayang sudah menjengah, bermukim di ruang sanubari. Tetapi, bagaimana mahu mencungkilnya? Cara apa yang harus aku buat untuk membiakkan rasa itu? Bolehkah Abang Akram menerima kenyataan yang aku masih hidup dalam kenangan? Aku tidak mahu! Itu tidak adil. Aku akan menzalimi dirinya. Tetapi terus diam begini, bukankah aku kejam padanya juga? Ah, ditelan mati emak. Diluah mati bapa. Toleh ke kanan, ada Abang Shah. Berkalih ke kiri, ada wajah Abang Akram. Pandang ke depan, tampang Aiman tersenyum mengharap. Justeru, apa yang harus dilakukan?

No comments:

Page copy protected against web site content infringement by Copyscape